Seorang pesara wanita yang berusia 74 tahun telah kehilangan wang simpanan sejumlah RM1,007,673.33 juta selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam pada tahun lalu.

Wanita tersebut dipercayai telah ditipu oleh dua individu yang menyamar sebagai petugas Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut laporan terbitan New Straits Times, beliau telah menerima panggilan pada 25 September yang lalu dari ibu pejabat Pos Malaysia yang memaklumkan bahawa terdapat sebuah bungkusan yang mengandungi kad pengenalan, buku cek serta tiga kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepunyaan beliau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata panggilan tersebut kemudiannya telah disambungkan ke Sarjan Fairul yang mendakwa dirinya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan telah memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan sedang di dalam siasatan.

“Panggilan itu sekali lagi disambungkan kepada seorang lagi individu lelaki bernama ‘Wan’ yang mengugut mangsa dengan mengatakan bahawa mangsa akan ditangkap dan direman jika enggan memberi kerjasama sepanjang ‘siasatan mereka’.

“Bimbang dengan ugutan tersebut, mangsa akur dengan permintaan suspek dan telah memberikan maklumat akaun banknya kepada ‘Wan’ serta memindahkan RM833,000 daripada akaun Tabung Haji ke dalam akaun Maybanknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ezanee, pada 5 Oktober tahun lalu, ‘Wan’ telah meminta warga emas tersebut untuk menyerahkan kad Maybanknya, yang didakwa diperlukan untuk mengeluarkan wang itu bagi tujuan pengauditan dalam kes pengubahan wang haram yang beliau sedang siasat.

Gara-gara bimbang akan disabitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram, keesokan harinya mangsa telah pergi ke pusat beli-belah Atria dan telah meletakkan kad Maybank di atas peti surat seperti yang diarahkan.

Pada 28 Oktober 2020, mangsa turut melakukan beberapa lagi transaksi pemindahan wang kepada suspek yang bernilai RM75,000 dan diikuti empat lagi transaksi selepas beliau memindahkan RM84,500 ke dalam akaun Maybanknya.

Perkara tersebut telah menyebabkan warga emas tersebut mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah RM1,007,673.33 selepas terpedaya dengan sindiket tersebut.

Ianya difahamkan sindiket tersebut sering menjadikan warga emas sebagai sasaran kerana mereka kurang mahir serta tiada pendedahan berkenaan jenayah siber.

Baca perkongsian kami yang terdahulu berkenaan seorang wanita yang telah ditipu lebih RM300,000 melalui pautan di bawah.

Kerana Percayakan ‘Andy Lau’ Sebagai Kekasih, Wanita Ini Telah Ditipu Lebih RM300,000

Nabil Ahmad Antara Individu Yang Dipanggil SPRM Berhubung Isu Macau Scam

Tidak Tampil Bantu Siasatan Kes ‘Macau Scam’, Pelakon Lelaki Dan Pengacara Wanita Akan Dipanggil SPRM