Zek Aman Abd Ghani yang berusia 42 tahun merupakan seorang pemandu bas dan van jenazah yang berkhidmat di Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama 13 tahun.

Tapi siapa sangka, di sebalik kerjaya beliau sebagai seorang pemandu, beliau juga merupakan seorang pakar dalam menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron bertaraf profesional di universiti tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
vocket-pemandu-ump-hasilkan-dron-2
Sumber Gambar: Harian Metro

Menurut beliau, lebih 30 unit dron telah berjaya dihasilkan dari pelbagai saiz serta kegunaan selepas lapan tahun berkecimpung dalam bidang elektronik itu. Kebanyakan komponen termasuklah rangka untuk kesemua dron yang dibuatnya telah dibeli dari China.

Pada peringkat awal pembabitan dalam bidang dron ini, beliau terpaksa melalui banyak cabaran terutama apabila beliau hanya belajar dengan ‘bergurukan’ internet semata-mata. Tambah beliau lagi, bukan mudah untuk menghasilkan dron sendirian tanpa kemahiran serta latihan khusus.

Beliau pernah berhadapan lebih 30 kali kegagalan, namun atas sebab minat mendalam dan berkat kesabaran, akhirnya beliau berjaya menerbangkan dron bersaiz kecil ke udara.

vocket-pemandu-ump-hasilkan-dron-1
Sumber Gambar: Harian Metro

“Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan saya apabila kali pertama dapat menerbangkan dron, air mata gembira tidak dapat ditahan untuk mengalir tanda rasa syukur pada Yang Maha Esa terhadap kejayaan diraih selepas mencuba banyak kali.

“Beberapa peringkat perlu dilalui sebelum dron dapat dihasilkan dengan sempurna selepas menerima peralatan dan komponen papan elektronik, kipas dan rangka tugas seterusnya membentuk rangka mengikut saiz diperlukan.

“Selepas rangka disiapkan tugas seterusnya memasukkan program ke dalam papan elektronik. Di peringkat ini kemahiran penting bagi memastikan misi menaikkan dan mengawal dron dapat dilakukan dengan berkesan,” terang beliau dalam satu temuramah bersama Harian Metro.

Terang beliau lagi, setiap dron yang direka olehnya menggunakan rangka yang diperbuat daripada beberapa bahan bermutu tinggi seperti aluminium dan gentian kaca serta bahan ringan lain. Pemilihan rangka yang baik akan mempengaruhi kualiti dron berkenaan untuk melakukan pelbagai tugasan.

Sepanjang lapan tahun terbabit menghasilkan pesawat tanpa pemandu ini, pernah beberapa kali dron beliau terjatuh dan mengalami kerosakan, namun dengan kemahiran yang ada ia boleh dibaiki tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

vocket-pemandu-ump-hasilkan-dron-3
Sumber Gambar: Harian Metro

Walaupun beliau tidak pernah mengikuti sebarang latihan atau kursus secara formal, atas sebab minat yang mendalam dalam dirinya menjadi faktor utama dia mampu menghasilkan pelbagai dron dari segi saiz dan kegunaanya.

“Saya sanggup berjaga malam dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri semata-mata untuk menghasilkan dron yang digunakan untuk mengambil gambar dan meracun di sektor perladangan.

“Minat berkenaan mampu memberi sumber pendapatan tambahan pada saya, dron dijual dengan harga antara RM1,500 hingga RM60,000 bergantung kepada saiz dan kegunaannya,” terang beliau.

Sesebuah dron mengambil masa kira-kira sehari sehingga tujuh hari untuk disiapkan mengikut saiz dron tersebut. Antara saiz dron yang dihasilkan antara 350 hingga 1,000 milimeter dengan dengan berat 600 gram hingga lapan kilogram.

Selain menghasilkan dron, beliau juga membaiki dron milik pelanggannya sekiranya berlaku sebarang masalah dan kerosakan.

Pihak pengurusan UMP turut memberikan sokongan sekaligus menambahkan semangatnya untuk terus menghasilkan dron seterusnya berkongsi kemahiran dengan para pelajar, pensyarah dan mereka yang meminati bidang berkenaan.

“Penggunaan dron di negara ini lebih tertumpu dalam sektor pertanian selain untuk merakam gambar. Diluar negara ia digunakan untuk pertahanan dan mengawal ruang udara.

“Kita mampu memajukan dron jika agensi berkaitan terus memberi sokongan dari segi geran menghasilkan produk berkenaan yang agak tinggi.

“Walaupun tanpa pendidikan tinggi, saya yakin mampu menghasilkan dron pelbagai guna yang sama taraf dengan produk luar negara,” jelas beliau.

Beliau sangat yakin dron mempunyai masa depan cerah kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai sektor, malah negara maju sudah lama berjaya mempelbagaikan kegunaan pesawat tanpa pemandu itu.

Pada tahun lalu, seorang pemuda menawarkan perkhidmatan menyembur racun dan baja dengan menggunakan dron kepada pesawah di kawasan sekitarnya.

Tawar Perkhidmatan Guna Dron Bantu Pesawah, Lelaki Ini Raih Pendapatan RM5,000 Sebulan

Raih RM50,000 Hasil Penjualan, Wanita Ini Dakwa Jual Pokok Lebih ‘Untung’ Daripada Beli Emas

Pelajar Ini Jana Pendapatan RM100,000 Sebulan Hanya Jual Perabot Terpakai Di Kedah

 

Sumber