“Kenapa doktor nak paksa-paksa saya bekerja? Tengoklah keadaan saya. Mana boleh bekerja!”

Aku dah agak pesakit kecederaan saraf tunjang ini akan memberi reaksi begini.

Beliau lumpuh daripada perut ke bawah selepas kemalangan. Kencing perlu gunakan tiub yang dimasukkan setiap 4 jam. Buang air besar perlu keluarkan dengan jari setiap selang sehari.

Bila kami (doktor rehabilitasi) sarankan pesakit OKU bekerja, seringkali kami dilabel tidak berhati perut.

Ada kata kami bersekongkol dengan pihak KWSP dan PERKESO untuk menafikan hak mereka buat tuntutan pengeluaran wang atau pampasan.
Itu semua tak benar.

Simulasi pemanduan untuk pesakit.

Abdullah bin Ummi Maktum. Kau pernah dengar kisahnya? Beliau adalah seorang sahabat Rasulullah yang buta sejak lahir.

Pada suatu hari Abdullah bin Ummi Maktum mendatangi baginda dan meminta keringanan agar dikecualikan untuk pergi ke masjid kerana rumahnya terletak jauh daripada masjid.

“Adakah kau mendengar azan?” tanya baginda.

“Ya,” jawab Abdullah bin Ummi Maktum.

Nabi SAW bersabda: ”Maka jawablah seruannya, kerana tiada keringanan untukmu.”

Malah Abdullah bin Ummi Maktum telah dilantik pula menjadi iman yang bertanggungjawab melaungkan azan Subuh.

Kau bayangkan, Abdullah buta, rumahnya jauh daripada masjid. Dia berjalan kaki. Ada kisah yang menyatakan dia menuntun tali yang diikat menyusuri jalan antara rumahnya dan masjid.

Abdullah juga juga sering dilantik menjadi wakil Rasulullah jika Baginda keluar daripada kota untuk berdakwah.

Ini menunjukkan Baginda mendorong OKU menyertai komuniti, beri mereka peranan dalam masyarakat, sama beratnya dengan peranan orang upaya.

Kau tahu kenapa?

Manusia yang tiada tanggungjawab di atas bahunya, akan mula mensia-siakan hidup mereka. Mereka tidak akan cuba memperbaiki diri.

Lama-kelamaan akan ada di kalangan mereka mula jadi individu yang mendesak (demanding). Bahkan mereka akan mula merasakan kelangsungan hidupnya adalah tanggungjawab masyarakat.

Dari aspek rehabilitasi, bekerja itu sendiri adalah sebahagian daripada rawatan pemulihan.

Bila pesakit ada pekerjaan, sosioekonominya akan terpelihara, kecergasan fizikalnya akan meningkat, fungsi kognitif (akal) akan semakin baik. Oleh itu, jika pesakit ada potensi untuk bekerja, kami akan sarankan bekerja.

Jabatan Perubatan Rehabilitasi akan bantu memaksimakan kebolehan mereka. Kami juga bekerjasama dengan PERKESO dalam Program Kembali Bekerja, untuk bantu pesakit untuk dapat kerja. Ada juga kami berurusan dengan syarikat-syarikat yang sentiasa terbuka untuk mengambil pekerja OKU, seperti Mydin, Jusco, Giant dan lain-lain.

Setelah diterangkan dengan jelas perancangan kami, pesakit yang mempertikaikan saranan kami tadi akhirnya setuju untuk bekerja.

Beliau kini sudah boleh berdikari, dan tidak bergantung pada penjaga. Beliau boleh memandu (keretanya telah dimodifikasi untuk dipandu dengan tangan sepenuhnya). Beliau boleh tanggung keluarganya sendiri.

Kalian tahu tak? Jabatan Kebajikan Masyarakat akan beri elaun yang lebih tinggi kepada OKU yang bekerja berbanding kepada OKU tidak bekerja (tapi tidak terlantar).

Lagi satu! Jika syarikat kalian ada mengambil pekerja OKU, ada sedikit penolakan cukai boleh dibuat.

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita mengalakkan dan membantu warga OKU untuk kembali bekerja dan menyertai komuniti. Ia memberi manfaat untuk mereka, kita dan masyarakat.

Jika memang seseorang OKU itu hilang upaya kekal dan terlantar, maka tidaklah kami akan paksa juga bekerja. Kami akan cuba dapatkan bantuan selagi termampu.

Oh ya! Lupa nak beritahu Abdullah bin Ummi Maktum, mati syahid ketika menyertai peperangan sebagai pemegang panji perang. Ya, si buta pergi berperang.

Kerja itu juga ibadah.