“Nurse, kiblat arah mana?”

“Maaf pakcik, saya bukan Muslim.”

Perbualan itu menarik telinga aku. Automatik nurse, pakcik tua tu dan keluarga pakcik tu pandang aku.

Memang lah mereka pandang aku, dah aku duduk di kerusi paling dekat dengan katil pakcik tu. Malah siap pakai kopiah dengan baju melayu. Mestilah aku kena bagi jawapan kan.

“Err kejap saya check kan.”

Then cepat-cepat install apps untuk kiblat. Semua mata dah memandang.

“Maaf ya lambat sikit, saya solat di tingkat atas tadi, tu yang saya tak pasti kiblat di sini.”

“Ooooo patutlah”.

Itu cara awal kami berkenalan semalam. Semalam aku teman abang ipar yang dimasukkan ke dalam wad. Lebih kurang pukul 11 malam pakcik tua ini ditempatkan di katil sebelah. Maka, posisi aku duduk ialah di tengah antara dua katil, katil kanan ada abang ipar aku, katil kiri ada pakcik tua ni.

Pakcik Cemas Belum Witir

orang tua 3

Bila keluarga pakcik ni pulang tiba-tiba pakcik ni tepuk tangan aku.

“Sudah witir?” tanya pakcik itu.

“Witir? Err belum.. Belum lagi,” jawabku.

Malu sebenarnya kena tanya macam tu. Witir adalah solat sunat yang sangat jarang aku nak buat selain bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan pun nasiblah dapat buat kalau pergi berjemaah.

Kalau seorang? Faham-fahamlah.

Muka pakcik ni cemas, dia beritahu dia belum buat witir lagi, terus dia gegas ke toilet.

Aku ingat dia nak solat atas katil, rupanya dia nak solat atas lantai, aku offer dia kerusi aku untuk dia solat duduk, dia kata;

“Tak apa, saya mampu berdiri.”

Selesai witir yang agak panjang bagi aku termasuk dengan bacaan selepas solat dia berbaring di katil.

“Kamu tahu, Nabi tidak akan tidur pada malam hari melainkan setelah membaca As Sajadah, Tabaroka (Mulk), Rahman dan Yaasin,” kata pakcik.

Dalam hati aku bebel, betul ke? Ada dalil ke? Memandai je kot?

Terasa nak bahas tapi mengenang jam masuk pukul 1 pagi dan pakcik ini sendiri sangat uzur, maka aku diamkan. Cuma aku kagum dan terkejut rupanya dia baca (melalui hafalan) 4 surah ni tadi lepas witir. Sakit-sakit pun rajin lagi.

Tiba-tiba dia tanya aku soalan yang selalu aku terima dan selalu juga aku pedih untuk jawab.

“Kamu sudah keluar berapa hari?” tanya pakcik itu lagi.

Ini ‘kod’ kepada jemaah Tabligh. Sebuah jemaah yang aku kagum.

“Err saya tak pernah… Saya ikut ghash yang petang-petang tu dulu dengan ta’alim bila free, itupun lama dulu,” jawabku

Dia agak hairan. Dulu pun bila aku jawab gitu orang yang bertanya hairan. Mungkin kerana wajah aku (janggut panjang) automatik membuatkan mereka menyangka aku anggota jemaah mereka.

Aku ingat dia nak cakap yang dia terkejut atau luahkan kekecewaan, sebaliknya dia ikrom pada aku (memuliakan). Dia tak tanya apa sebab aku tak libatkan diri. Tapi dia ceritakan kisah dia.

Dia pesakit jantung, ada 3 lubang pada jantungnya dan ada juga masalah jantung yang lain. Dia cuma dapat berjalan 10 langkah bersama tongkat dan perlu berhenti rehat. Tak boleh jalan laju dan direct. Keuzuran itu begitu ketara sejak akhir ni sehingga dia cuma dapat solat berjemaah pada fardhu jumaat semata-mata. Itupun setelah puas dilambai minta tumpang.

Namun sebelum uzur sebegini kaki beliau dianugerahkan hampir ke seluruh pelusuk negara, mengajak umat pada iman, malah menyampaikan dakwah di beberapa negara lain melalui jalan Tabligh.

Tujuan dia cerita untuk merangsang aku, kalau dia yang sakit pun boleh buat, maka aku yang sihat kena usaha bagi boleh.

Kemudian dia tanya aku satu lagi soalan berat.

Pakcik: Ada tahajud?

Aku: Err kurang, kurang sangat.

Pakcik: Umur berapa?

Aku: Saya 22.

Pakcik: Ada cinta? (dia senyum)

Aku: Eh taklah muda lagi (aku malu)

Pakcik: Tahajudlah… Umur saya 83, Allah beri izin saya tahajud tanpa tinggal walau satu malam dimana pun semenjak tahun 1973. Hampir 40 tahun.”

OMG. Aku kaget. Biar betul. Aku duduk ngan siapa ni? Aku dah mula rasa malu.

“Kita dibeban dengan fikir tahajud itu susah, kerana itu kita tidak mampu, niat perlu betul, niat yang betul maka kita akan bangun untuk tahajud walau letih macam mana dan tidur pukul berapa, Allah akan bantu, namun jika masih tertidur sampai subuh, niat tadi tetap Allah kira, tidak akan dipersiakan,” jelas pakcik itu lagi.

Dia menceritakan bagaimana dia kerap digenggam oleh ‘sesuatu’ yang mengejutkan dia untuk bangun tahajud. Teringat cerita Arwah Tok Guru Nik Aziz yang dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu bilik untuk qiamullail.
Kuncinya pada niat. Nak atau tak nak. Itu pada pilihan kita. Allah akan bantu.

Aku malu sangat. Tiba-tiba ada pakcik dari katil agak jauh terbangun tidur dan nampak macam alami kesusahan, nurse tak ada pula di situ, aku gegas ke pakcik tu. Jam sudah pukul 2.

Bila aku balik ke tempat duduk. Pakcik tua ini sudah tidur. Tenang wajah dia. Aku bergerak ke surau tingkat atas. Tidur di sana.

Setelah sekian lama sebak sungguh aku tahajud. Mungkin Allah nak pesan pada aku melalui lidah pakcik tua ni.

Aku Imam, Pakcik Makmum

orang tua 2

10 minit sebelum subuh. Dengar bunyi tongkat yang agak kuat menuju ke ruang solat. Alangkah terkejutnya aku bila tengok pakcik tua tu masuk ke dalam surau.

Jauh jugalah nak berjalan ke sini dari wad tadi dan dia dalam keadaan sakit. Rupanya dia datang sebab dia teringat awal perbualan tadi aku sebut aku solat di tingkat atas. Allah luluhnya hati tengok pakcik ni punya semangat.

Ramai datang untuk subuh, cuma sebab aku yang ‘special’ dalam bab pakaian (hiasan luaran) maka akulah yang kena azan dan akulah juga kena jadi imam.

Aku tak ingat bila last aku azan, lagu azan pun aku taram tibai ikut suka hati, melalut adab azan aku langgar sana sini.

Dan suara aku waktu pagi memang unik. Sebab 4 nada suara bercantum, kejap garau, kejap lembik, kejap slow dan paling kerap putus nafas.

Waktu jadi imam pun bacaan melalut, adab imam untuk solat subuh ialah membaca ayat agak panjang dan berunsur motivasi syurga-neraka/hari pembalasan (ini yang aku belajar). Maka berterabur nada baca dengan waqaf ibtida’ kelaut campur nafas tak cukup.

Ayat pun macam tak confident sebab dah terlalu selalu baca Qulhuwallah dengan An Nas (atau mana-mana yang pendek).

Habis solat aku dengan malu bergerak ke tingkat bawah, kembali ke wad. Serentak pula pakcik tua ni jalan sekali, aku malu dengan bacaan dan suara aku. Tapi dia pandang aku sambil jalan dan cakap (tak boleh diberitahu di sini – sangat peribadi).

Bergenang airmata. Sambil jalan aku tengok dia terhenti-henti. Kejap paut di dinding ambil nafas. Ada sekali dia terjerit “Allah” dengan penuh lemah. Pasti kerana sakit.

Sedih sangat. Kembali ke katil, dia berzikir. Sedangkan aku perlu beredar pulang ke rumah untuk rehat. Aku tak sampai hati nak ganggu dia. Aku cuba tunggu tapi lama sangat. Dia berdoa, kejap dia nangis, kejap dia relaks, kejap dia pekup muka kejap dia angkat tinggi.

Akhirnya aku pesan pada abang ipar untuk sampaikan salam pada dia. Nama dia aku tak tau, cuma aku tau dia duduk Pantai Dalam.

Kenapa aku tulis sebegini panjang dan kau baca dengan penuh sabar sedangkan orang lain cuma scroll down laju-laju?

Kerana aku harap, perkongsian ini memberikan jariah buat pakcik tua ini, supaya kita belajar sesuatu dan beroleh sedikit kesedaran.

Terima kasih pakcik. Terima kasih Allah sebab temukan kami.

(Jika ada yang kenal pakcik ni, minta hubungi aku, aku tak tau apa pun pasal dia melainkan dia duduk Pantai Dalam.)