Bergurau senda atau ‘membahan’ satu sama lain bukanlah perkara asing jika anda merupakan seorang peminat bola sepak atau sukan apa-apa sekali pun. Malah ianya bukan sahaja berlaku di Malaysia, tapi turut digemari dan dilakukan peminat sukan di seluruh dunia.

Kebiasaannya, gurauan atau jenaka bila pasukan yang disokong ini kalah atau mengalami detik-detik memalukan datangnya daripada kawan-kawan sepejabat dan akaun-akaun media sosial berkait sukan. Tetapi kali ini lain pula ceritanya apabila akaun Twitter Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) juga turut menyertai kemeriahan ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Walaupun tidak lah berseloroh secara tersurat namun akaun Twitter ini sejak beberapa minggu kebelakangan (atau mungkin lebih lama lagi) dilihat mula menyindir peminat-peminat pasukan bola sepak terkenal secara tersirat melalui ciapan mereka.

“Bagaimana mereka menyindir?”

Seperti kami katakan tadi sindiran-sindiran manis (tetapi mungkin agak pahit untuk ditelan) ini dibuat melalui ciapan-ciapan di akaun rasmi Twitter mereka dengan berkongsikan peribahasa-peribahasa Melayu yang seakan-akan kena dengan situasi dialami pasukan dan peminat mereka.

Sebagai contoh, ianya dapat dilihat melalui ciapan terbaru mereka pagi ini yang menggunakan kekalahan pasukan bola sepak Arsenal FC kepada Burnley FC dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Arsenal bimbingan jurulatih Mikel Arteta tewas dengan jaringan 0-1 di laman sendiri. Bertambah malang, mereka kalah selepas salah seorang pemain mereka menghadiahkan jaringan kepada pihak lawan.

Susulan kekalahan itu, akaun Twitter Dewan Bahasa dan Pustaka kemudiannya berkongsikan ciapan peribahasa malang tiada datang tunggal yang membawa maksud malang yang bertimpa-timpa dan menggunakan kekalahan Arsenal sebagai contoh kepada peribahasa berkenaan.

Seperti dijangkakan, ciapan ‘tersirat’ oleh DBP ini telah menerima reaksi pelbagai daripada netizen dengan ada yang bersedih dan tidak kurang juga yang menumpang gembira dengan peribahasa dan penggunaan contoh untuk peribahasa berkenaan.

Berikut adalah beberapa reaksi daripada netizen terhadap ciapan tersebut;

https://twitter.com/_adamsabri/status/1338381380854550529?s=20

Buat peminat Arsenal, jangan pula anda terasa hati kerana anda bukanlah pasukan pertama yang digunakan sebagai contoh kepada peribahasa ini.

Malah pasukan seperti Manchester United juga pernah melalui situasi sama pada minggu lalu selepas tewas kepada RB Leipzig dalam kempen Liga Juara-Juara mereka sebelum ini.

EoxQW-CUYAASA7W (1)
Peribahasa yang menjadikan kekalahan Manchester United sebagai contoh.

Jika pasukan anda masih terselamat daripada dijadikan contoh, jangan pula anda senang hati dan bersenang lenang.

Ini kerana jika melihatkan kepada beberapa ciapan ini, ia jelas menunjukkan tiada penyokong yang akan terlepas daripada digunakan sebagai contoh peribahasa-peribahasa ini dalam masa terdekat.

Tetapi jika pasukan anda sudah pun menjadi contoh kepada peribahasa ini, jangan pula anda terasa hati dan berduka lara kerana kami pasti apa pun ianya bertujuan untuk mendidik masyarakat kita mengenai peribahasa Melayu.

Mungkin jika sebelum ini kita hanya mengetahui beberapa peribahasa, kini dengan cara terbaru oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini kita akan dapat mempelajari lebih banyak pilihan peribahasa untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.

Baca juga perkembangan semasa di media sosial yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah. 

Khairy Jamaluddin Sahkan Sandbox Wujud Di Malaysia Buat Peminat Drama Start-Up Terkejut

‘Sembahyang Hajat Setiap Tahun’- Prinsip Tauke Berbangsa Cina Di Kelantan Ini Dipuji Netizen

Pernah Tinggal Dan Bersekolah Di Malaysia, Datuk Bandar Di Amerika Syarikat Jadi Perhatian

Sumber