Beribu rakyat India berkumpul di Sektor 93A bandar Noida, kira-kira 50 kilometer dari ibu negara New Delhi, manakala berjuta orang terpaku pada skrin TV menonton dua bangunan mewah – yang digelar “Menara Berkembar” – diruntuhkan oleh pihak berkuasa. Runtuhnya banggunan mewah ini adalah tanda kemenangan buat aktivis yang menentang pembinaan banggunan yang didakwa dibina dengan duit rasuah serta melanggar undang-undang tempatan.

Memetik laporan Bloomberg, pembinaan haram menara setinggi hampir 100 meter ini ditentang sejak sembilan tahun lalu apabila empat lelaki warga emas membawa pemaju hartanah Supertech Limited ke makhamah. Pembinaan bangunan ini didakwa haram kerana menggunakan pintu belakang dengan pegawai kerajaan dituduh memberi kebenaran untuk membina menara yang berisiko mengorbankan nyawa penduduk setempat dan mengambil ruang awam.

Bagi Uday Tewatiya, lelaki warga emas berusia 80 tahun yang bertanggungjawab membawa kes ini ke mahkamah, runtuhnya seni bina mewah ini adalah kemenangan bagi golongan pertengahan yang sering dinafikan keadilan buat mereka, “Pemaju kini akan berfikir 100 kali sebelum cuba menipu orang biasa,” Katanya seperti yang dilaporkan oleh VICE.

Pemimpin politik India turut memuji kemusnahan “banggunan rasuah,” kata Amit Malviya, seorang Ahli politik India yang berkhidmat sebagai penganjur kebangsaan sel IT parti pemerintah Bharatiya Janata Party.

Difahamkan bahawa 3,700 kg bahan letupan digunakan untuk meruntuhkan menara mewah yang bernilai USD$ 87.5 juta atau sekitar RM370 juta. Pihak berkuasa turut memindahkan beribu-ribu penduduk dari kawasan sekitar. Pada pukul 2:30 petang Ahad, satu letupan kuat telah meruntuhkan perumahan mewah sekali gus menamatkan pertempuran undang-undang selama sembilan tahun selepas Mahkamah Agung memutuskan bahawa menara itu adalah haram.

Untuk rekod, pada tahun 2004, pihak berkuasa Noida telah memperuntukkan tanah itu kepada Supertech Ltd. untuk membina 14 bangunan 10 tingkat. Sebaliknya, syarikat itu membina dua menara – secara haram – dengan 40 tingkat setiap satu. Reka bentuk baharu ini juga telah mengambil tanah yang dikhaskan untuk taman dan melanggar peraturan bangunan. Plaintif menyaman Supertech pada 2012, dan rayuan syarikat itu telah dibatalkan tahun lepas oleh Mahkamah Agung, yang turut mengarahkan Supertech memulangkan wang pembeli rumah dengan faedah.

Sejak itu, lebih 50 pegawai pihak berkuasa pembangunan bandar telah disiasat kerana membenarkan pembinaan haram itu. Semasa penyiasatan, beberapa pegawai secara misteri bersara, manakala beberapa digantung.

Lihat bagaimana filem hindustan jadikan Malaysia sebagai rujukan aktiviti rasuah. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Lihat Bagaimana Filem Hindustan Jadikan Malaysia Sebagai Rujukan Aktiviti Rasuah

Tokoh Syiah India Cetus Kontroversi, Minta 26 Ayat Al-Quran Dibuang Kerana Ajar Keganasan

Rasuah RM2.3 Bilion, CEO GLC Antara 8 Individu Yang Ditahan SPRM