Seorang Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti sebuah universiti awam di negeri Melaka direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki menerima suapan sebuah kereta Honda Accord.

Menurut portal Melaka Hari Ini, tertuduh berusia 50-an ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin, selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Permohonan reman itu yang bermula hari ini dan akan berakhir pada Isnin depan (26 September) dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas lelaki terbabit mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Melaka, kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian lokap dan diiringi pegawai SPRM.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Melaka Mohd Shahril Che Mat berkata, individu berkenaan ditahan kerana disyaki menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 yang dianggarkan berjumlah RM174, 500.

“Ia diperoleh daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350,” katanya.