Impian dua lelaki warga Malaysia untuk mencari rezeki di negara orang terkubur selepas mereka ditipu oleh seorang ejen pekerjaan yang menjanjikan bulan bintang. Kedua adik beradik, Araz Abdullah berusia 23 tahun dan Mohammad Aiman berusia 30 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang terpaksa menempuh liku hidup yang tak pernah mereka bayangkan.

Menerusi temubual Harian Metro bersama kedua rakyat Malaysia yang memasang impian untuk bekerja di London untuk mengubah nasib keluarga. Mereka menceritakan perit jerih yang dialami sepanjang berada di kota asing selepas ditipu ejen pekerjaan yang menawarkan kehidupan yang lebih baik di London.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Araz berkata bahawa dia mendapat informasi mengenai kerja yang ditawarkan di London selepas mengikuti paparan video dan gambar seorang lelaki di TikTok. Adik beradik ini kemudiannya menghubungi nombor telefon ejen pekerjaaan terbabit dan sebuah pertemuan telah diadakan di Kuantan, Pahang bagi membincangkan prosedur ke London.

Sepanjang berhubung dengan ejen pekerjaan terbabit, mereka dijanjikan pekerjaan, visa, tempat tinggal dan tiket penerbangan dua hala. Araz dan Aiman turut membayar RM10,000 bagi menampung kos untuk bekerja di London. Kos terbabit dibayar menerusi bantuan ibu mereka yang juga pengusaha kedai makan dengan menggunakan wang simpanan. Ejen pekerjaan itu juga menyatakan bahawa akan ada wakil mereka yang akan menyambut ketibaan kedua adik beradik ini di London.

“Saya mahupun abang tidak bersekolah tinggi dan kami memasang harapan bekerja di sini untuk membayar balik wang yang dipinjam dari ibu selain mengubah nasib keluarga. Abang sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata, malah kami juga menyara bapa yang berusia 70-an.

“Kedua ibu bapa kami juga tidak sihat dan memiliki beberapa komplikasi kesihatan dan ketika membuat panggilan video, kami cuba menjelaskan keadaan kami di sini dan usaha bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya yang berasal dari Kelantan tetapi kini menetap di Kuantan.

Bagaimanapun, segala janji yang ditabur akhirnya terkubur. Impian untuk mengubah nasib keluarga bertukar tragedi apabila kedua adik beradik ini terpaksa menjalani kehidupan sebagai gelandangan selama empat hari di London.

Sepanjang empat hari di London, mereka tinggal di kaki lima bangunan, terpaksa meminta belas kasihan makanan yang disedekahkan oleh gereja dan tidur dalam kesejukan di kaki lima disebabkan suhu sejuk. Lebih perit lagi apabila mereka terpaksa mengutip sisa makanan yang ditinggalkan selain terpaksa meminta sedekah daripada beberapa individu.

Namun segalanya mula berubah apabila mereka mengikut cadangan seorang individu yang meminta mereka untuk ke Bayswater, Landon, “Pada hari ketiga, kami bertemu dengan seorang hamba Allah yang memberi cadangan kepada kami untuk ke Bayswater, London kerana menyatakan di sana berpeluang bertemu ramai penduduk dari Malaysia. Kami berjalan kaki hampir dua jam pada hari keempat untuk sampai ke Bayswater dan di situ kami bertemu Mich yang menjadi penyelamat kami,” katanya kepada Harian Metro.

Sepanjang bersama Minch, mereka ditawarkan tempat tinggal sementara, makanan serta berpeluang untuk menghubungi keluarga mereka bagi berkongsi apa yang telah terjadi kepada mereka. Minch kini dalam usaha untuk mencari pekerjaan buat dua beradik berkenaan.

Ketika bercakap kepada Harian Metro, Minch berkata bahawa dia tidak pernah mendapat sebarang maklumat mengenai ejen pekerjaan yang boleh mencari kerja di sini. Bagi beliau ini adalah sindiket penipuan yang mahu menggunakan kesusahan orang lain bagi mendapat keuntungan kepada mereka, “Diharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan janji manis individu atau sindiket tertentu,” katanya.