Pada pertengahan bulan Oktober lalu, seorang rakyat Malaysia telah membuat kejutan apabila berjaya muncul naib juara pada kejohanan e-sukan yang berlangsung di Bucharest, Romania.

Pemuda tersebut yang baru berusia 20 tahun, Cheng Jin Xiang atau lebih dikenali sebagai ‘NothingToSay’ mewakili pasukannya yang berpangkalan di China, PSG.LGD menduduki tempat kedua dalam pertandingan ‘Dota 2 The International 10’.

Pasukan terbabit berjaya meraih hadiah bernilai USD$5.2 juta (RM21.7 juta). Jika wang hadiah tersebut dibahagikan kepada lima orang pemain, setiap seorang akan membawa pulang USD1.04 juta (RM4.34 juta).

Baru-baru ini tular sekeping gambar di media sosial kelihatan ‘NothingToSay’ berdiri di sebelah sebuah Lamborghini Huracan berwarna putih. Gambar itu telah membuatkan orang ramai menyangka beliau telah membeli supercar tersebut dengan wang hadiah yang dimenanginya.

Rata-rata ramai memuji serta berbangga dengan hasil kerja keras beliau sejak tahun 2016, ‘NothingToSay’ kini merupakan salah seorang pemain Dota 2 yang duduk sebaris dengan pemain bertaraf antarabangsa yang lain.

Namun, beberapa jam gambar tersebut mula tular, beliau memuat naik hantaran di Facebook rasminya menafikan kenyataan orang ramai yang mana supercar tersebut adalah miliknya.

“Ini bukan saya punya, saya cuma bergambar dengan kereta tersebut,” terang beliau bagi menjelaskan perkara sebenar.

Hantaran tersebut telah membuat orang ramai berasa lucu apabila masing-masing berasa kena prank secara tidak sengaja oleh ‘khabar angin’ yang masih lagi dikongsikan oleh netizen-netizen lain ketika waktu ini.

Pada masa yang sama orang ramai masih memberikan kata-kata semangat serta yakin satu hari nanti ‘NothingToSay’ bakal memiliki kereta mewah dari negara Itali tersebut.

Sumber Gambar: Facebook Nothingtosay

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ti Lian Ker memaklumkan bahawa kejayaan wakil Malaysia itu membuktikan negara ini mempunyai pemain berbakat dalam e-sukan.

“Mereka menunjukkan dengan usaha, semangat tidak mudah mengaku kalah dan disiplin tinggi, pemain Malaysia juga boleh bersaing diperingkat tertinggi antarabangsa.

“Ini memberi inspirasi dan contoh positif kepada ramai belia yang menaruh minat tinggi kepada e-sukan,” kata beliau.

Semasa pembentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan pihak kerajaan akan menyediakan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan industri e-sukan yang dilihat berpotensi menjadi prospek terbaik pembangunan sukan negara.

Ketahui bagaimana sebuah kelab bola sepak gergasi di Perancis, kini turut dikenali dan disegani sebagai kelab e-sukan terbaik di arena antarabangsa melalui pautan di bawah.

Bagaimana Paris Saint-Germain Berjaya Menjadi Jenama Besar Dalam E-Sukan

Ketahui Jumlah Gaji Yang Diterima Pemain E-Sukan Secara Keseluruhan

REV Media Group Jalin Kerjasama Perkukuh E-Sukan Bersama UiTM