Seorang rakan bertanyakan saya mengenai hak beliau yang telah dibuang kerja oleh majikan, yang menurut beliau, tanpa sebab yang munasabah.

Jawapan saya

Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) digubal untuk melindungi para pekerja daripada pemberhentian perkhidmatan yang dilakukan oleh majikan tanpa sebab dan alasan yang munasabah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seksyen 20 (Akta 177) memperuntukkan hak kepada seseorang pekerja memfailkan representasi untuk dipulihkan semula ke jawatan asalnya. Representasi bahasa mudah adalah ‘rayuan’.

Berdasarkan peruntukan di atas, secara ringkasnya proses representasi di bawah seksyen 20 Akta 177 adalah seperti berikut:

1. Seorang pekerja yang dipecat hendaklah membuat representasi secara bertulis kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) untuk dipulih semula ke jawatan asalnya (claim for reinstatement) dalam tempoh 60 HARI dari tarikh pemecatannya dan bukan merujuk terus ke Mahkamah Perusahaan.

2. Setelah Pegawai Bertugas di JPP puas hati terdapat kes, maka pekerja akan diminta mengisi borang dan mengemukakan kepada JPP.

3. JPP akan memberikan tarikh “runding damai”.

4. JPP akan menghubungi majikan untuk menghadiri sesi runding damai di JPP.

5. Jika runding damai itu gagal mencapai suatu penyelesaian, tuntutannya akan dirujuk kepada Y.B. Menteri jika perlu merujuk kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan untuk suatu keputusan.

6. Bagi kes pembuangan kerja, Yang Di Pertua atau Pengerusi Mahkamah akan mengendalikan kes secara berseorangan. Manakala bagi kes pertikaian perusahaan, Mahkamah akan bersidang dengan Presiden atau Pengerusi dan dua orang ahli panel iaitu wakil pekerja dan wakil majikan.

7. Perwakilan yang dibenarkan bagi Pihak Majikan semasa rundingan damai adalah sama ada pemilik syarikat, mana-mana pegawai yang diberi kuasa, pegawai atau pekerja kesatuan sekerja / majikan, atau pegawai mana-mana pertubuhan majikan yang didaftarkan di Malaysia, contohnya Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (Malaysian Employers Federation – MEF).

8. Perwakilan yang dibenarkan bagi Pihak Pekerja semasa rundingan damai adalah dirinya sendiri, pegawai atau pekerja kesatuan sekerja sekiranya beliau adalah seorang ahli kesatuan atau mana-mana pegawai pertubuhan pekerja yang didaftarkan di Malaysia umpamanya (Malaysian Trade Union Congress – MTUC); dan

9. Pekerja atau majikan tidak boleh diwakili oleh mana-mana peguam, penasihat, perunding atau mana-mana orang lain.

Berdasarkan proses yang dinyatakan tersebut, adalah jelas bahawa setiap kes pemecatan tidak difailkan secara terus ke Mahkamah Perusahaan.

Proses akan dimulakan dengan pemfailan representasi bertulis kepada Ketua Pengarah JPP dan kemudian JPP akan menjalankan proses runding damai.

Sekiranya runding damai tersebut gagal, tuntutan akan dirujuk kepada Menteri yang kemudiannya merujuk kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan.

Seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 memperuntukkan:

“The court shall act according to equity, good conscience and the substantial merits of the case without regard to technicalities and legal form”.

Merujuk kepada kes, Milan Auto Sdn. Bhd lawan Wong She Yen (1995) 4 CLJ 449.

Perkara perkata yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam kes ini ialah:

1. Sama ada dakwaan salahlaku terhadap pihak yang menuntut (bekas pekerja) telah dibuktikan oleh pihak syarikat; dan

2. Sama ada pembuktian salahlaku itu mewajarkan pihak syarikat memecat yang menuntut dengan sebab dan alasan yang adil.

Mahkamah boleh mengarahkan bagi pekerja yang dibuang untuk:

1. Pampasan

2. Reinstatement

3. Bayaran upah ke belakang

4. Dibayar elaun

5. Faedah-faedah persaraan wajib

6. Lain-lain.

Selamat maju jaya Tuan dan Puan.

Sumber
  • Blog rasmi Jabatan Peguam Negara