Pernah tak anda terima SMS atau panggilan seperti di bawah? Sudahlah ianya ditaip dengan menggunakan huruf besar, makin pening nak baca dan faham.

Saya rasa terpanggil nak kongsi pasal isu ini sebab akhir-akhir ni makin kerap kawan-kawan atau orang-orang tua termasuklah ‘client’ di tempat saya tinggal yang memberitahu kepada saya mereka sering menerima SMS atau panggilan seperti ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Jika diikutkan benda ini sudah lama berlaku tapi makin lama ianya terus berleluasa sekarang ni. Kebanyakan datang daripada pihak pengutip atau pemungut hutang (debt collector). Setiap kali SMS atau panggilan dibuat kadang-kadang ianya disertai dengan nada yang agak biadap dan seakan mengugut jika sejumlah bayaran tidak dibuat, maka waran tangkap atau rumah akan dilelong.

Ok, sebenarnya terdapat banyak benda dan prosedur yang perlu diikuti oleh pihak pemiutang sendiri sebelum mereka boleh meneruskan tindakan perlaksanaan penghakiman (execution of judgment).

4 jenis ugutan

Ada 4 tindakan yang sering disebutkan dalam SMS atau panggilan di atas iaitu melibatkan tindakan kebankrapan, sita rumah, lelong harta benda dan waran tangkap. Ianya tidak boleh diteruskan secara sekaligus terhadap anda. Ianya melibatkan prosedur tertentu di Mahkamah dan bukannya sesedap oren je Pemiutang boleh teruskan tindakan pada anda.

Saya nyatakan dulu apa maksud 4 tindakan tersebut mengikut undang-undang untuk memudahkan anda faham terlebih dahulu.

Tindakan sita rumah atau terma yang betul ialah tindakan writ penyitaan dan penjualan (Writ of seizure and sale) atau pendeknya dipanggil ‘WSS’. Bukan rumah anda yang akan disita tetapi hanya barang-barang di dalam rumah yang akan disita dan kemudian akan dilelong.

Tindakan waran tangkap pula hanya untuk kes berkaitan dengan Saman Penghutang Penghakiman dan bukannya kena mengena dengan tindakan kebankrapan.

Tindakan Kebankrapan pula biasanya adalah langkah terakhir sekali diambil dalam kes tuntutan hutang.

Kebankrapan

Saya ulas satu sahaja dahulu iaitu tindakan kebankrapan. Pihak Pemiutang (pemberi pinjaman) mesti mendapatkan satu Penghakiman dahulu di Mahkamah ke atas anda yang mana hutang anda mestilah berjumlah RM30,000 sekurang-kurangnya. Contoh mudah, jika hutang anda hanya setakat 5000 ke 10,000 sahaja, tindakan kebankrapan tidak boleh dibuat ke atas anda.

Selepas itu barulah mereka boleh teruskan tindakan kebankrapan di Mahkamah Tinggi dengan memfailkan Notis Kebankrapan. Jika anda perasan SMS di atas menyebut satu “Petisyen Sipiutang akan ditampalkan….”. Sebenarnya ianya hanya boleh dikeluarkan selepas Notis Kebankrapan tadi berjaya diserahkan kepada anda.

Jika sebelum anda terima SMS tu, anda langsung tak pernah menerima sebarang Notis Kebankrapan lagi, bagaimana mereka boleh beritahu satu Petisyen Sipiutang atau Petisyen Pemiutang telah dikeluarkan dan akan ditampal? Anda nampak tak permainannya di situ?

Ada beberapa kemungkinan dan jawapan iaitu mungkin juga Notis Kebankrapan telah dikeluarkan dan diserahkan secara penyampaian ganti iaitu melalui pengiklanan kepada anda.

Tapi saya nak kongsikan dengan anda bahawa sebarang serahan dokumen untuk tindakan kebankrapan hendaklah terlebih dahulu dibuat secara ‘by hand’ kepada anda dan jika gagal selepas beberapa kali cubaan dibuat, (bermaksud anda gagal dihubungi langsung), barulah ianya boleh dibuat melalui cara pengiklanan.

Situasi anda tadi ialah anda baru sahaja terima SMS atau panggilan dari pemungut hutang tersebut, ini bermakna mereka masih lagi boleh menghubungi anda. Sepatutnya jika mengikut prosedur yang betul, mereka mesti menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan kebankrapan secara kediri (by hand) kepada anda dan bukannya melalui SMS atau panggilan semata-mata.

Jadi sudah tentu ianya satu penipuan dan hanya sekadar nak bagi “gempak” atau menakut-nakutkan anda agar membayar sejumlah wang secepat mungkin dan yang pasti mereka akan dapat komisyen jika anda membayar jumlah yang diminta.

Tempoh dibenarkan

Untuk pengetahuan anda juga, tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang hanya setakat 12 tahun sahaja untuk pihak pemiutang penghakiman meneruskan tindakan perlaksanaan ke atas anda termasuklan tindakan kebankrapan. Selepas tamat tempoh tersebut, tiada lagi sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap anda.

Saya merasakan ini adalah antara sebabnya mereka hanya menghantar SMS atau panggilan kepada anda kerana jika tindakan diteruskan di Mahkamah tempohnya sudah melebihi 12 tahun. Jadi itulah cara yang mudah dan menjimatkan yang dapat mereka lakukan.

Cuma satu sahaja nasihat saya jika benar-benar anda mempunyai hutang dengan mereka, elok bayar sedikit demi sedikit jika tidak mampu sekaligus.

Semoga sedikit perkongsian ini bermanfaat buat anda yang membaca. Jika anda rasa status ini memberi manfaat kepada rakan anda dan orang lain , sila kongsikan.

Terima kasih.