Orang kata, malang tidak berbau. Kecelakaan atau musibah datang secara tiba-tiba, yang ini mesti diakui. Tiada orang tahu bila akan ditimpa malang, begitulah juga dengan saya. Tapi kita sebenarnya boleh buat persiapaan awal, maksud saya dari segi mental.

afghanistan-the-vocket

Gambar diatas cukup mahal bagi saya, gambar terakhir yang sempat di update di instagram @thevocket sebelum telefon saya diragut si pencopek ketika travel di Afghanistan.

Ini bukan kes besar, masalah dirompak, diragut atau jadi mangsa penyeluk saku sebenarnya boleh berlaku di mana-mana. Terlalu rasa selesa mungkin buat kita kurang berhati-hati, terutama ketika travel.

Tragedi berlaku ketika saya berada di dalam teksi di Bandar Kabul. Seperti yang anda lihat di dalam gambar di atas, keadaan lalu lintas di Bandar Kabul sangat sesak, peluang ini digunakan oleh si peragut menjalankan operasi.

Mungkin dari kecuaian saya sendiri tidak berhati-hati, ketika itu saya sedang menjawab panggilan telefon dari seorang rakan, dan semasa itulah si peragut mengambil telefon saya dari luar menerusi tingkap.

Perkara penting untuk anda tahu, di negara yang keadaannya sebegini, hati-hati juga walaupun berada di dalam kereta. Pastikan tingkap tertutup jika mahu menjawab panggilan telefon. Sentiasalah berwaspada.

Processed with VSCO with hb1 preset
Kabul, Afghanistan

Yang berlalu biarkan berlalu, di sini saya kongsikan beberapa tips keselamatan buat anda yang mahu travel ke Afghanistan. Perkongsian ini berdasarkan pengalaman peribadi dan mungkin boleh diguna pakai nanti.

Teksi

Jika berada di dalam teksi, hati-hatilah dengan setiap orang yang mendekati anda. Di Afghanistan banyak peminta sedekah (biasanya dari anak-anak kecil), penjaja dan pelbagai jenis manusia lagi. Hati-hati dan sentiasa berwaspada, pastikan tingkap tidak dibuka luas. Lebih elok tutup terus.

Teksi Vs Kereta Sapu

Biasanya kes culik yang menjadi mangsa adalah mereka yang menaiki kereta sapu, ini orang Afghanistan sendiri maklum kepada saya. Tapi ini tidaklah bermakna semua kereta sapu bahaya, tidak juga.

Jika mengambil perjalanan jauh seperti dari Kabul ke Jalalabad hanya ada kereta sapu, tapi pastikan dari stesen yang betul. Jika hendak pusing bandar sahaja lebih selamat ambil teksi (berwarna kuning) dari kereta sapu, termasuk dari bandar ke lapangan terbang.

Senjata Peribadi

Yang ini cadangan saya sahaja sebagai keselamatan tambahan. Boleh beli pisau jenis lipat yang biasa digunakan untuk potong epal, banyak dijual merata-rata. Simpan di tempat tersembunyi dan mudah diambil jika perlu. Contohnya di dalam jaket.

Penyeluk Saku

Berada dalam kesibukan di tengah-tengah bandar mungkin menjadikan anda salah seorang mangsa penyeluk saku, jadi hati-hati juga dengan perkara ini sebab Kabul memang bandar yang penuh dengan kesesakan.

Elak Bawa Beg Duit

Rasanya bawa apa yang perlu sahaja. Di Afghanistan anda tidak perlu takut dengan harga mahal atau tipu harga seperti kebanyakkan yang berlaku di India. Mereka majoritinya sangat jujur dalam jual beli. Oleh kerana kos perbelanjaan di Afghanistan tidak mahal, jadi bawa duit yang secukupnya sahaja.

Barang Berharga

Hati-hati dengan barang berharga seperti telefon, kamera atau laptop. Jangan terlalu menonjol kerana ini mungkin menarik perhatian si peragut.

reshca

Reshcar

Di beberapa tempat seperti di Jalalabad, mereka menasihati saya supaya berhati-hati dengan Reshcar, Reshcar kenderaan tiga roda seperti tuk-tuk. Reshcar biasanya akan lalu di lorong-lorong, risiko diculik mungkin.

Tetapi jangan terlalu khuatir, kalau rasa kurang selamat lari sahaja. Di Afghanistan banyak polis dan askar di merata tempat.

Kawan

Sebaiknya anda mencari kenalan dahulu sebelum pergi ke sini kerana orang tempatan lebih tahu mana tempat yang selamat atau mana yang tidak. Mereka lebih arif dan peka dengan keadaan semasa.

Waktu

Waktu kurang selamat adalah ketika di awal pagi dan ketika lewat malam. Pastikan anda sentiasa berhati-hati jika keluar pada 2 waktu ini.

Pakaian

Terlalu menjadi perhatian mungkin tidak menyeronokkan. Di Afghanistan mereka ada pakaian mereka, kelihatan sangat janggal jika melihat anda meragakan t-shirt.

Walaupun dari segi bentuk muka memang jauh sungguh bezanya, jangan risau mereka mungkin fikir anda dari daerah Hazara, Afghanistan. Nah, pura-pura sebagai orang tempatan.

Cara Bergaul

Saya perhatikan orang Afghanistan sangat mesra sesama mereka. Ucapan salam sentiasa kedengaran setiap kali berselisihan. Tidak mahu nampak asing, boleh ringankan mulut beri salam walaupun pada orang yang tidak dikenali. Sekali lagi pura-pura sebagai orang tempatan.

Dan yang paling penting jangan bertanya isu-isu sensitif seperti Taliban, ISIS, Daesh, kalau mahu bertanya pun pastikan pada waktu yang sesuai. Setiap orang di Afghanistan mempunyai pendapat yang berbeza dalam isu ini.

Kedutaan

Ini paling penting, tiada kedutaan Malaysia di Afghanistan. Mula-mula saya pun risau juga jika ada perkara-perkara buruk yang terjadi dan ini hanyalah ‘backup plan’ saya sahaja.

Jika dari Kabul boleh pergi ke Jalalabad dan seterusnya ke Torkham iaitu sempadan di antara Peshawar, Pakistan. Rujuk alamat kedutaan Malaysia di Islamabad Pakistan. Tidak jauh rasanya jika dari Peshawar.

Sempadan di sini tidak terlalu ketat, anda boleh keluar masuk dengan cara menyelinap sahaja, jika tertangkap dengan kerajaan Pakistan bagitahu sahaja masalah anda dan minta mereka serah anda ke kedutaan Malaysia. Hahaha.

Ini sedikit perkonsian saya tentang travel ke Afghanistan melalui kaca mata saya sendiri. Travel ke Afghanistan beri anda satu pengalaman yang cukup ajaib. Lihatlah dari mata pengembara, setiap negara yang ada di dunia ini pastinya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selamat mengembara!