Jika anda berada di media sosial sejak beberapa hari yang lepas, anda mungkin terlihat perkongsian mengenai warga emas yang dirakam ketika sedang menjual air kelapa.

Perkongsian tersebut bukan sahaja mendapat perhatian dan simpati ramai malah membuatkan ramai dalam kalangan netizen yang tampil menghulurkan bantuan.

Walaupun ramai yang membantu dan menyatakan simpati, namun ada juga segelintir netizen yang dilihat mempersoalkan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan lelaki berkenaan.

Tidak mahu perkara tersebut terus berlarutan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai, salah seorang wakil daripada keluarga lelaki tersebut kemudiannya tampil menjelaskan situasi sebenar.

Menurut individu yang hanya mahu dikenali sebagai @balqishmazlan itu, warga emas tersebut yang dikenali dengan ‘Atok Long’ mempunyai sebuah perniagaan iaitu menyediakan servis kanopi namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan beliau telah melibatkan diri di dalam perniagaan menjual air kelapa.

“Saya tiada niat lain selain membantu keluarga ini. Atok Long ini dia ada perniagaan kanopi, jadi faham-fahamlah apabila sudah PKP, business dia jatuh macam mana. Betullah apa yang dia kata, dia mempunyai anak dan cucu. Cucu pula dijaga oleh nenek.

“Saya nak tekankan yang Atok Long memang seorang yang kuat dan suka bekerja. Dia sejenis yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaj kerja yang ingin dibuat. Anak-anak beliau sudah pesan banyak kali untuk duduk rumah namun beliau masih berdegil hendak membuat kerja,” jelas beliau melalui untaian (thread) berikut.

Menurut beliau, disebabkan oleh itu, anak-anak kepada ‘Atok Long’ tersebut tidak dapat lakukan apa-apa selain akur atas permintaan beliau ingin bekerja.

Sedih atas kecaman yang dilemparkan

Menjawab persoalan dari pihak The Vocket, apabila perkara tersebut tular di seluruh media sosial, ahli keluarga bagi ‘Atok Long’ tidak berapa senang kerana mereka jelasnya masih berkemampuan untuk membiayai keperluan warga emas tersebut.

“Mereka bersedih atas semua kecaman dan tomahan yang dilemparkan terhadap diri mereka. Yang menyatakan mereka tidak reti menjaga kedua ibu bapa. Mereka menangis atas kecaman yang diberikan sampai mereka berasa ketakutan.

“Nasihat saya, tidak salah memberikan bantuan kepada orang yang nampak di dalam kesusahan tetapi adalah satu tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga mulut dari berkata kata keji. Menolong orang itu amalan yang baik, namun andaian yang melampau tanpa soal siasat adalah buruk,” jawab beliau.

Justeru, beliau berharap selepas dari perkara ini, setiap kali jika ternampak kisah-kisah yang seakan seperti ini dipersilakan untuk menolong namun simpanlah kata-kata berbentuk negatif di dalam hati sahaja kerana kita tidak tahu akan perkara sebenar.

Diharap dengan perkongsian ini, ia dapat membantu menjawab persoalan serta andaian dari rata-rata rakyat Malaysia berkenaan isu tersebut.

Baca perkongsian kami sebelum ini yang berjaya ‘trending’ di The Vocket melalui pautan di bawah.

Tidak Mahu Pekerja Hilang Kerja, Pengusaha Hotel Ini ‘Turun Padang’ Jual Makanan Serendah RM3

Sentuh Isu Perkauman Dan Strim Permainan Slot, Streamer Ini Dikecam Hebat Netizen

Asyik Menari Dengan Lagu ‘Bang Jago’, Wanita Ini Tak Sengaja Rakam Rampasan Kuasa Di Myanmar

Sumber