Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET


Baru-baru ini tular sebuah hantaran di media sosial mengenai kes kehilangan seorang lelaki dipercayai diculik semasa berurusan jual beli tiga unit iPhone yang dibayar tunai semasa penghantaran atau cash on delivery di sekitar kawasan perniagaan di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Sabtu yang lalu.

Setelah lima hari menghilangkan diri tanpa berjaya dikesan, akhirnya mangsa culik yang dikenali sebagai Muhammad Amirul Shafiq, 25 tahun, dilaporkan berjaya ditemui malam-semalam selepas pihak polis berjaya mengesan lokasi di mana Amirul diculik dan dikurung oleh penculik.

Memetik laporan halaman Harian Metro, Amirul menceritakan semula bagaimana kejadian penculikan itu boleh berlaku. Difahamkan, punca kejadian berlaku semasa Amirul melakukan penghantaran COD tiga unit iPhone 12 bernilai sekitar RM17,000 yang dibeli oleh seorang lelaki (penculik) dan perjumpaan diadakan di lokasi yang dijanjikan pada sekitar jam 7.30 malam, Sabtu lalu.

“Hampir sejam saya menunggu kedatangan lelaki itu, namun dia masih tidak muncul. Alasan diberinya, dia ingin mengeluarkan wang terlebih dahulu.

“Sebaik dia tiba, secara baik saya dijemput untuk ikut dia masuk ke dalam keretanya yang di parkir di bawah satu bangunan kononnya ingin privacy semasa mengira wang dan tidak mahu orang lain melihat,” ceritanya kepada wartawan Harian Metro hari ini.

Amirul pada ketika itu dikatakan tidak duduk berdua di dalam kereta bersama penculik malah dia juga ditemani oleh dua lelaki lain yang tidak dikenali. Siapa sangka urusan jual beli yang sepatutnya berjalan dengan lancar dan tenteram bertukar menjadi tragedi sebaik sahaja mata Amirul disembur dengan spray atau penyembur ubat nyamuk lalu ditumbuk oleh lelaki yang membeli iPhone itu.

Amirul tidak berdaya melawan setelah matanya pedih ditumbuk dan disembur racun. Dia cuba menjerit untuk meminta pertolongan daripada orang awam, namun tidak berjaya setelah tangan serta mulutnya diikat dengan menggunakan pita pelekat.

“Tidak terbayangkan betapa cemasnya saya pada ketika itu. Saya cuba menjerit meminta pertolongan namun tiada siapa yang menyedari.

“Saya kemudiannya dibawa mereka ke sebuah farmasi di sekitar Sungai Besi. Setelah sampai di situ, mereka turun dan membeli satu ubat di farmasi berkenaan.

“Sangkaan saya ubat itu saja mereka beli, rupa-rupanya saya yang dipaksa makan 10 biji ubat itu sehingga menyebabkan saya mula rasa dalam keadaan separuh sedar,” jelasnya lagi.

Amirul yang pada itu dalam keadaan separuh sedar kemudiannya dibawa ke rumah penculik yang terletak di Ayer Keroh, Melaka lalu dikurung bersama seorang lelaki dipercayai rakan penculik.

“Selepas saya dikurung, ‘pembeli iPhone’ bersama dua lagi lelaki yang bersamanya itu pergi meninggalkan saya bersama rakan mereka yang ada di rumah tersebut pada Ahad lalu.

“Saya dikawal rapi oleh rakan mereka yang turut menyamar sebagai anggota polis kononnya saya ini ada berbuat kesalahan sampai perlu ditahan di dalam rumah itu,” jelasnya lagi.

Amirul juga menceritakan sepanjang lima hari terkurung di rumah penculik, dia hanya diberikan beberapa kali sahaja makan nasi dan biskut. Paling menyedihkan, kadangkala dia juga tidak diberi makan. Apa yang Amirul boleh buat hanyalah terus bersabar melayan karenah penculik itu dan baginya mungkin masih ada ‘sinar’ untuk dia bebas dari situ.

Dalam pada terkurung di rumah penculik itu, Amirul menceritakan bahawa dia bermimpi dirinya akan diselamatkan polis. Siapa sangka, mimpinya itu menjadi kenyataan selepas pihak polis berjaya mengesan lokasi dia diculik dan akhirnya dia berjaya diselamatkan pada sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

Lantaran itu, ayahnya, Sudirman Daek, 50 tahun, menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila anaknya dilaporkan selamat dan berterima kasih kepada pihak polis kerana berjaya mengesan lokasi anaknya diculik.

Difahamkan, mereka yang berbuat jahat atas penculikan Amirul sudah ditahan oleh pihak polis untuk tindakan yang selanjutnya, seperti dijelaskan oleh Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon kepada Harian Metro.

Baca lagi perkongsian kami yang ‘trending’ menerusi pautan di bawah.

Pandu Proton X50 Pelanggan 180km/j, Sales Advisor Kemalangan Dan Kereta ‘Total Lost’

Mat Saleh Ini Mahu Orang Makan Nasi Guna Pisau Dan Garfu, Larang Guna Tangan

Lihat Bekas Pemandu ‘Rally’ Lenjan Perodua Ativa Naik Genting Highlands

Anda Mungkin Suka