Langit cerah berawan biru tanpa banyak awan. Udara sejuk musim bunga menerpa kulit memberikan rasa nyaman dan selesa. Di kiri-kanan, pokok-pokok botak dan kering. Banyak bangunan-bangunan yang kelihatan agak lama. Grafiti memenuhi dinding-dinding bangunan memberikan sedikit rasa ghetto.

Pemandangan di sini memang seperti ghetto-ghetto yang biasa kita lihat dalam filem-filem Hollywood. Kata Ayub, sebenarnya tempat ini dianggap antara kawasan berbahaya dan tinggi kadar jenayah. Tapi kata dia juga, jangan risau. Tiada siapa yang akan mengapa-apakan kami.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di seberang jalan kelihatan ramai orang berkumpul di sekitar tempat pejalan kaki di simpang empat North and Greenmount itu. Ada yang duduk-duduk dan ada yang berjalan ke hulu hilir. Ada yang berbaju labuh, ada yang mengenakan baju sejuk.

Ada yang kelihatan lebih tua dan ada yang lebih muda. Tetapi, persamaan mereka kelihatannya semua berkulit gelap. Hanya aku dan Ayub lelaki berkulit cerah di sini. Ayub yang rupanya bagai mat saleh dan Arab, dan aku lelaki Asia.

https://www.instagram.com/p/BCZE86pIdpd/

Semakin aku dan Ayub berjalan menghampiri mereka, semakin mereka menerpa ke arah kami kembali.

“Can I take one? Can I take one?” Ada yang bertanya. “What’s inside?” Tanya yang lain pula. “Really, it’s free?” Ada suara di belakang. Mereka beramai-ramai mengelilingi kami dan menghulurkan tangan menanti.

Aku mengambil bungkusan polisterin yang disusun di dalam kotak yang aku bimbit  dan aku berikan kepada mereka yang menghulurkan tangan.

“Yes, yes, sure! Of course. Take it, take it. It’s halal chicken over rice and it’s free. Cant you see this sign here?” Sahut Ayub, lelaki berhidung mancung, rambut pendek rapat berjambang penuh dan bertubuh sasa sambil bergelak ketawa dan menunjukkan sign board yang tergantung di leher aku. ‘Halal Chicken Over Rice, Come Take, It’s Free’.

“It looks good man, its free? God bless you!” Kata seorang pakcik yang sedikit terbongkok dan mengenakan pakaian yang agak lusuh itu.

Tangan aku ligat memberikan makanan yang dimasak oleh Ayub pagi tadi kepada mereka ini.

“Hey man, can you pass mine some. Mine’s finished”, Ayub meminta bungkusan dari kotak aku untuk digantikan bungkusan-bungkusan nasi dan ayam kari yang telah habis dalam kotaknya.

Ayub, lelaki berdarah campuran Arab Jordan, African American dan Jerman itu merupakan kawan rapat lama aku. Aku mengenali Ayub sejak kurang lebih 5 ke 6 tahun lalu ketika kami menuntut di Fakulti Perubatan di universiti yang sama.

Walaupun usianya sudah pun mencecah 30 tahun tetapi kadang-kadang aku rasakan dia seakan kanak-kanak 5 tahun yang punya Attention Deficit and Hyperactive Disorder yang tertelan 10 kiub gula.

Lincah, terlampau bertenaga dan tidak boleh duduk diam. Jalannya seolah melantun dan cakapnya laju. Kadang-kadang, ibu jarinya dihalakan ke mulut untuk digigit-gigit. Sekarang, dia merupakan doktor pakar pelatih dalam bidang Perubatan Nuklear di University Maryland Medical Center.

Ini merupakan rutin mingguan Ayub menyedia dan membahagikan makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan sekitar Baltimore, Maryland. Selain dari membantu membanteras masalah kebuluran dan kekurangan zat yang ada dengan harapan Tuhan menerima amalnya, projek ini merupakan suatu projek eksperimen baginya.

Iaitu eksperimen untuk membuktikan bahawa dengan 30 dollar Amerika sahaja, dia dapat memberikan makanan yang cukup zat – karbohidrat, protein dan tenaga, juga rasa yang enak kepada 100 orang di Amerika.

Dan setakat ini, Ayub berjaya membuktikan dia dapat menyediakan nasi sepinggan penuh bersama ayam dan kari serendah 25 sen dolar Amerika bagi setiap orang.

Bagi negara yang punya masalah kebuluran yang besar walaupun gaji orang ramainya rata-rata 3600 dollar sebulan, kemampuan untuk menyediakan makanan kepada 100 orang dengan hanya bermodalkan 30 dollar, dianggapnya sebagai kejayaan yang besar.

Dan dengan gajinya sebagai seorang doktor di Amerika yang lebih tinggi, kejayaan eksperimennya ini membuatkan Ayub merasakan dia perlu lebih berhati-hati untuk membelanjakan wangnya.

Walaupun dia mampu sahaja untuk membeli kuih-muih dan pastri pada harga 25 dollar untuk sekali makan, kejayaan eksperimennya ini membuatkan dia merasakan itu adalah sesuatu yang tidak patut.

“You know there’s huge malnutrition issue here in America right? There’s those hungry people but there’s also those who are obese but undernutrition” Ayub menerangkan kepada aku masalah kekurangan nutrisi di negara ini.

Di sini makanan berkhasiat lebih mahal. Dan junk food yang lebih murah harganya menjadi pilihan golongan miskin. Akibatnya, golongan ini mendapat makanan yang cukup, tetapi bukanlah nutrisi yang cukup.

Hairan juga aku sebenarnya bagaimana aku boleh berada di situ. Tak pernah terbayang oleh aku, akan suatu masa aku mengagihkan bantuan makanan kepada rakyat Amerika.

Iya, Amerika yang selalu kita lihat di kaca TV dan movie itu. Aku ini orang Malaysia, bukan Switzerland. Dan di Malaysia pula, aku ini asalnya dari Kelantan. Negeri yang media suka gambarkan sebagai negeri termiskin.

Tetapi ini bukanlah pemerhatian pertama aku akan orang-orang susah di Amerika. Dalam perjalanan aku ke North and Greenmount di Baltimore itu pun, berapa ramai aku lihat orang yang tidur di tepi jalan.

Ramai lelaki yang berpakaian kusut masai dan menanti di lampu trafik untuk datang meminta wang. Ada yang memegang kadbod bertulis “I’m Homeless, Can You Help Me Out?”

Oh, mungkin ada yang berhujah Baltimore itu sememangnya begitu. Antara bandar jenayah terbesar di Amerika. Benar. Tetapi, di Washington D.C. yang letaknya kurang sejam dari Baltimore pun, aku lihat ramai juga orang tidur di jalanan.

Sebelum aku ke Baltimore, aku singgah di Washington D.C. terlebih dahulu untuk berjumpa dengan Abang Abdullah Haron, rakyat Malaysia yang bekerja untuk International Monetary Fund di sana.

Ketika aku di sana, aku lihat homeless yang berselimut cuba melawan kesejukan di tepi-tepi bangunan dan jambatan pun tidak kurang jumlahnya. Malah, ada juga orang tidur di jalanan beberapa tapak sahaja dari Rumah Putih, kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat.

Seolah-olahnya, mereka ini cuba sedaya upaya memberitahu Presiden di Rumah Putih yang gah itu, mereka ini tidak punya rumah. Seolahnya mereka ini cuba memberitahu kepada Presiden mereka, walaupun dia sibuk cuba campur tangan dalam negara lain dengan menghantar tentera dan ‘bantuan kewangan’, kerjanya di negaranya sendiri pun masih belum selesai.

Ini buat aku rasa sangat hairan. Kerana di Irbid, Jordan tempat aku tinggal dan belajar, di sana tiada pemandangan sebegini. Sedang Irbid itu sebenarnya menjadi hos berpuluh-puluh ribu pelarian Syria. Aneh bukan?

Kerana logik akal mudahnya akan berkata, pelarian ini sudah kehilangan segalanya. Hilang harta dan sumber wang. Jadi, bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Bagaimana ada sehingga lebih 1.5 juta homeless di Amerika. Itu belum pun termasuk lagi mangsa ribut taufan Katrina pada tahun 2012 lalu yang masih tinggal di dalam khemah-khemah?

“It’s pretty simple, man. This is more of a manifestation of the sociopsychological structure than a product of socioeconomical condition,” Balas Ayub apabila aku nyatakan pemerhatian aku ini.

https://www.instagram.com/p/BCZEHyxodoF/

Makes sense. Dan apa yang dia maksudkan adalah struktur kekeluargaan dan masyarakatlah yang memastikan tiada masalah homelessness berlaku di dalam masyarakat Arab terutamanya Arab Syria.

Orang Arab sememangnya tersangat rapat pertalian kekeluargaan mereka. Ibu bapa akan membuat rumah sehingga 3 4 tingkat dan mereka akan tinggal di tingkat paling bawah. Di tingkat-tingkat atasnya adalah untuk anak-anak mereka setelah mereka berkahwin.

Dan bangunan rumah mereka tanpa atap bumbung, untuk memudahkan tingkat atas ditambah. Semua ini untuk memastikan keluarga mereka kekal bersama. Atas sebab itulah mereka semua ini bangga akan nama keluarga mereka.

Iya, bukan semuanya positif kalau disebut akan kebanggaan Arab terhadap nama keluarga mereka. Banyak juga masalah yang timbul. Mereka kemudiannya menjadi berpuak-puak. Tetapi, dalam hal ini, ianya sangat baik.

Sebab itu, walaupun mereka terpaksa keluar dari negara mereka atas sebab perang, ikatan kekeluargaan yang kuat ini memastikan mereka tidak tidur di jalanan. Mereka akan memanggil anak saudara mereka tinggal bersama mereka.

Dua tiga keluarga tinggal dalam ruangan sempit. Mungkin juga ini berlaku kerana timbul rasa empati atas kesusahan ahli keluarganya yang lain. Mereka tahu kesusahan yang dialami, dan mereka mahu menanggung bersama-sama.

Benar, ada di antara mereka yang mendapat bantuan untuk sewa rumah dari negara-negara lain. Dan itu pun yang memastikan mereka masih punya bumbung di atas kepala. Tetapi, bukan semua yang mendapat bantuan.

Ada lagi yang perlu bersusah memaksa anak ke jalanan. Kalau mereka sudah lagi tidak mampu, mereka akan keluar dari bandar dan dihantar ke kem-kem pelarian. Tetapi, kalau pun mereka ke kem pelarian, mereka akan ke sana bersama keluarga mereka. Tiada yang ditinggalkan bersendirian.

Sedangkan, apa yang berlaku di Amerika adalah sebaliknya. Memang benar ada yang terpaksa keluar dari rumah mereka kerana tidak muflis. Ada yang hilang wang kesemuanya kerana tidak mampu menanggung kos perubatan.

Ini pun suatu masalah besar di Amerika juga. Tetapi ramai juga daripada mereka, anak-anak muda yang terpaksa ke jalanan kerana dihalau keluarga ataupun melarikan diri dari keluarga.

Ramai dari mereka yang keluar dari rumah seawal usia 18 tahun untuk ke kolej, dan mereka tidak mampu menanggung kehidupan. Dan akhirnya, ke jalanan mereka bertaruh nasib. Ada juga yang ke jalanan kerana punya masalah psikologi dan pelbagai lagi.

50 peratus daripada homeless di Amerika berusia 50 ke atas. Ini bermakna sebahagian dari mereka pun punya anak. Tetapi mereka ini tidur di luar sana tanpa bumbung di kepala.

Aku tidaklah mahu menunding jari kepada anak-anak mereka yang membiarkan bapa mereka tidur di jalanan secara membabi buta. Mungkin ada di antara mereka yang telah menyalahi anak-anaknya, ataupun mereka sendiri tidak mahu menerima bantuan dari anak mereka.

Sebentar, aku tidaklah terlalu naif untuk mengatakan masalah homelessness ini semata-mata berpunca dari ikatan kekeluargaan sahaja. Aku percaya terdapat pelbagai punca. Cuma apa yang aku katakan adalah sistem kekeluargaan dan hidup bermasyarakat adalah antara benteng paling kuat, dan juga benteng paling akhir bagi membanteras masalah ini.

Dan apa yang aku cuba sampaikan adalah inilah dia hasil penerapan nilai-nilai individualistik yang melampau dalam masyarakat mereka. Inilah dia hasil lemahnya nilai kekeluargaan dalam masyarakat.

Hasilnya manusia keluar dari rumah untuk tidur di sebelah Rumah Putih. Dan sungguh sebenarnya aku tak sangka juga, perjalanan aku ke Amerika ini menemukan aku suatu kebaikan dalam masyarakat Arab.

Tak aku sangka juga mereka punya sistem sosial yang lebih baik sehinggalah aku menapak kaki di celah-celah bangunan Georgetown University di Washington D.C. dan di kawasan ghetto Baltimore ini. Aneh bukan?

Aku asalnya ke Amerika untuk menumpang tidur di rumah Ayub dan belajar ilmu perubatan di hospitalnya. Tetapi, apa yang turut aku dapat pelajari adalah penyakit-penyakit struktur sosial masyarakat dan simptom-simptomnya.

Dan aku percaya, perkara yang sama juga berlaku di negara kita. Dan juga negara-negara yang lain.

“Man, the food is finished already” Laung Ayub dengan tersenyum luas dan berlari-lari. Ada beberapa lelaki yang sedang menjamu selera nasi berlauk kari ayam itu mengangkat tangan mereka ke arah kami.

Aku berjalan ke arah kereta sedan milik Ayu dan meninggalkan kawasan tersebut dengan sudut pandang dunia yang baru. Di Amerika pun ramai orang susah.