Pengalaman Mohamad Farhan Azman, anak muda berusia 20 tahun yang ditipu sindiket pencari kerja benar-benar mengajar kita realiti yang dihadapi oleh anak muda dalam usaha untuk mencari pekerjaan bagi menyara hidup dan keluarga.

Beliau yang menceritakan pengalamannya sepanjang ditahan di sebuah kem berpagar besi dan dikawal oleh lelaki berpakaian tentera di dada Berita Harian semalam telah mengundang pelbagai reaksi media sosial, lebih perih lagi apabila beliau akui terpaksa makan apa sahaja, termasuk babi, tikus dan daging ayam yang tidak halal kerana takut diancam oleh mereka yang menahan beliau.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lebih sedih lagi apabila Farhan turut menyatakan bahawa sebahagian daripada wanita yang ditahan di sana telah dijadikan hamba seks oleh anggota sindiket yang berpakaian ala askar dengan senjata M16.

Dalam laporan tersebut, Farhan menggamit kembali permulaan pengalaman hitam beliau di mana dia bersama empat rakan ke Bangkok dan tiba di negara jiran itu pada 13 September tahun lalu menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa, Senai dengan harapan kononnya mereka akan berkerja menjadi pengemas bilik hotel di Singapura.

Mereka kemudiannya menaiki pacuan empat roda ke Mae Sot Thailand dan selepas bermalam di sebuah hotel murah, dibawa melalui kawasan hutan, ladang tebu dan jagung sehingga sampai ke sebuah sungai sempadan Thailand-Myanmar.

Dalam situasi tersebut, beliau dan rakan sudah mempunyai perasaan kurang enak bahawa mereka telah dijual. Tidak lama selepas itu, datang sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu kenderaan mereka dan diminta untuk menaiki bot.

“Selepas 20 minit, kami tiba di sebuah kawasan dengan disambut ramai lelaki berpakaian askar dan bersenjata yang menyuruh kami mengikut mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda.

“Dalam setiap kenderaan itu, ada lapan orang termasuk dua ‘askar’ bersenjata dan semuanya lebih tiga kenderaan,” katanya.

Detik hitam ini pasti tidak mahu lagi diingati oleh Farhan dan rakan-rakannya. Dia kini berjaya pulang ke pangkuan keluarganya di Batu Pahat dan tragedi tersebut bukan sahaja menjadi pengajaran kepadanya, malah untuk seluruh rakyat Malaysia.

Untuk rekod, sepanjang berada dalam tahanan, beliau dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ untuk mencari mangsa dari negara Eropah dengan menjual produk yang murah. Selepas mangsa membuat transaksi dalam talian pada pautan palsu, ahli sindiket akan mula menyerap segala wang dari akaun mangsa.