DOA SEORANG ANAK YATIM…SELEPAS 16 TAHUN

Pada 28 Mac 2005, berlaku gempa bumi kuat di Pulau Nias, Sumatera hingga menyebabkan hampir 2,000 orang terbunuh. Bos aku, Datuk Zaini Hassan kemudian mengarahkan aku dan jurufoto, Eim Khalid serta Raja Jaafar membuat liputan di sana.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketika itu kami menemui sebuah rumah anak yatim yang rosak teruk, ada hampir 30 orang penghuni di dalamnya. Mereka hanya tinggal dalam khemah, kesejukan, kehabisan barang makanan dan pakaian yang compang camping.

Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang ketika itu membaca artikel berkenaan, membuat keputusan untuk menghulurkan sumbangan peribadinya dan meminta aku menyampaikannya kepada rumah anak yatim itu secara senyap-senyap dan tanpa pengetahuan sesiapa.

Bukan saja bantuan kecemasan, arwah juga memberi puluhan ribu ringgit untuk membaiki rumah anak yatim itu! Memegang amanahnya, aku langsung tak tulis dalam akhbar mengenai sumbangan arwah.

Dalam ramai-ramai penghuni rumah anak yatim itu, aku tertarik dengan seorang penghuni bernama Amrul Fajrin Marunduri. Walaupun dalam keadaan daif dan kesusahan, dia bilang padaku yang dia mahu belajar bersungguh-sungguh, kalau boleh sampai Jakarta, mahu jadi Ustaz dan mahu jadi Presiden Indonesia!

Ketika itu aku katakan pada Amrul: “Tiada yang mustahil dik, janji kamu kena belajar sungguh-sungguh, biar sampai Jakarta ya!”

Untuk pengetahun korang, Pulau Nias ni sangat jauh dari Jakarta, 1,800 kilometer! Kalau naik bot dekat 9 jam. Sampai pelabuhan terdekat di Sibolga, kita kena ke Medan ikut jalan darat lagi 8 jam.

Dari Medan naik flight ke Jakarta lagi dua jam! Pendek kata, bagi anak-anak yatim itu, dapat pergi Jakarta pun dah kira pengalaman yang paling indah!

Malam tadi Allah mempertemukan kami semula selepas 16 tahun, dalam FB lebih tepat. Ia hasil bantuan petugas Radio Republik Indonesia (RRI) Pulau Nias, Ce Deny.

doa-anak-yatim-1

doa-anak-yatim-2

doa-anak-yatim-3

Rupa-rupanya apa yang didoakan Amrul menjadi kenyataan. Dia kini sudah di Jakarta! Paling penting, dia berjaya menyambung pelajaran dalam jurusan dakwah di Sekolah Tinggi Ilmu Dakwah Dirosat Islamiyah.

Dua impiannya sudah jadi kenyataan. Mahu ke Jakarta dan mahu jadi ustaz. InsyaAllah berkat doa anak yatim sepertinya, dia mungkin bakal PRESIDEN INDONESIA!

Al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Jamaluddin. Kalau dia masih hidup, tentu dia orang yang paling gembira kerana anak yatim yang dibantunya itu kini bakal bergelar ustaz.

Amrul. Allah maha besar!

Baca lagi: Yatim Piatu Kerana Kecuaian Orang Lain, Lelaki Ini Berkongsi Rasa Hati Beliau