Lebih 28 tahun lalu, Tan Sri Abdul Wahid Omar telah bekerja dengan banyak organisasi besar dan ternama di Malaysia. Jawatan terakhirnya (senator dan menteri) dilepaskan pada tanggal 4 Jun 2016 yang lalu.

Selepas dua bulan little hiatus, Tan Sri Abdul Wahid dilantik sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB). Baginya itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar.

Ramai orang bertanya kepadanya apakah yang dia buat sepanjang tempoh dua bulan itu dan apakah perancangan masa depannya. Tan Sri Abdul Wahid telah kongsikan tentang ini di New Strait Times bertarikh 31 Julai 2016.

Minggu Pertama

Kebanyakkan masa digunakan untuk mengemas semua kerja yang telah dijalankan selama 3 tahun dan menyediakan pejabat di Unit Perancangan Ekonomi buat pengganti Tan Sri Abdul Wahid.

Minggu Kedua

Tan Sri Abdul Wahid mendaftarkan diri sebagai pemandu Uber kerana mahu merasai perkongsian pengangkutan dan mahu tahu adakah senang atau susah untuk menjana pendapatan menggunakan teknologi.

Pengalaman ini akan digunakan untuk memberi input kepada pembuat polisi negara. Dalam masa yang sama, Tan Sri Abdul Wahid mempromosikan kereta terbaru Proton Perdana 2.4.

“Ia usaha peribadi 3 dalam 1, dengan tiga objektif: merasai pengalaman aplikasi perkongsian Uber, mempromosikan Proton Perdana baharu sebagai kereta eksekutif nasional, dan mengumpul dana untuk kebajikan,” kata Wahid, dari petikan WhatsApp Datin Orked Ahmad.

Kisah Tan Sri Abdul Wahid sebagai pemandu Uber menjadi viral di media sosial dan media massa sehingga dia dijemput untuk muncul di dalam rancangan bual bicara Harith Iskander, OHI.

Setelah memandu selama 3 hari, Tan Sri Abdul Wahid berharap Uber/Grab dapat mengurangkan bahagian mereka agar pemandu dapat bahagian pendapatan yang lebih tinggi.

Tan Sri memperolehi RM150 dari 17 trips meliputi 11 jam memandu dalam masa 3 hari selepas ditolak RM10 untuk caj tol dan RM50 komisyen Uber.

Tabung kebajikan yang diusahakan oleh Tan Sri untuk Rumah Jagaan dan Rawatan Orang-Orang Tua Al Ikhlas, Pulau Meranti, Selangor dalam masa yang sama sebagai pemandu Uber berjaya mencecah RM20,000.

Minggu Ketiga

Tan Sri Abdul Wahid dan isteri meluangkan masa bersama di kota Madinah dan Mekah.

Minggu Keempat dan Kelima

Dua minggu digunakan untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri bersama kaum keluarga di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian, Johor.

Minggu Keenam Dan Ketujuh

Dua minggu digunakan untuk melawat rakan-rakan dan menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya. Tan Sri dan keluarga juga sempat meluangkan masa bercuti di beberapa buah tempat percutian di dalam Malaysia.

Cuti-cuti Malaysia Tan Sri meliputi Belum Rainforest Resort, Banjaran Hotsprings Retreat, Ipoh dan Mulu Marriott Resort, Sarawak. Ketiga-tiga tempat ini begitu cantik baginya.

Minggu Kelapan

Bercuti bulan madu bersama isteri di Maldives.

Perancangan Masa Depan

Sebagai pengerusi PNB yang baru, Tan Sri Abdul Wahid mahu melakukan 3 perkara utama iaitu:

1. Meningkatkan prestasi korporat PNB dan syarikat kumpulan;
2. Meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam bisnes dan sektor korporat; dan
3. Menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Malaysia sebagai satu tanda sokongan kepada kerajaan.