Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegur Noh Salleh yang memegang sebatang rokok di acara Kuala Lumpur Fashion Week yang berlangsung di ruang utama pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Difahamkan bahawa rokok itu tidak dinyalakan, namun bagi DG Hisham, ia memberi gambaran negatif kepada anak muda di luar sana dan perbuatan itu dianggap sebagai contoh yang kurang baik dari seorang selebriti.

“KKM memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai. Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak & remaja.

“KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” tulis DG Hisham di Twitter miliknya.

Terdahulu, tular sebuah video di mana Noh Salleh keluar memperagakan baju keluaran Super Sunday dengan memegang sebatang rokok di tengah-tengah khalayak ramai.

Tindakan beliau turut dikritik oleh sebahagian netizen yang melihat kelakuan terbabit sebenarnya ‘tidak cool’ dan tertanya-tanya apakah yang cuba dibuktikan oleh Noh Salleh.

Selain itu, ini bukanlah kali pertama Noh Salleh mencetuskan kontroversi, beberapa bulan lalu beliau dirakam menghisap rokok elektronik semasa ditemubual media dalam sebuah acara yang berlangsung sekitar Julai lalu.

Mutha Puaka lancar koleksi khas bersama Hikari Rider. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Mutha Puaka Lancar Koleksi Khas Bersama Hikari Rider

Tonton Noh Dan Mizz Nina Bercakap Tentang Perkahwinan Mereka Yang Masuk Tahun Ke-8