Saya seorang pensyarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Sejak akhir-akhir ini, saya kerap dihubungi oleh beberapa orang pelajar yang mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di Politeknik. Antara soalan yang sering kali diajukan ialah;

Kejuruteraan itu senang tak?
Apa peluang pekerjaan yang ada kalau saya sudah habis belajar nanti?
Banyak tak duit yang diperlukan untuk menyambung pengajian?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Persoalan seperti ini sebenarnya tidak merisaukan saya untuk menjawabnya kerana ia tidak melibatkan hati dan perasaan kita sebagai manusia. Ada soalan yang lebih berat untuk dijawab seperti mana cerita bakal pelajar ini.

Kisahnya bermula apabila dia telah ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam salah satu bidang yang terdapat di Politeknik. Namun yang menjadi masalah adalah apabila keluarganya saling bergaduh kerana ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan penawaran bidang tersebut.

Akhirnya dia menjadi bingung dan tertekan. Dia bertanya kepada saya, “Apa yang perlu saya lakukan?”

Berjam-jam masa yang saya ambil untuk membalas pertanyaannya, kerana dia adalah seorang ‘not yet Muslim’. Saya tidak mahu menambahkan lagi beban yang ditanggung dan mahukan yang terbaik buatnya.

Akhirnya saya berkata, “Awak cubalah berbincang secara aman dengan kedua ibubapa awak. Itu yang sebaiknya.” Sehabis daya saya cuba mencari kata-kata yang play save.

Terima Atau Tidak Tawaran Tersebut?

Jika anda mendapat tawaran sambung belajar, maka seharusnya anda bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan.

Jika anda tidak menyukai bidang yang ditawarkan, maka berbincanglah secara baik dengan kedua ibubapa. Jangan lupa untuk melakukan solat Istikharah untuk memohon petunjuk dan yang terbaik dari-Nya.

Kita sebagai ibubapa juga seharusnya bertolak-ansur dengan anak-anak. Kadang saya sedih apabila ada ibubapa yang menelefon meminta pertolongan untuk menasihati anak-anak mereka yang dilihat sudah tidak minat untuk belajar walaupun sudah memasuki semester ketiga.

Salah satu faktornya ialah tidak minat dengan bidang tersebut. Terima tawaran hanya kerana dipaksa oleh ibubapa.

Allah telah menetapkan segalanya, jadi hanya kepada Allah tempat kita meminta. Berdoalah dan mohonlah bantuan daripada-Nya.

Teringat saya pada zaman saya mendapat tawaran belajar dulu. Asalnya saya ialah pelajar dalam bidang Pengajian Kejuruteraan Awam, tetapi membuat pilihan untuk menyambung pengajian dalam bidang Undang-undang Syariah.

Sewaktu keputusan kemasukan ke Universiti diumumkan, saya ditawarkan dalam bidang yang saya tidak pernah minta iaitu Kejuruteraan Mekanikal.

Bersungguh saya mahu menolaknya, akhirnya jauh disudut hati saya berkata:

“Semuanya adalah ilmu Allah. Allah telah memilih siapa yang dia kehendaki untuk berada dalam bidang ini.”

Sesungguhnya percaturan Allah itu hebat! Jadi, jangan pernah mengalah sebelum mencuba! Didoakan agar kita sentiasa dipermudahkan oleh-Nya. Insya-Allah.