Kecekepan negara kita menangani pandemik COVID-19 ketika ini memang diakui dan sering sahaja menjadi tumpuan dunia.

Pengiktirafan itu sudah pastinya tidak datang dengan mudah dan semestinya mengambil kira pelbagai aspek dan pendekatan menangani wabak itu yang telah dijalankan di negara kita.

Dan kini selepas beberapa kali mendapat pengiktirafan sebelum ini, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila dilaporkan berada di tangga kedua dalam carta anti pandemik yang dilakukan sebuah pasukan kumpulan pemikir atau lebih mesra dikenali sebagai think tank dari Jepun.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Facebooknya pada lewat malam semalam yang memetik kembali laporan diterbitkan akhbar China Press.

Laporan oleh portal tersebut yang memetik Newsweek Japan memaklumkan Malaysia berada di tangga kedua di belakang Taiwan yang jauh meninggalkan negara-negara lain dari kutipan mata yang diraih.

Melalui beberapa penilaian yang dilakukan, Malaysia berjaya mengumpul 144 mata manakala Taiwan pula berjaya meraih 180 mata daripada keseluruhan 200 mata.

Selain Malaysia, Thailand juga berjaya menjadi salah satu negara asia tenggara yang menduduki tangga terbaik dalam laporan tersebut dengan kutipan 126 mata untuk berada di tangga keempat di belakang Hong Kong.

Negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom pula masing-masing berada di tangga ke 41 dan 43.

Kejayaan negara-negara Asia berada dalam sepuluh kedudukan terbaik berlaku kerana negara-negara ini memberi perhatian awal terhadap perkembangan wabak itu dan mengambil langkah kawalan imigresen atau perjalanan antarabangsa yang ternyata mempengaruhi penularan wabak itu di satu-satu negara.

Dr Noor Hisham sendiri sebelum ini pernah diiktiraf sebagai salah seorang individu terbaik dalam menangani COVID-19. Baca lebih lanjut mengenainya di pautan di bawah. 

Dipilih 3 Terbaik Dunia Kendalikan COVID-19, Dr Noor Hisham ‘Kini Trending’ Di Twitter

Netizen Indonesia ‘Serang’ Instagram KKM Gara-Gara Salah Faham Kes Import COVID-19

Warga Malaysia Kongsi Sistem Kesihatan Di Jepun Jadi Rumit Dan ‘Selfish’ Kerana COVID-19