Setiap komponen yang ada pada kenderaan amat berharga nilainya jika dijual kepada ‘pembeli yang tepat’, tidak kira sama ada komponen luaran mahupun dalaman kereta.

Baru-baru ini dua lelaki telah dirakam sedang cuba mencuri tabung ekzos kenderaan di kawasan parkir Hotel De Palma Ampang. Setelah kegiatan mereka terbongkar, mereka segera meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki kereta Proton Iriz.

Menurut Harian Metro, dua orang lelaki berjaya ditahan oleh polis di Sungai Besi pada jam 11 malam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Polis berjaya merampas dua tabung ekzos, dua penyambung tabung ekzos, pelbagai peralatan membuka ekzos, gergaji besi bermotor dan sebuah kereta jenis Proton Iriz.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif mencuri tabung ekzos bagi mendapatkan besi platinum sebelum dijual di pasaran gelap,” terang Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Tambah beliau lagi, suspek juga mengaku sudah beberapa kali mencuri tabung ekzos di sekitar Ampang dan Kajang. Pihak polis masih lagi meneruskan siasatan bagi mengenalpasti samada suspek terlibat dalam kes-kes lain di dalam daerah Ampang dan daerah luar.

Tindakan awal orang awam merakam perbuatan mereka telah menyelamatkan pemilik kereta Toyota Innova serta membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes curi tabung ekzos yang berleluasa di kawasan Ampang dan Kajang.

Kedua-dua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri komponen sebuah kenderaan motor dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga didenda.

Sementara itu, Lamborghini yang terlibat dalam insiden kemalangan di Jalan Tun Razak baru-baru ini didakwa hanyalah kereta sewa. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Pemuda Ini Dakwa Lamborghini Terlibat Kemalangan Hanya Kereta Sewa?

Lori Pasir Hilang Kawalan Rempuh Myvi Hingga Remuk Teruk

Sumber