Seutuh binaan bangunan Taj Mahal yang masih megah terbina di bandar Agra, India sehingga hari ini, begitulah juga lambang kekuatan kuasa cinta Shah Jahan kepada isterinya Mumtaz yang tidak akan pernah terpadam.

Untuk pengetahuan anda, Taj Mahal ini telah dibangunkan oleh Mughal Emperor Shah Jahan untuk dijadikan sebuah makam yang agam dan monumen cinta sejati buat isterinya. Kini ia merupakan salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia.

Bukan sahaja Shah Jahan, tahukah anda mengenai kisah seorang lelaki di India bernama Faizul Hasan Qadri yang juga membangunkan sebuah monumen cinta Taj Mahal versi mini buat isterinya?

Sanggup gadaikan wang simpanan dan barang kemas arwah isterinya

Pada 2011, Faizul Hasan Qadri juga pesara postman mengambil keputusan untuk menghabiskan semua wang simpanannya berserta barang kemas milik isterinya, Taja Mulli Begum demi membangunkan sebuah replika Taj Mahal mini di sebelah rumahnya di perkampungan Kaser Kalan di daerah Uttar Pradesh, India.

Difahamkan, pasangan ini telah berkahwin sejak tahun 1953. Namun sayangnya tidak dikurniakan zuriat. Seperti yang diketahui, anak merupakan pengikat kasih sayang antara suami dan isteri. Seandainya salah seorangnya meninggal dunia, anaklah yang menjadi pengubat rindu kepada pasangan mereka.

Disebabkan tidak dikurniakan zuriat, Taja Mulli mula rasa bimbang seandainya dia meninggal dunia terlebih dahulu, kesetiaan dan rasa cinta daripada Faizul terhadapnya mula pudar. Jadi, dia telah meminta Faizul untuk membangunkan sebuah replika Taj Mahal mini sebagai memperingati simbol cinta mereka berdua.

Taj Mahal mini merupakan permintaan terakhir isterinya

BeFunky-collage (49)
Faizul mendedahkan gambar perkahwinannya bersama Taja Mulli dan sebelahnya pula merupakan makam arwah isterinya. Sumber: Twitter

Separuh nyawa Faizul mula ‘lumpuh’ apabila Taja Mulli disahkan meninggal dunia pada Disember 2011 disebabkan kanser tekak. Faizul meratapi kesedihan dan berjanji untuk melunaskan hajat arwah isterinya itu. Kemudiannya, dia memulakan proses pembinaan monumen itu pada awal tahun 2012.

Impian cinta mereka berdua ini tidak kesampaian. Pembinaan Taj Mahal mini terbengkalai pada 2014 disebabkan Faizul kehabisan modal untuk membeli batu marmar sebagai kemasan yang terakhir bagi monumen ini.

“Monumen cinta ini saya hasilkan sendiri di atas tanah milik saya. Namun, kerja pembinaannya tertangguh disebabkan faktor kekurangan modal. Tambahan pula, kos untuk membeli batu marmarnya juga mahal.”

Menolak bantuan kewangan sebaliknya mewakafkan tanahnya untuk sekolah perempuan

BeFunky-collage (50)
Faizul sempat melawati bangunan separa siap bagi projek pembinaan sekolah perempuan di tanah yang diwakafkannya. Sumber: Hindustan Times

“Walaupun ada ahli politik tempatan, Akilesh Yadav yang sudi menghulurkan bantuan kewangan, namun saya menolaknya kerana ini merupakan perjanjian dan usaha peribadi saya yang tulus untuk menyemaikan memori cinta saya kepada arwah isteri,” ujar Faizul ketika dihubungi Hindustan Times pada 2015.

Faizul menolak bantuan kewangan tersebut namun sebaliknya dia meminta Yadav menggunakannya untuk membina sebuah sekolah perempuan di hadapan rumahnya. Berikutan itu, Faizul telah mewakafkan 4 bighas (ekar) tanahnya untuk projek pembinaan sekolah perempuan ini.

Sikap Faizul ini dipuji kerana dia tidak mengharapkan bantuan orang lain demi kepuasan impiannya sendiri sebaliknya memberikan keutamaan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Faizul dikuburkan bersebelahan kubur arwah isterinya di dalam makam Taj Mahal mini mereka

BeFunky-collage (51)
Faizul duduk di dalam kediaman Taj Mahal mininya itu. Sumber: Hindustan Times

Malang tidak berbau, Faizul mengalami kemalangan dan dilanggar lari oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti di hadapan rumahnya. Menambah rasa pilu apabila Faizul ditemui oleh Mohammad Aslam, anak saudaranya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Faizul kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Aligarh. Ajal dan maut di tangan Tuhan, Faizul disahkan telah meninggal dunia di hospital berkenaan pada pagi hari Jumaat (cara kematian husnul khatimah), 10 November 2018 di usia 83 tahun setelah mengalami kecederaan yang agak serius.

Persis Shah Jahan dan Mumtaz yang dimakamkan di dalam Taj Mahal, Faizul juga meminta Aslam supaya mengebumikan jenazahnya bersebelahan kubur arwah Taja Mulli yang ditempatkan di dalam Taj Mahal mini itu. Sebelum meninggal dunia, Faizul juga meminta Aslam untuk menyiapkan kemasan batu marmar pada monumen tersebut.

“Sekolah perempuan tersebut kini sudah siap sepenuhnya namun sayangnya pak cik saya tidak sempat untuk melihat hasilnya.”

“Saya juga pernah berjanji kepada arwah untuk menyiapkan kemasan terakhir batu marmar pada Taj Mahal mini memandangkan arwah ingin sekali melihat hasilnya persis Taj Mahal yang asal seperti di Agra.”

“Saya akan cuba apa yang termampu sampai ianya siap. Kini kami cuba untuk memakam arwah pak cik Faizul di dalam monumen ini bersebelahan kubur arwah isterinya,” ujar Aslam kepada Hindustan Times pada tahun 2018.

Begitulah kuatnya kuasa cinta Faizul terhadap Taja Mulli yang setia sehingga hujung nyawa persis utuhnya cinta Shah Jahan kepada Mumtaz. Jika ingin membuktikan kesetiaan anda kepada pasangan, usaha seperti mana yang bakal anda tunjukkan?

Berikut merupakan beberapa pautan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Taj Mahal. Jangan lupa klik untuk membacanya.

Taj Mahal Bakal Lanjutkan Waktu Lawatan Sehingga Malam

Inilah Individu Hebat Yang Mewakafkan Masjid Sri Sendayan Di Negeri Sembilan

20 Tips Anda Perlu Tahu Sebelum Melancong Ke India