Pada 24 Mei 2016, negara kita dikejutkan dengan berita pengumuman Zhejiang Geely Holding Group, yang memiliki Geely Automobile berpusat di Hong Kong akan membeli saham Proton Holdings Berhad sebanyak 49.9%. Baki 50.1% masih akan dimiliki oleh DRB-Hicom.

Geely sekaligus akan memiliki saham Lotus sebanyak 51% manakala baki 49% akan dimiliki oleh Etika Automotive Sdn Bhd.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum ini Geely telah membeli Volvo Cars yang berpusat di Sweden daripada Ford Motor Co pada 2010. Kemudian pada 2012, Geely telah membeli pula The London Taxi Company (LTC) (dulu dikenali sebagai Manganese Bronze Holdings), pengeluar teksi hitam (London black taxicabs) yang popular di kota London.

Rekod kejayaan Geely memang membanggakan apabila berjaya membawa Volvo kembali mendapat keuntungan dan kini sedang membangunkan semula LTC.

Selama ini, Geely membuat keuntungan melalui penjualan kereta keluaran sendiri di bawah pelbagai jenama seperti Emgrand, Englon, Gleagle, Shanghai Maple dan juga van dan motosikal. Geely juga sejak 2009 memiliki syarikat transmisi yang berpusat di Australia.

Li Shufu, selaku pemilik Geely adalah seorang usahawan cemerlang yang berjaya membuat jualan Geely Group sebanyak 1.3 juta unit untuk tahun kewangan 2016. Geely berazam untuk menjadikan kereta Proton nombor satu di Asia Tenggara.

Beliau mengingatkan saya kepada Lee Iacocca yang menyelamatkan Ford dan Chrysler, Jack Welch yang menyelamatkan GM dan Carlos Ghosn yang menyelamatkan Renault.

Oleh itu, harapan tinggi diletakkan ke atas beliau untuk membawa Proton kembali mendapat keuntungan dan juga untuk memasuki pasaran China.

Apatah lagi Proton sehingga kini masih gagal untuk tembusi pasaran negara China yang sangat luas sejak kegagalan usahasama dengan Youngman.

Berita ini mendapat reaksi berbeza dan bercanggah dikalangan rakyat. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap Proton bukan lagi kereta nasional dan bukan lagi milik negara ini.

Khabarnya, Tun Dr Mahathir juga pernah berusaha untuk bekerjasama dengan Geely sebelum ini tetapi mungkin tidak melibatkan penjualan saham Proton.

Walaupun saham majoriti masih dimiliki oleh DRB-Hicom, kuasa pengurusan akan diserahkan kepada Geely manakala pengedaran masih dikuasai oleh Proton Edar Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom.

Ini mengingatkan saya kepada pembelian saham Ferrari sebanyak 50% oleh Fiat satu ketika dulu di mana kuasa pengurusan Ferrari beralih kepada Fiat.

Satu lumrah dalam dunia automotif apabila jenama ataupun legasi sesebuah kereta kekal walaupun pemilikan telah berubah. Volvo kini milik Geely. Begitu juga dengan Jaguar Land Rover kini dimiliki oleh Tata Motors di India.

VW di Germany selain Volkswagen, memiliki Audi, Bentley, Bugatti, Lamborghini, Porsche, SEAT, Škoda dan motosikal Ducati dan kenderaan komersial MAN dan Scania.

General Motors (GM) memiliki Chevrolet, Buick, GMC, Cadillac, Holden, HSV, Opel, Vauxhall tetapi berikutan kebankrapannya pada 1 June 2009, telah melupuskan jenama Pontiac, Saturn, Hummer dan menjual Saab. Kemudian ia distruktur semula oleh kerajaan US. Hatta GM pun pernah bankrap, apatah lagi masalah yang dihadapi oleh Proton.

Pencarian rakan kongsi untuk Proton telah lama bermula sejak berpisah dengan Mitsubishi dan menjadi agresif melalui rundingan dengan VW sejak lebih sedekad lalu.

SEAT dan Škoda telah dirujuk sebagai contoh terbaik untuk kekal bersaing dalam dunia automotif. Pemilikan pengeluar kereta besar dapat memberikan perkongsian teknologi, economies of scale dan juga pasaran yang lebih besar.

SEAT dahulunya juga merupakan projek kereta nasional Spain. Begitu juga Škoda yang asalnya swasta pernah dimiliki oleh kerajaan Czech Republic.

Hasil pemindahan teknologi daripada VW melalui perkongsian platform (shared platform) dan perlencanaan (rebadging), kedua-dua pengeluar berjaya kekal dalam dunia automatif dan kekal menjadi ‘kereta nasional’ di negara masing-masing.

Namun begitu, apakah maksud sebenar ‘kereta nasional’? Turki beberapa tahun lepas telah membeli paten satu model kereta Saab untuk projek kereta nasional mereka. Tujuan Turki ialah memperkasakan industri automotif negara. Ini tidak banyak beza dengan alasan penubuhan Proton.

Berita penutupan kilang Holden di Australia telah mengejutkan rakyat dan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Walaupun Holden bukan projek kereta nasional tetapi ramai rakyat Australia sudah menganggapnya identiti mereka dan penutupan kilang pengeluaran tempatan adalah satu tamparan buat mereka.

Pasaran automotif Australia juga terlalu liberal dimana pelbagai jenama kereta boleh dijual disana termasuklah Proton. Namun begitu, industri automotif di Australia menjadi malap sejak penutupan kilang Ford. Hanya kilang Toyota sahaja yang kekal kini.

Penutupan kilang tempatan adalah satu perkara yang paling ditakuti dan diharapkan Proton tidak menerima nasib yang sama seperti Holden.

Demi kelangsungan Proton supaya tidak berkubur seperti Saab di Sweden, kebergantungan kepada pengeluar kereta besar memang tidak dapat dielakkan.

Cuma persoalannya adakah penjualan saham kepada Geely pilihan terbaik berbanding sekadar usahasama?