Dalam kesibukan bekerja sebagai seorang doktor pakar runding obstetriks dan ginekologi (O&G), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Hj Siraj atau lebih dikenali sebagai Dr. Har ini bukan hanya memikirkan tentang keluarga dan dirinya sahaja.

Dr. Har turut membicarakan isu wanita, keluarga, dan remaja masa kini dengan niat mendidik masyarakat menjadi lebih baik. Maka, beliau sering tampil di medan media cetak dan media penyiaran dengan membawakan pelbagai tip dan nasihat yang memanfaatkan masyarakat Malaysia.

Siapakah Dr. Har ini? Pasti ramai yang tertanya-tanya dan mahu tahu tentangnya.

Saya juga begitu, sama seperti anda. Jadi, saya bertanya kepada seorang sahabat yang pernah menjadi rakan serumah saya – siapa Dr. Har kepadanya. Kawan saya ini, Dr. Adilah, seorang doktor perubatan yang mengenali Dr. Har dari kecil lagi.

Dr. Adilah: “Pada saya, Dr Har atau semasa kecil saya panggil Makcik Har, adalah seorang contoh dan teladan yang baik. She is an inspiration! Walau interaksi saya dengan beliau tidaklah begitu kerap, tapi beliau telah banyak mendidik saya dari jauh.

Saya mengenali Dr Har sebagai seorang pakar O&G yang sangat berdedikasi, pensyarah yang rapat dengan pelajar-pelajarnya di UKM dan seorang aktivis dakwah dan kemanusiaan yang sangat komited. Terus terang saya katakan bahawa antara asbab saya menjadi seorang doktor adalah disebabkan oleh Dr Har.

Sejak kecil, saya sangat mengkagumi disiplinnya. Bayangkan seorang pakar dalam bidang yang sangat demanding, boleh lagi mengajar dengan sangat bagus, menjadi seorang ketua wanita pusat sebuah badan dakwah, dan rumahtangganya pun terurus.

Beliau adalah seorang guru dalam kehidupan bagi saya dan ramai lagi orang lain. Beliau telah menyentuh banyak hati yang lalai.

Tegurannya adalah teguran yang bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan, bahkan untuk menyedarkan! Tegurannya lembut seperti dirinya. Jika ada yang memandang serong pada beliau, pandanglah diri sendiri dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata yang akan disesali kelak.

Bacalah tegurannya laksana anda membaca teguran dari seorang guru dan ibu. Yang tujuaannya hanyalah untuk anak-anaknya mendapat yang terbaik dan menjadi yang terbaik.”

Interesting person. Itu yang buat saya mahu tahu lebih lanjut tentang Dr. Har. Dan di sini saya kongsikan dengan anda semua.

1. Latar Belakang

Dr. Har dilahirkan pada 1 Jun 1966 di Sungai Besar, Selangor merupakan anak keenam kepada pasangan Siraj @ Ramli dan Siti Ramlah Anuar yang mempunyai lapan orang anak. Ayahnya bekerja sebagai kadi.

Sejak dari kecil lagi, Dr. Har bercita-cita menjadi doktor atau guru. Dengan izin Allah, berkat doa kedua ibubapa dan usahanya, Dr. Har berjaya menjadi kedua-duanya.

2. Kerjaya

Kredit: drhar.blogspot.com
Kredit: drhar.blogspot.com

Kini Dr. Har menjadi tenaga pengajar di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pakar perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dengan pengalaman lebih 20 tahun sebagai doktor dan membimbing ribuan pelajar perubatan lebih 15 tahun, Dr. Har menekankan kepentingan akhlak kerana baginya akhlak menjadi pembeza utama antara doktor yang mulia dan doktor yang angkuh.

“Harapan saya, setiap pelajar perubatan UKM ada ciri Dr Har pada dirinya iaitu apabila merawat pesakit, mereka menggunakan ilmu dan cara berkomunikasi yang saya ajar serta melemparkan senyuman seperti yang selalu saya ingatkan,” petikan dari Berita Harian.

Sehingga ke hari ini, Dr. Har masih menjadi pensyarah universiti walaupun hakikatnya beliau berpeluang mendapat pendapatan berlipat kali ganda jika bekerja di sektor swasta.

Ini semua kerana Dr. Har mahu terus mengajarkan ilmu perubatan yang begitu tinggi manfaatnya kepada lebih ramai bakal-bakal pengamal perubatan.

Baginya, memberikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain adalah salah satu amalan yang akan berlanjutan pahalanya apabila meninggal dunia kelak, selain dari sedekah jariah dan doa anak soleh.

Selain itu, Dr. Har juga merupakan seorang penulis dan penceramah.

3. Kehidupan Peribadi

Kisah rumahtangga Dr Har pernah dipaparkan di dalam Utusan Malaysia, bertajuk Bercinta Selepas Kahwin. Ya, Dr. Har bercinta selepas kahwin. Ini kerana Dr. Har dan suami percaya jodoh dan pertemuan telah ditetapkan oleh-Nya.

Dr. Har dan suaminya, Ustaz Zulkifli Ahmad dijodohkan melalui sistem Baitul Muslim (BM) semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia oleh pelajar senior.

Ketika itu Ustaz Zulkifli Ahmad adalah pelajar jurusan Pengajian Islam dalam pengkhususan Al Quran dan Hadis, manakala Dr. Har pelajar jurusan perubatan selepas menolak peluang belajar di luar negara (biasiswa bukan untuk belajar perubatan).

BM adalah cara match make yang islamik, di mana ia diatur oleh pelajar senior dan lanjutan itu, kedua-dua keluarga berkenalan sehinggalah ke jinjang pelamin. Ini penting bagi menjaga batas-batas perhubungan di antara lelaki dan perempuan.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, Dr. Har dan Ustaz Zul dikurniakan empat orang cahaya mata, seorang telah meninggal dunia iaitu Ahmad Sofwan Hanif ketika berusia 4 bulan, lain-lain ialah Syifa’ Hana, Muhammad Anwar Syamil dan Deena Sofiyya.

4. Anugerah

Salah satu buku tulisan Dr. Har
Salah satu buku tulisan Dr. Har

Dr. Har menerima pelbagai pengiktirafan sejak zaman sekolah lagi di atas kecemerlangannya dalam bidang-bidang yang diceburi.

Salah satu anugerah yang memberi memori indah buat Dr. Har ialah apabila beliau dianugerahkan Anugerah Saidatina Khadijah sempena Maulidur Rasul 1432 Hijrah di peringkat negeri Selangor.

“Wajar bagi kita menjadikan Saidatina Khadijah sebagai wanita contoh untuk mencapai kecemerlangan kerana banyak contoh teladan yang ada pada isteri Rasulullah itu.

Wanita bukan hanya di taraf kedua. Kita sebenarnya berjalan seiring dan jika mengambil semangat Saidatina Khadijah, kita tahu bahawa perjuangan Rasulullah turut mendapat sokongan kuat Saidatina Khadijah,” petikan dari Berita Harian.

5. Khidmat Masyarakat

Kredit: http://madrasatulhayahikram.blogspot.my/
Kredit: http://madrasatulhayahikram.blogspot.my/

Dr. Har cenderung ke arah agama ketika beliau masih di tingkatan tiga. Dr. Har mula muhasabah diri tentang siapa dirinya, apa tujuan hidup, dan apa pengakhirannya nanti. Persoalan-persoalan itu telah membuatkan Dr. Har menjadi cepat matang dan mengutamakan kualiti kerja yang dilakukannya.

Minat dan kesedaran pada agama telah mendorong Dr. Har melakukan pelbagai khidmat masyarakat dan kerja sukarelawan agar dapat membantu masyarakat kembali berpegang teguh kepada ajaran agama.

Dr. Har juga memanfaatkan kemahiran pengucapan awam dan kesarjanaannya untuk kebaikan masyarakat dengan menyampaikan ilmu-ilmu dalam bahasa yang mudah difahami masyarakat.

Bidang pengkhususan Dr. Hari ialah pendidikan perubatan (pengkhususan dalam perkembangan kendiri dan profesional), perancangan keluarga dan kontrasepsi dan kesihatan reporduksi dan seksual remaja dan wanita.

Dr. Har menganggap ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk beri nilai tambah kepada masyarakat.

Kredit: madrasatulhayahikram.blogspot.my
Kredit: madrasatulhayahikram.blogspot.my

Antara jawatan dan tanggungjawab yang pernah digalas oleh Dr. Har ialah menjadi Presiden (2009-2011) Malaysian Association for Maternal &Neonatal Health (MAMANEH), Naib Presiden (2009-2011) Jamaah Islah Malaysia, Naib Ketua Wanita (2010-2014) Pertubuhan Ikram Malaysia, dan Pengerusi Lembaga Pengarah Induk Pusat Perlindungan & Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.

Anda boleh mengikuti Dr. Har di drhar.blogspot.com dan drharlinahalizahsiraj.com