Penghujung tahun 2014, saya telah kongsikan dengan anda 16 Filem Bisnes Berdasarkan Kisah Benar Yang Mesti Di Tonton Oleh Usahawan dan ia mendapat sambutan yang baik di kalangan usahawan.

Kali ini saya mahu kongsikan tentang 10 dokumentari bisnes untuk tontonan usahawan dan bakal usahawan kerana kisah-kisah yang ditampilkan adalah berkisar tentang bagaimana menukarkan visi dan impian anda menjadi sesuatu yang hebat. Ia umpama satu kursus pendek tentang bisnes yang anda boleh hadam untuk mendapatkan ilmu dan pengalaman mereka yang telah berjaya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Jiro Dreams Of Sushi

Obsesi Jiro Ono terhadap kualiti dan dedikasi sepanjang umurnya telah menjadikan dia chef sushi Jepun dan pemilik restoran yang menawarkan sepinggan sushi berharga $300 untuk makan malam sahaja. Dokumentari ini menawarkan kisah bagaimana dedikasi, obsesi dan kerja kuat selamat berpuluh tahun untuk mencapai kesempurnaan di dalam penghasilan produk telah mencapai satu tahap yang awesome kini.

2. TED Talks: Life Hacks

Siapa tidak tahu tentang TED Talks dia adalah orang yang rugi kerana banyak tip dan input yang berguna untuk mengubah diri dan hidup menjadi lebih baik. TED Talks: Life Hacks ini menampilkan koleksi 10 perkongsian TED yang popular dalam kategori bisnes dan kehidupan. Antaranya, penerangan rahsia bahasa badan oleh pakar psikologi sosial dari Harvard iaitu Amy Cuddy.

3. Enron: The Smartest Guys In The Room

Kejatuhan syarikat tenaga Amerika Syarikat, Enron telah menimbulkan satu skandal terbesar di dalam dunia bisnes kerana ia melibatkan gejala rasuah kewangan, penipuan akaun dan dokumentari ini akan menyelami apa yang terjadi di sebalik kejatuhan empayar Enron.

4. American Experience: Henry Ford

Dokumentari ini mengisahkan bagaimana seorang budak ladang menjadi salah seorang pencipta terhebat dan hartawan. Ia akan menyelusuri kehidupan Henry Food sejak zaman muda remaja sehinggalah dia menjadi kaya raya. Dokumentari ini juga akan tunjuk bagaimana Henry Ford telah mengubah cara kita bekerja dan menguruskan bisnes.

5. Freakonomics

Ini menarik sebab dokumentari Freakonomics dibuat berdasarkan buku terlaris yang ditulis oleh Steven Levitt dan Stephen Dubner. Ia akan menerangkan bagaimana ekonomi boleh memotivasikan orang ramai dengan mengeksplorasi konsep ekonomik secara saintifik ke atas kelakuan manusia. Jadi, jika anda tonton dokumentari ini anda akan dapat lebih memahami apakah yang mendorong atau memotivasikan pelanggan, pekerja atau rakan sekerja anda.

6. Wal-Mart: The High Cost of Low Price

https://www.youtube.com/watch?v=4FV4kocCPgM

Impak dokumentari ini dahsyat ke atas operasi bisnes Wal-Mart kerana ia mendedahkan banyak perkara negatif di dalam bisnesnya. Maka, ia telah menyebabkan Wal-Mart yang popular dengan tawaran harga rendah ini melakukan beberapa perubahan seperti menaikkan gaji pekerja dan membekalkan makanan organik. Jadi, sebagai usahawan dan bakal usahawan, ambil iktibar dari apa yang telah berlaku di Wal-Mart.

7. Food, Inc.

Inilah antara dokumentari yang perlu saya tonton sewaktu jadi pelajar bidang bisnes makanan dulu. Memang kontroversi dengan segala pendedahannya kerana ia menyentuh tentang kepentingan keuntungan pengusaha dan kesihatan pelanggan. Apabila bertembung dua isu itu, ia menimbulkan konflik dan persoalan bagaimana industri makanan kita beroperasi.

8. The Director

Impikan bisnes fesyen? Jika ya, anda patut tonton dokumentari ini yang mengisahkan apa yang berlaku di sebalik organisasi fesyen terkenal iaitu Gucci. Dokumentari ini akan menyoroti kisah kerjaya pereka fesyen Itali dan pengarah kreatif Gucci, Frida Giannini. Anda akan dapat lihat bagaimana koleksi dicipta dari konsep ke runway sehinggalah ia berada di almari pakaian. Anda juga akan belajar tentang jenama.

9. Something Ventured

Founder, co-founder dan tim bisnes startup boleh mempelajari tentang venture capital di dalam dokumentari ini di mana ia akan menerangkan bagaimana usahawan boleh bekerjasama dengan pelabur untuk membina sesuatu bisnes menjadi hebat.

10. Print The Legend

Dokumentari terbitan Netflix ini mengetengahkan kisah kontroversi dan perubahan di sebalik inovasi dan teknologi. Ia tentang teknologi cetakan 3D yang digunakan oleh syarikat orang muda seperti MakerBot dan Formlabs yang berlumba-lumba mahu menjadi pendahulu yang awesome di dalam teknologi 3D. Maka, mereka akan cetak dari kasut, pistol dan sehinggalah ke organ badan manusia dengan menggunakan teknologi tersebut. Berjaya atau tidak, itu kita kena tonton sendiri dokumentari ini.

Sekiranya anda ada dokumentari menarik berkaitan bisnes, anda boleh kongsikan dengan kami di ruangan komen. Terima kasih!

Sumber