Dahulu lelaki ini adalah seorang gangster. Dalam sejarah hidupnya, dia pernah menjadi seorang bapa ayam dan mengedar dadah. Akhirnya beliau jumpa jalan baru, dan memilih untuk menjadi penjual mee goreng Hokkien demi cucu-cucunya.

Api marak berwarna merah menghiasi kuali yang berjasa. Bahan-bahan seperti perasa, bawang putih, telur dan mee dimasukkan ke dalam kuali. Dengan spatula di tangan kanan dan senduk di tangan kiri Lee Eng Keat giat menggoreng mee, kadang kala melambungnya ke udara.

Kerja ini memerlukan lengan dan pergelangan tangan yang kuat. Jelas, lelaki berusia 55 tahun yang kurus ini memiliki kedua-duanya.

Kadang-kadang pelanggan dapat menikmati Mee Goreng Hokkien Kim Keat yang berada di Lorong Toa Payoh setelah menunggu selama 15 minit. Tetapi selalunya, ia mengambil masa sehingga setengah jam, atau lebih.

Dari gaya memasaknya yang mahir, Lee kelihatan seperti sudah menceburkan diri di dalam bidang ini selama berpuluh-puluh tahun lamanya.

Tetapi sebenarnya, tidak. Beliau pernah menjual mee goreng Hokkien selama beberapa tahun pada lewat 1980-an. Dan baru sahaja membuka gerai di Toa Payoh pada tahun lepas.

Kebanyakan jangka hayatnya digunakan untuk melakukan kerja-kerja terkutuk seperti mengedar dadah dan menjadi bapa ayam. Beliau telah beberapa kali keluar masuk penjara, disebat 34 kali dan menghabiskan hampir 20 tahun daripada umurnya di dalam penjara.

Lee akhirnya memilih jalan hidup yang lebih baik demi cucu-cucunya.

"Saya telah menghampakan ibu saya, isteri saya, anak-anak saya tetapi saya telah beritahu diri sendiri saya tak akan menghampakan cucu-cucu saya. Demi mereka, saya harus melepaskan masa silam dan menjadi manusia yang lebih baik," katanya.

Beliau telah bercerai dengan isterinya, memiliki seorang anak lelaki, dua orang anak tiri perempuan, dan 5 orang cucu. Anak-anak beliau berusia 35 hingga 41 tahun, cucu-cucunya berusia lima hingga 21 tahun.

Hidup beliau penuh dengan drama. Beliau adalah merupakan seorang anak tidak sah taraf. "Saya tidak pernah jumpa bapa kandung saya. Beliau dan ibu berpisah ketika saya masih bayi. Saya tidak mengenalinya dan tidak pernah tanya (ibu) tentang dia," kata Lee.

Tidak berapa lama kemudian, ibunya menjadi perempuan simpanan kepada seorang jurujual dan melahirkan lagi 4 orang anak. Lee dibesarkan di Jalan Bahagia dan Toa Payoh. Sambil menggeleng, Lee berkata tidak banyak perkara untuk diingatkan semasa kecilnya.

Lee dahulu bersekolah di May North Primary School. Selepas sekolah, beliau akan berada di rumah menjaga adik-adiknya. Ibunya mempunyai masalah psikologi dan jarang berada di rumah.

Sikap memberontak mula lahir di awal umur remajanya setelah dia mula berkawan dengan budak-budak nakal.

Ditanya adakah dia direkrut, dia hanya tergelak kecil sambil menjawab: "Saya masuk (kumpulan ini) dengan rela. Kumpulan gangster ini selalu berada di kawasan perumahan kami dan hidup mereka nampak sangat menarik."

Walaupun pada asalnya beliau merupakan seorang pelajar yang baik, Lee mula hilang minat dan berhenti menghadiri Anderson Secondary School ketika berusia 14 tahun.

Beliau sanggup mencuri dan menjaja untuk mendapatkan duit poket.

Ketika berusia 15 tahun, dia dan dua orang rakannya merancang untuk menyamun dan memeras ugut demi hasil lebih lumayan.

Bersenjatakan pisau, ketiga-tiga lelaki itu memeras ugut seorang lelaki dan 'berjaya' mendapatkan dompet serta jam. Ketika mereka sedang menunggu mangsa kedua, ketiga-tiga lelaki ini ditahan oleh anggota polis yang sedang meronda.

"Orang lain jadi kaya dengan merompak, saya ditahan ketika pertama kali mencuba," kata beliau. Beliau direman dan kemudian ditahan di Boys' Home di Clementi selama 3 tahun.

"Keluarga saya tidak menjamin saya. Kalau ya, saya boleh melalui tempoh percubaan. Ibu saya ada masalah psikologi, ayah tiri saya pula tak mahu melakukannya," katanya.

Akan tetapi pengalamannya di Boys' Home Clementi tidak menjadikannya semakin baik, tetapi semakin buruk.

"Ada banyak orang jahat di sana. Saya selalu ingin tahu dan bertanya: 'Eh awak masuk sini sebab jenayah apa? Awak pula?' Semuanya jahat."

Selepas beliau dibebaskan ketika berusia 17 tahun, bapa tirinya mendapatkan beliau kerja sebagai pembantu penyelia di tapak pembinaan.

"Gaji saya adalah sebanyak $500 dan disebabkan saya peramah, kontraktor sukakan saya dan akan memberi elaun itu dan ini. Gaji begitu agak bagus untuk seorang remaja pada tahun 1970-an," katanya.

Tidak berapa lama kemudian, beliau bertemu dan mengahwini seorang pelayan yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak perempuan.

"Saya tidak pernah mendapat kasih sayang keluarga, apabila saya bertemu seseorang yang sangat menyayangi saya, saya mahu membina rumah saya sendiri," kata Lee.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah seorang rakan memperkenalkannya kepada heroin. "Saya curious," katanya, menggunakan perkataan yang beliau sering gunakan sepanjang perbualan selama 2 jam.

Walaupun beliau muntah ketika kali pertama mencuba, beliau terus mencuba, dan akhirnya ketagih. "Saya menghisap beberapa kali dalam sehari dan melakukan kerja tambahan seperti menjaja buah berangan untuk menampung tabiat baru saya."

Beliau ditangkap ketika berusia 20 tahun, dihantar ke Sembawang Drug Rehabilitation Centre (DRC) selama 12 tahun. Isterinya sudah melahirkan anak pertama mereka ketika beliau dibebaskan pada 1981.

"Saya bekerja semula di dalam industri pembinaan. Bayarannya OK tetapi kali ini saya ada 4 mulut untuk disuap. Saya tidak mahu isteri saya bekerja, saya mahu dia duduk di rumah dan jaga anak-anak," katanya.

Beliau mula menjaja semula, tetapi seorang rakan meyakinkan beliau boleh buat lebih banyak duit dengan menjadi bapa ayam. Tidak lama kemudian, beliau mempunyai sebuah rumah pelacuran di sebuah pangsapuri di Balestier dengan 17 'pekerja' warga asing.

Lee-Hokkien
Lee Kim Keat dan tatu yang beliau cacah ketika bergelar gangster dahulu. (Straits Times)

Ditanya adakah beliau rasa bersalah, beliau hanya menggelengkan kepala.

"Tidak, dulu saya tidak pernah rasa begitu. Saya tidak faham konsep rasa bersalah atau menyesal pada masa itu. Saya hanya hendak buat duit," kata Lee sambil menambah beliau kembali menghisap dadah setelah mendapat banyak duit melalui pelacuran.

Beliau ditangkap lagi beberapa kali, dan pada 1988 beliau mengambil keputusan untuk membantu bapa tirinya yang baru sahaja mendapat tapak gerai menjaja di Toa Payoh Central.

"Dia menjual ngoh hiang," katanya, merujuk kepada makanan berupa gulungan daging dan beberapa makanan bergoreng. "Saya kata, 'Ini tidak akan terjual. Apa kata kalau ayah benarkan saya ambil alih gerai ini?"

Lee belajar bagaimana hendak masak mee goreng Hokkien daripada penjaja lain di Toa Payoh. Tidak berapa lama kemudian, mee goreng Hokkien versi beliau mula mendapat tumpuan orang ramai, memenuhi gerai kecilnya yang dinamakan Heng Heng.

"Lokasi sangat bagus dan perniagaan juga sangat bagus. Saya menyara keluarga ayah tiri dan keluarga saya sendiri daripada hasil pendapatan menjual mee Hokkien," katanya.

Tetapi, sekali lagi, heroin memerangkap hidupnya.

"Dadah adalah seperti iblis. Heroin memanipulasi anda, dan tidak pernah sebaliknya. Anda mungkin beritahu diri sendiri, 'Satu kali ini je, sikit je, saya boleh kawal diri' tetapi ia tidak pernah berlaku sebegitu."

Beliau ditangkap ketika sedang menghisap pada tahun 1989. DRC mula menjadi rumah keduanya setelah dia ditangkap lagi beberapa kali dalam tempoh satu dekad.

"Hubungan saya dan isteri menjadi sangat teruk. Beliau memohon perceraian ketika anak kami berusia 18 tahun. Saya telah gagal sebagai suami dan ayah yang baik. Saya cuba menjadi lelaki dan bersetuju dengan permohononnya walaupun sebenarnya saya sangat sedih," katanya.

"Itu adalah keputusan yang sangat bodoh," tambah Lee yang kini sedang cuba memenangi kembali hati bekas isterinya, Carol.

Perceraian menjadikan beliau bertindak semberono. Daripada hanya menjadi penagih dadah, beliau mula menjadi pengedar dadah.

Lee pernah ditahan sebanyak dua kali kerana mengedar dadah. Dalam sabitan pertama beliau dipenjara selama 10 tahun dengan 18 kali sebatan. Dalam sabitan kedua pula, beliau dipenjara selama 11 tahun dengan 16 kali sebatan.

"Tangan dan kaki diikat. Jika tidak, kita akan jatuh pada pertama kali disebat, dan mungkin akan terenjat seperti lembu di dalam Spanish bullfight," Lee menceritakan pengalamannya disebat. "Tetapi mimik muka (berani) amat penting bagi kami. Kami harus menunjukkan kami cukup kuat menerimanya."

Sebelum dipenjarakan, beliau mempunyai hubungan dengan anak perempuan seorang penjaja yang berusia 13 tahun lebih muda daripadanya.

"Ibu bapanya tidak bersetuju tetapi dia menunggu saya semasa saya menjalani hukuman," kata beliau.

Malangnya, teman wanita beliau membunuh diri pada tahun 2006 tidak lama selepas Lee dibebaskan. "Kami bertengkar, saya meninggalkan rumah, dan dia overdose," katanya kesedihan.

Lee meninggalkan dadah dan bekerja sebagai penghantar roti buat seketika.

Tetapi dia merindui wang besar dan mula mengedar dadah semula. Beberapa bulan selepas kematian teman wanitanya, Lee memakai uniform penjara semula.

Walau bagaimanapun, kali ini, Lee berasa sangat letih menjalani kehidupan yang sia-sia.

"Mungkin kerana saya menjadi semakin tua. Saya ada 3 cucu dan tidak lagi mahukan kehidupan yang sama seperti dahulu," katanya.

Beliau menjalani kaunseling dan mendapat kekuatan melalui agama.

"Ia adalah tentang melepaskan masa silam saya, kuasa dan status yang saya kecapi sebagai seorang gangster dan pengedar dadah. Saya harus memberi diri sendiri peluang untuk memulakan hidup baru."

Beliau tahu, proses ini penuh dengan liku dan akan mengambil masa yang lama.

"Sekiranya terpaksa merangkak untuk mencapai tempat baru, merangkaklah. Saya tahu ianya adalah tentang mindset dan betapa kuatnya saya ingin berubah. Saya tahu ia akan mengambil masa yang lama dan saya memiliki seluruh masa di dunia."

Mr Lee dilepaskan Januari lalu.

"Tidak lama selepas saya dilepaskan, Hari Raya Cina menjelma, saya menghadiri perjumpaan keluarga. Saya beritahu semua, saya akan menyara hidup dengan baik dan akan buktikan kepada semua yang saya telah berubah," katanya.

Lee-Hokkien
Lee Kim Keat sedang di dapur. (Straits Times)

Lee mengambil keputusan untuk memasak semula, kemudian berjaya mendapatkan tapak gerai di sebuah kedai kopi di Toa Payoh.

Semasa bermula, dia memerlukan modal sebanyak $20,000 dan tanpa segan silu Lee mendedahkan beliau mendapat pertolongan 'kawan lama'.

"Jangan lupa saya pernah menjadi ketua kongsi gelap. Mereka membantu saya. Saya tahu ianya bahaya menghubungi mereka semula tetapi saya tekad untuk berjaya. Saya mendapat sokongan ramai, saya akan terus kuat," katanya.

Dengan penuh senyuman, Lee berkata beliau amat bersyukur kerana bekas isterinya dan anak-anak datang membantu.

Bisnes bermula perlahan tetapi mula meningkat naik apabila Leslie Tay, seorang blogger makanan popular menulis tentang mee goreng Hokkien sentuhan Lee.

"Beliau juga memberi banyak cadangan seperti menghidangkannya dalam mangkuk tanah liat (claypot)," kata Lee tentang Leslie Tay.

Pada hari ini, perniagaannya maju, dengan jualan sebanyak 100 mangkuk mee setiap hari. Mee goreng Hokkien Lee dihidangkan di dalam claypot atau daun opeh, dan dibuka setiap hari kecuali hari Selasa. Beliau juga sudah mampu menggaji 4 orang pembantu, dengan dua daripadanya adalah bekas banduan.

Pelanggan tetap beliau termasuklah 'rakan-rakan lama' atau comrade ketika bergelar gangster.

"Ianya OK. Ianya adalah tentang disiplin. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain. Kita harus bertanggung jawab terhadap diri sendiri. Saya tekad untuk tidak lagi bertindak bodoh jadi saya amat berhati-hati dengan setiap langkah yang saya pilih, katanya.

Sambil mengusap hidung, Lee berkata beliau cuba mengorat semula bekas isterinya sejak dua tahun lalu.

"Beliau masih solo jadi saya masih ada peluang. Bila ada peluang, akan adalah caranya. Semuanya bergantung kepada bagaimana saya melaksanakannya," katanya sambil mengakhiri perbualan.

BACA: 31 Tahun Di Penjara Temukan Banduan Ini Dengan Sesuatu Yang Bernilai

BACA: Bagaimana Bekas Banduan Menukar Ketidakcekapan Penjara Menjadi Bisnes Bernilai RM12 Juta

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber