You should write a book about your PhD journey, Duratul.” Itu kata-kata Principal Supervisor saya Professor Peter pada hari graduasi, Disember 2016.

Buku? Oh tidak! Nak menghabiskan tesis saya tempoh hari pun sudah separuh mati dibuatnya. Betul. Bukan cliché. Memang separuh mati.

Not a book, but I promise you I will write something on it.” Itu janji saya. Jadi di sini saya nukilkan sedikit kisah saya semasa melanjutkan pengajian peringkat PhD Optometri (Public Health) pada tahun 2011 di Queensland University of Technology, Australia. Moga-moga kisah ini boleh menyuntik semangat kepada semua pembaca.

Cabaran Sakit Kanser Ketika Siapkan PhD Di Australia

Saya disahkan menghidapi kanser. Tidak cukup satu; kanser payudara (Disember 2013), datang kanser kedua; kanser thyroid (Februari 2016). Subhanallah. Itu ujian yang diberikan kepada saya. Ketika diberitakan mengenai kanser payudara, saya baru di tahun 2 pengajian. Waktu itu tengah bersemangat belajar. Baru sahaja selesai mengutip data kajian dan sedang melakukan data entry.

Saya masih ingat satu-satu riak wajah supervisor saya yang 3 orang itu apabila selesai mesyuarat saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja didiagnos kanser. Speechless kot. Mereka menjangkakan saya akan berhenti pengajian. Tetapi apabila saya beritahu yang saya akan cuba dahulu selagi termampu, mereka janji akan terus bimbing dan sokong saya. “Yes, we see how it goes,” kata mereka.

Mulai hari itu, saya sandarkan segala-galanya pada Allah SWT. Saya berazam akan usaha selagi mampu dan tidak putus-putus memohon hidayah dan kekuatan dariNya. Ketika itu, saya amat berpegang dengan kalam Allah: “Aku bersama sangkaan hambaKu.” Jadi, saya hanya isi yang baik-baik sahaja dalam fikiran saya.

Alhamdulillah, dipendekkan cerita, Allah susunkan dan mudahkan urusan saya untuk menjalani pembedahan dan rawatan (kimoterapi dan radioterapi) di Wesley Hospital, Brisbane, menerusi panel insurans majikan suami saya. Dalam tempoh saya berulang ke hospital, saya tetap pergi ke universiti.

Sepatutnya setiap kali kimoterapi (kimo) saya diberi 1 minggu cuti rehat (MC). Tapi saya degil. Saya hanya berehat di rumah pada hari pertama selepas kimo sahaja. Bukannya apa, saya tak mahu tinggal berseorangan di rumah kerana ianya akan membuatkan saya fokus kepada masalah dan kesakitan saya lalu menjadi sedih dan depressed.

Selepas kimo kali ke-2, kesan sampingan ubat sitotoksik menjadi semakin kuat. Saya rasa semakin lemah dan tidak bertenaga. Muka saya pucat lesi kerana sel darah merah dan putih makin sedikit. Rambut juga mulai gugur dengan banyak. Kuku menjadi rapuh dan hitam. Selera makan hilang. Sakit kepala saban hari. Jadi pada satu hari, saya mengalah dan pulang ke rumah awal. Saya pikul 3 fail tebal data kajian. Gigih nak sambung kerja di rumah. Konon.

Sedang saya berjalan ke tempat parkir kereta sedar-sedar saya telah tersungkur di atas tanah. Kertas-kertas bertebaran. Mujur ada seorang pelajar ini datang membantu saya. Alhamdulillah hanya luka di kaki dan tangan. Saya terus jatuh sakit selepas itu, diserang neutropenia fever. Saya tersadai di wad transplant selama 10 hari menunggu infusi darah. Insaf sekejap. Hari-hari selepas itu saya banyak menyiapkan kerja kajian saya di rumah sahaja.

IMG_2918

Alhamdulillah, diam tak diam, saya selesai menjalani 6 kali kimoterapi dan 30 kali radioterapi dan hanya sambung rawatan adjuvant therapy sebanyak 17 kali. Side effects ubat ini hanya palpitation. Lega sangat. Sebab saya mula rasa sihat dan kuat. Tetapi, hari demi hari saya jadi amat blur. Bahasa perubatannya cognitive impairment. Lambat respon. Lambat pick up apa orang cakap. Pelupa ya amat.

Semua benda rutin yang saya kena buat hari-hari pun saya lupa. Saya lupa apa ayat yang nak cakap next semasa tengah bercakap. Tiap kali solat saya lupa berapa rakaat. Macam nyanyuk tok nenek. Allahu Akbar. Pada saya, kesan kimo yang ini paling hebat kerana ia membuatkan saya tidak boleh berfungsi dan ini men-depressed-kan saya.

Saya hilang keyakinan diri untuk teruskan penulisan thesis saya. Sebab saya tak dapat tulis apa-apa pun. Tapi, saya gagahkan juga menulis walaupun sehari hanya dapat sebaris dua sahaja. Bila baca semula memang entah apa-apa yang ditulis. Hari-hari saya menangis. Saya tak boleh tidur malam. Saya tak mahu jumpa orang.

Saat itu saya rasa memang perjalanan PhD saya harus tamat di situ sahaja. Sedikit-sedikit saya mula rasa negatif dan berfikir saya harus akur kekurangan saya dan mengundur diri. Tetapi, disebabkan supervisors saya tidak putus-putus memberikan saya semangat untuk menghabiskan PhD. Saya terus bertahan.

Minggu-minggu selepas itu saya hanya mampu merenung skrin komputer yang kosong berjam-jam. Hinggalah satu hari itu, saya nekad PhD bukan rezeki saya. Saya tutup komputer, kemas meja dan terus tuju ke pejabat supervisor. Saya ketuk pintunya dan terus masuk tanpa menunggu dia cakap “please come in” seperti biasa. Ketika itu air mata sudah tidak tertahan dan terus tumpah mencurah-curah.

That’s it. I want to quit. I just don’t want to do this any longer. Everything feels like new for me every day. I can’t write a single thing. I can’t not even think. Please, please tell me to quit, Peter!” Laju saya menghambur kata-kata.

Tercengang-cengang supervisor saya dibuatnya. Saya nampak matanya berkaca-kaca. Subhanallah, dia memang seorang yang tenang dan fatherly. Diajaknya saya duduk sambil menghulurkan tisu kepada saya. Dibiarnya seketika saya puas menangis.

It is good to cry and let it out, Duratul. I can see you are struggling hard. We need to figure out this together. Let us think what options do we have to help you…” Petah dia mengatur ayat dan meyusun solusi. Perjumpaan itu berakhir selama 1 jam dan saya rasa amat lega selepas itu. Alhamdulillah ala kulli hal.

“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6).

MasyaAllah, selepas insiden break-down itu Allah turunkan pertolongan kepada saya menerusi pelbagai cara. Di antaranya, saya dapat bantuan proofreading percuma dari kawan-kawan Aussie, elaun university dan travel award menghadiri konferens di Jepun dan Singapura. Segala urusan yang susah menjadi lancar dan mudah sehinggalah saya berjaya akhirnya submit thesis untuk pemeriksaan pada Disember 2015. Alhamdulillah.

Saya terus berada di Australia selama 3 bulan selepas submission untuk menulis artikel jurnal. Dalam tempoh itulah saya didiagnos pula dengan kanser thyroid dan menjalani pembedahan. Dua bulan selepas itu saya kembali ke Malaysia. Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya dikurniakan kesihatan yang baik. Saya amat terhutang budi kepada semua yang mendoakan saya, terutamanya suami, mama abah, saudara mara dan rakan taulan. Jangan putus harap kepada kekuasaan doa sebagai senta mukmin.

IMG_2922

Tujuan saya berkongsi kisah ini bukan untuk menunjukkan kekuatan, kecekalan atau kegigihan saya semasa menghadapi ujian sakit tersebut. Tetapi, saya ingin kita bersama-sama dapat mengutip mutiara hikmah dan merenung kebesaran Allah, Tuhan yang menciptakan ujian yang amat bersesuaian dengan kemampuan hambaNya dan tidak lain untuk mendekatkan kita kepadaNya.

Jika kalian sedang bergelut dengan ujian, percayalah ujian yang sedang kalian hadapi ini adalah yang paling sesuai. Oleh sebab itu, tiada ujian yang paling ringan atau paling berat bagi seseorang kerana setiap satunya amat unik. Allah SWT itu Al-‘Alim Yang Maha Mengetahui.

phd kanser

Percayalah bahawa kejadian manusia di dunia fana ini bukannya sia-sia dan tidak ada seorang makhluk pun bebas daripada diuji dengan kehilangan harta, ketakutan dan kesakitan. Yakinilah ujian-ujian ini akan meningkatkan darjat keimanan kalian di hadapan Allah SWT. Teruskan doa, usaha serta tetapkan tawakal di dalam merungkai masalah dan ujian ini dengan sabar.

Semoga Allah kurniakan kita kesabaran, dengan kesabaran yang cantik. Fasbir sobran jamiila. Amin. Jika Allah menginginkan sesuatu kepada hambaNya, ia pasti akan terjadi walaupun kesukaran yang harus ditempuhi. Dengan Ar-RahmanNya saya boleh submit thesis dalam tempoh 4 tahun walaupun saya sering sakit. Dengan Ar-RaheemNya, diganjari kesusahan saya dengan kejayaan merangkul segulung ijazah PhD.

McD
HYPE
Pertama Di Malaysia, Pilihan Raya McDonald’s 2019 Ini Buat Netizen Teruja
Baca lagi →
Artikel di atas disumbangkan oleh Mutiara Mata. Bekerja sebagai optometrist di Kuala Lumpur.