Ramai yang mungkin tidak mengenali sosok tubuh ini, Dr Dhesi Raja, anak kelahiran Sabah yang berjiwa besar dan cuba memerangi Denggi yang melibatkan 22 kematian dan dilaporkan sebanyak 10,500 kes pada tahun 2013 di Malaysia sahaja.

Pun begitu, nama beliau tidak asing lagi dalam komuniti perubatan kerana beliau merupakan pengasas kepada laman The Malaysian Medical Gazette, satu laman web yang menyediakan maklumat perubatan yang ditulis oleh doktor dan pelajar perubatan berkisar tentang isu-isu kesihatan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Beliau juga merupakan Presiden Malaysian Integrated Medical Professional Association (MIMPA) yang juga diasaskan oleh beliau sendiri memfokuskan misi-misi kemanusiaan, isu-isu perubatan dan mengumpulkan profesional dari pelbagai latar belakang termasuk peguam, ahli korporat, pakar IT dan lain-lain.

Dr Dhesi yang dijangkakan menamatkan pengajiannya di peringkat PhD dalam bidang Public Health dengan fokus dalam Informatik Kesihatan pada tahun 2016 ini tidak tahu makna berhenti dalam menyumbang kepada rakyat Malaysia.

Projek terbaru beliau, sebuah aplikasi yang mampu menjangka wabak denggi telah memenangi pertandingan Singularity University Global Impact 2015 dan beliau akan ke Singularity University yang diasaskan oleh duo teknologis, inovator dan futuris terkemuka dunia, Ray Kurzweil dan Peter Diamandis yang bertempat di NASA Research Ames Park, Silicon Valley selama 2 bulan untuk belajar dari inovator-inovator terbaik di dunia. Singularity University ditubuhkan pada tahun 2008, telah menempatkan, melahirkan dan melatih pemimpin-pemimpin teknologi dan futuris terkemuka di dunia dan melatih pemimpin visionari untuk menggunakan teknologi eksponensial (exponential technology) untuk menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi manusia di seluruh dunia. Beliau turut menerima biasiswa dari ECM Libra sepanjang keberadaan beliau di Silicon Valley.


Ray Kurzweil (kiri) dan Peter Diamandis (kanan) bersama pelajar-pelajar mereka di Singularity University


NASA Ames Research Park, Silicon Valley

Menurut beliau dalam temubual di dalam Whatsapp dengan saya, aplikasi ini akan membantu komuniti dan pihak berautoriti untuk menjangkakan wabak denggi seterusnya dan lokasi-lokasi wabak tersebut dalam masa sebulan lebih awal. Ini akan mengubah pendekatan yang reaktif terhadap kes-kes denggi kepada pendekatan yang proaktif.

Aplikasi ini menggunakan Big Data Analytics dan Bayesian Network dengan menjadikan data-data hujan, arah dan kelajuan angin, ribut, radiasi matahari (solar radiation), kes-kes denggi pada minggu pertama dan keempat, tapak pembinaan, ketumpatan penduduk, altitud, kelembapan dan rupa bentuk bumi sebagai pemboleh ubah.

Beliau bersama-sama Prof Ting dan Dr Peter Ho dari MMU yang mana kedua-duanya adalah pensyarah dalam bidang IT, membangunkan aplikasi yang bakal membasmi wabak denggi yang dilaporkan menyebabkan sebanyak 22 kematian dan 10,500 kes pada tahun 2013. Menurut beliau, ketepatan model yang digunakan beliau kini adalah pada 87-88%.


Sebelum ini beliau juga telah memainkan peranan penting di dalam sistem kesihatan negara. Beliau merupakan tonggak utama dalam mengimplikasikan sistem kelahiran atas talian di seluruh negara, iaitu I-Kelahiran, yang mana ia berfungsi menyusun dan menyimpan semua data-data berkenaan kelahiran, imunisasi dan juga keadaan ibu selepas melalui proses bersalin bagi tujuan mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu.

Projek beliau ini telah diimplementasi di 21 buah hospital dan 292 klinik kesihatan di seluruh negara. Ini bermakna, jika anda menggunakan khidmat hospital kerajaan untuk tujuan bersalin, kemungkinan besar, anda telah menggunakan sistem yang diasaskan oleh Dr. Dhesi.

Oh ya, jangan terkejut selepas mengetahui umur doktor ini. Dengan semua pencapaian hebat ini, beliau sebenarnya belum pun mencecah umur 31 tahun! Masih muda lagi!

Hero ini seharusnya menjadi sumber inspirasi ramai rakyat Malaysia supaya menggembleng tenaga dalam membina negara yang lebih maju, aman dan makmur.

Kami di TheVocket ingin mengucapkan terima kasih, tahniah dan selamat berjaya kepada Dr. Dhesi. Moga apabila pulang ke Malaysia dari NASA Ames Research Park di Silicon Valley nanti, beliau turut membawa pulang bersama ilmu-ilmu yang berguna dan mampu memberi impak dlam bidang kesihatan pada skala yang lebih besar. Terima kasih, doktor!

Artikel ini turut saya kongsikan di laman web RakanMedik – sebuah laman web yang berkongsi perihal dunia kesihatan dan merungkai persoalan-persoalan orang awam berkenaan kesihatan.  

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram