Belum ‘sejuk’ lagi isu kereta membuat drift di lebuh raya DASH, kini muncul pula isu terbaharu di mana satu rakaman cctv merakam beberapa buah kenderaan berlumba haram di lebuh raya berkenaan.

Susulan insiden terbabit, dua mekanik dicekup berusia 20 dan 29 tahun, serta polis juga merampas dua kereta jenis Proton Satria digunakan mereka.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati perlumbaan itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi semalam dengan melibatkan enam kereta jenis Proton Satria.

“Mereka berlumba dari Plaza Tol Denai Alam sehingga ke Kilometer (km) 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuh Raya DASH. Kemudian, mereka berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

“Jarak perlumbaan bagi sehala adalah kira-kira dua km,” katanya ketika dihubungi Kosmo. Difahamkan perlumbaan tersebut lebih kepada kepada menguji jentera masing-masing tanpa tawaran sebarang hadiah.

Mohd. Iqbal menambah, pihaknya kini mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767,” katanya.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber