Baru sahaja mencatat sejarah dalam tayangan perdana TvN minggu lalu kerana berjaya mendapat rating kedua tertinggi, drama Mr. Queen kini dilanda kontroversi kerana dianggap mempersendakan figura dan sejarah Korea. Khabarnya, ini bukan kontroversi pertama yang pernah melanda drama ini.

Sebelum ini, drama Mr. Queen pernah dilanda kontroversi walaupun drama tersebut belum ditayangkan. Difahamkan, drama ini diadaptasi dari novel China yang berjudul Tai Zi Fei Sheng Zhi yang ditulis oleh Xian Chen dan juga drama siri China Go Princess, Go! dan perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penulis asal novel itu.

GoPrincessGo

SUMBER: DRAMA WIKI

Bagi meredakan isu tersebut, penerbit drama Mr. Queen memohon maaf dan menjelaskan bahawa walaupun drama itu diinspirasikan dari novel tersebut, pihak produksi cuma mengambil inspirasi sekadarsatu bahagian sahaja daripada novel itu sahaja manakala jalan ceritanya adalah berbeza.

Baru sahaja kontroversi itu reda, drama Mr.Queen sekali lagi dilanda kontroversi sebaik sahaja episod kedua drama tersebut disiarkan. Episod tersebut mengundang kemarahan para penonton Korea kerana terdapat beberapa babak yang dianggap berlebihan dan mempersendakan sejarah.

Para penonton faham bahawa genre drama tersebut adalah komedi. Akan tetapi, walaupun ia berasaskan komedi, perkara tersebut tetap dianggap tidak sensitif, lagi-lagi apabila watak yang ditonjolkan dalam drama tersebut ditulis berdasarkan figura sejarah.

Antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati penonton ialah apabila watak dari drama tersebut mengatakan bahawa Catatan Sejarah Dinasti Joseon dianggap sebagai sebuah jirashi sahaja. Untuk makluman, Catatan Sejarah Dinasti Joseon merupakan catatan rekod tahunan yang disimpan dari setiap dinasti dan dianggap sebagai harta negara Korea yang ke-151.

Untitled

SUMBER: KOREA JOON GANG DAILY

Catatan rekod tersebut merupakan catatan tahunan yang paling panjang untuk sebuah dinasti dari seluruh dunia. Jirashi pula sebaliknya adalah sebuah buletin yang mengandungi spekulasi dan informasi yang tidak sah. Khabar angin juga kadang-kala boleh terdapat di dalam sebuah jirashi.

Selain dari itu, watak Permaisuri Shin Jeong pula digambarkan sebagai seorang yang taksub kepada perkara tahyul dan khurafat. Perkara tersebut telah ditegur oleh wakil dari keturunan Permaisuri Shin Jeong yang mengatakan pihak istana tidak sepatutnya dibuat sebagai bahan lawak.

Antara babak lain yang menerima kecaman ialah apabila watak Permaisuri tersebut dilihat mempersenda rekod sejarah dan memberi komen berunsur jenaka kepada sebuah ritual turun temurun di Kuil Jongmyo. Ekoran dari kemarahan para penonton, team produksi drama Mr.Queen tampil untuk memohon maaf.

171290562b1f43f883ffeb89185d8dfd

SUMBER: SOOMPI

“Kami memohon maaf seikhlas hati kepada semua penonton kerana terlepas pandang beberapa aspek. Kami akan melakukan yang terbaik agar para penonton tidak akan rasa tidak selesa lagi apabila menonton drama Mr. Queen pada masa akan datang,” Jelas pihak produksi.

Mereka juga akur dengan kekhilafan mereka terutama sekali kerana mempersendakan Catatan Sejarah Dinasti Joseon dan mengatakan bahawa mereka tidak ada niat untuk memburukkan dinasti tersebut.

“Drama Mr.Queen merupakan sebuah drama komedi di mana kami meminjam figura dari sejarah dan berlatarkan era dahulu. Akan tetapi, hasil penulisan buat drama ini berunsurkan fiksyen. Walau bagaimanapun, kami sedar akan kesilapan kami dan memohon maaf kepada semua kerana menimbulkan rasa tidak selesa. Kami akan berusaha untuk menghasilkan drama yang terbaik,” jelas pihak produksi drama Mr. Queen itu lagi.

Sebelum ini, drama ini telah mencipta sejarah kerana berjaya meraih rating kedua tertinggi. Klik pada pautan di bawah untuk membaca.

Baru Mula Ditayangkan, Drama Korea Mr. Queen Terima Sambutan Yang Hangat Di Seluruh Dunia

Dibebaskan Selepas 12 Tahun Dipenjara, Perogol Sebenar Filem ‘Hope’ Masih Dikawal Ketat

Anda Mungkin Suka