Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan dilaporkan telah ditembak dan mengalami kecederaan di bahagian kaki dalam satu serangan yang dilakukan oleh pembunuh upahan semasa beliau mengetuai perarakan protes di Wazirabad.

Memetik laporan Reuters, seorang pembantu kanan memberitahu agensi berita AFP bahawa ia adalah “percubaan untuk membunuhnya”, tetapi polis masih belum mengesahkan adakah Imran adalah sasarannya. Anggota parti PTI berkata, empat orang lagi cedera dalam kejadian tembakan itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Imran yang kini berusia 70 tahun mengetuai perarakan di Islamabad untuk menuntut agar pilihan raya mengejut diadakan selepas beliau digulingkan pada April lalu.

Selepas kejadian, bekas perdana menteri itu dilihat dibawa ke hospital yang terletak di Lahore. Pemimpin parti yang juga menteri kesihatan wilayah Yasmeen Rashid, berkata Imran kini berada dalam keadaan stabil.

Tidak lama selepas itu, pihak polis telah mengeluarkan sebuah video pengakuan dari salah seorang lelaki yang ditangkap dan didakwa pembunuh upahan yang cuba membunuh bekas perdana menteri tersebut.

Tidak jelas bagaimana soal siat diantara pihak polis dan suspek utama dijalankan, namun ketika ditanya oleh polis mengapa dia melepaskan tembakan, suspek utama menjawab; “Dia [Imran Khan] menyesatkan orang ramai. Saya mahu membunuhnya. Saya cuba membunuhnya.”

Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan Imran dan penyokongnya berada di bahagian belakang lori sebelum satu bunyi tembakan kedengaran sehingga membuatkan keadaan menjadi panik. Imran kemudiannya dilihat menunduk, manakala orang-orang di sekeliling cuba melindunginya.

Satu video selepas kejadian Imran Khan ditembak, dia kelihatan berada dalam keadaan sedar dengan balutan di bahagian kaki kanannya sebelum dibawa ke hospital. Seorang anggota PTI juga dilihat dengan balutan di muka dan darah pada pakaiannya. “Ini adalah percubaan untuk membunuhnya, untuk membunuhnya,” kata pembantu kanan Imran, Raoof Hasan kepada AFP.

Perdana Menteri terkini, Shehbaz Sharif mengecam kejadian itu dan mengarahkan siasatan segera dijalankan. Presiden Arif Alvi berkata kejadian itu adalah “cubaan pembunuhan yang keji”.

Imran telah mengetuai perarakan yang menuntut agar pilihan raya diadakan. Kerajaan sedia ada bagaimanapun telah berulang kali menyatakan bahawa mereka akan mengadakan pilihan raya pada tahun depan.