Beliau memang seorang yang mengagumkan.

Pertama kali saya mendengar tentang beliau – terus sahaja saya menghubungi beliau untuk bertanya tentang apa yang beliau usahakan.

Pada 1 Januari 2016, sebagai hadiah tahun baru kepada komuniti The Vocket, saya menulis tentang Dr Mohd Lutfi Fadil bin Lokman yang berusia 28 tahun dalam artikel bertajuk ‘Kerana Tertekan Akibat Kecederaan, Doktor Nazar Bantu Orang Dan Berjaya Lakukan Ini’.

Dan semalam, saya menerima berita yang sangat menggembirakan.

Daripada 18,000 pencalonan dari 186 buah negara seluruh dunia, Dr Lutfi adalah salah seorang daripada 17 orang yang dipilih oleh United Nations untuk menerima Anugerah Pemimpin Muda untuk Matlamat Pembangunan Mampan.

Ketika acara penganugerahan.
Ketika acara penganugerahan.

Beliau terpilih, hasil daripada usaha beliau dan rakan-rakan menubuhkan Hospitals Beyond Boundaries (HBB) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan tujuan memberi khidmat kesihatan di tempat-tempat paling memerlukan.

Mengajar Masyarakat Setempat Di Kemboja Tentang Menggosok Gigi.
Mengajar Masyarakat Setempat Di Kemboja Tentang Menggosok Gigi.
Hospital Ibu dan Anak yang baru siap dibina.
Hospital Ibu dan Anak yang baru siap dibina.

Pada masa sekarang, HBB telah membina klinik dan baru sahaja selesai membina Hospital Ibu dan Anak di Kemboja yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2017 kelak.

HBB telah melatih dan merawat lebih 3000 orang memerlukan di Malaysia dan Kemboja. Kebanyakan sukarelawan yang berkhidmat dengan HBB terdiri daripada orang-orang muda.

Antara kata-kata Dr Lutfi yang menyentuh hati saya adalah, “Apabila seseorang diberi antibiotik untuk pneumonia, kami juga mula mencari lubang di bumbung rumah beliau. Kami berharap dengan merawat penyakit, kami juga mampu untuk mengurangkan kemiskinan”.

Katanya lagi, “Kami percaya bahawa pemberdayaan masyarakat (community empowerment), dan bukannya sedekah, adalah kunci kepada pembangunan mampan. Kami bekerjasama dengan NGO tempatan, Kementerian Kesihatan dan pemimpin tempatan untuk memastikan usaha kami memberi kesan sebanyak yang mungkin.”

Dr Lutfi juga sekarang masih berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan.

Upacara anugerah dijalankan oleh Wakil Belia Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, Ahmed Alhendawi kepada 17 Pemimpin Muda UN pada hari Isnin.

Bersalaman bersama Ahmed Alhendawi.
Bersalaman bersama Ahmed Alhendawi.
TPM mengucapkan tahniah di atas kejayaan Dr Lutfi.
TPM mengucapkan tahniah di atas kejayaan Dr Lutfi.

Penganugerahan ini adalah bagi mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan kepada pencapaian Agenda Pembangunan Mampan 2030, yang mempunyai 17 matlamat, di antaranya membasmi kemiskinan, melawan ketidaksamaan dan ketidakadilan, dan menangani perubahan iklim – yang diguna pakai oleh pemimpin-pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB pada tahun lepas.

Bercerita semula tentang mengapa Dr Lutfi memulakan HBB, beliau berkongsi bahawa setelah mengalami kemalangan sehingga tidak boleh bangun, beliau mula menyedari hidup ini terlalu singkat.

Ini menyebabkan beliau teringat semula kepada cita-cita beliau untuk berbakti kepada masyarakat melalui penubuhan NGO.

Bersama penerima-penerima lain seluruh dunia.
Bersama penerima-penerima lain seluruh dunia.

Apabila mula sihat, terus sahaja beliau dan rakan-rakan bingkas bangun untuk merealisasikan impian mereka.

Sebagai penutup, Dr Lutfi berkongsi pesanan ini kepada komuniti The Vocket:

Untuk pembaca The Vocket yang rata-rata belia, kan?

Jangan takut untuk mengejar impian walaupun masih muda.

Zaman sekarang ini dengan bantuan teknologi semuanya mungkin.

Waktu muda adalah waktu terbaik untuk memulakan sesuatu usaha kerana mempunyai banyak kreativiti, masa dan tenaga.

Baca lebih lanjut tentang Dr Lutfi dan HBB dalam artikel ini.

Senarai pemenang-pemenang anugerah UN Young Leaders ini boleh didapati di sini.

PROJEK KLINIK MOBILE PADA 10 HINGGA 13 OKTOBER 2014 DI KEMBOJA.
PROJEK KLINIK MOBILE PADA 10 HINGGA 13 OKTOBER 2014 DI KEMBOJA.
Klinik HBB, Phnom Penh, Kemboja.
Klinik HBB, Phnom Penh, Kemboja.