Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Segala teka-teki pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) mengenai individu yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri terjawab pada hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pada sesi perbincangan khas yang berlansung bermula 11.00 pagi di Istana Negara melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain, proses pelantikan Perdana Menteri baharu telah pun dilakukan.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen P.063, Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan kepada semua ahli politik yang dipilih agar kembali merapatkan jurang demi kebaikan negara, “Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan fangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta.”

Untuk rekod, Anwar Ibrahim adalah individu yang paling lama berada di kerusi ketua pembangkang. Tahniah diucapkan buat Datuk Seri Anwar Ibrahim beserta ahli parti politik Pakatan Harapan. Semoga pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memacu ekonomi serta memastikan Malaysia kekal sejahtera.