Setiap orang mempunyai impian tersendiri, sama ada dapat kecapi atau tidak, itu bergantung pada semangat dan kerja keras untuk mendapatkannya. Ada seorang pemuda daripada Lahad Datu, Sabah membuktikan dengan menggunakan apa ada di tangan, mampu untuk menggapai cita-citanya yang sekian lama terpendam.

Nama Muhammad Iqbal menjadi bualan peminat automotif tempatan apabila kisahnya berlumba di dalam litar Sepang menggunakan kereta Perodua Kancil tular di pelbagai platform media sosial.

Iqbal baru berusia 26 tahun menyatakan beliau pada awalnya membeli kereta itu untuk digunakan sebagai pengangkutan ke tempat kerja tetapi oleh kerana terlalu meminati sukan permotoran, beliau mengambil keputusan untuk menyertai perlumbaan menggunakan kereta Kancil miliknya.

“Saya bermula sebagai mekanik biasa di mana saya membaiki kenderaan yang digunakan oleh orang ramai. Alhamdulillah, kemudiannya saya mendapat tawaran kerja daripada Meritus GP yang mempunyai pasukan Formula 4 di Malaysia.

“Saya bersama mereka selama lebih tiga tahun, menjaga jentera Formula 4 mereka. Selepas bersama Meritus GP, saya mendapat tawaran untuk bekerja untuk Formula 3 pula,” kata Iqbal.

Walaupun Iqbal berjaya berkerja secara profesional dalam sukan permotoran, namun perjalanannya masih jauh kerana Iqbal menyasarkan untuk menjadi pelumba profesional pada suatu hari nanti.

Dalam satu temu ramah bersama MalayMail, beliau mendedahkan bahawa sudah mempunyai rancangan untuk mengusahakan projek masa depan di mana Suzuki Swift miliknya akan diubah menjadi kereta lumba untuk kegunaan litar.

Namun, kosnya masih terlalu tinggi dan mungkin memerlukan penaja dan sokongan daripada orang ramai untuk menyokong projek pengubahsuaian kereta lumba tersebut.

Ketika pihak The Vocket menghubungj Iqbal baru-baru ini, beliau kini berada di Dubai bertugas untuk pasukan Evans GP bagi kejuaraan ‘Formula Regional Asian’ yang menggunakan kereta lumba jenis Formula 3.

“Saya berkerja di sini sekitar 50 hari, lebih kurang hampir 2 bulan bersama-sama pasukan daripada Australia ini.

“Di sini saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada kereta dan pelumba yang perlu dijaga. Saya perlu memastikan kereta dapat berfungsi dengan baik supaya pelumba dapat beraksi dengan cemerlang sepanjang perlumbaan berlangsung,” terang Iqbal kepada The Vocket.

Menurutnya, dia perlu memberi perhatian sepenuhnya pada beberapa bahagian kereta Formula 3 itu seperti enjin kotak gear, sistem suspensi, bearingwishbone, dan kesediaan kereta terbabit.

“Saya juga ada menerima tawaran menjadi pelumba untuk acara Malaysia Speed Festival pusingan pertama yang bakal berlangsung pada 6 Mac akan datang, sejurus pulang daripada Dubai nanti,” tambah Iqbal lagi.

Sebelum mengakhiri perbualan, pihak The Vocket ada menanyakan kepada Iqbal bagaimana kita semua boleh kecapi impian masing-masing — ‘Sentiasa berserah sepenuhnya kepada Allah S.W.T’ — itu rahsia yang dipegang oleh Iqbal selama ini.

“Alhamdulilah, kita kena sentiasa bersyukur kpada Allah S.W.T dan sentiasa jangan lupa kepada ibu bapa kita.

“Jangan pernah putus asa itu kunci utama dan kena ada matlamat hidup. Malas itu memang ada dalam diri masing-masing, jadi kita kena melawan untuk terus rajin berusaha.

“Akhir kata, memang semuanya ini dari Allah S.W.T dan setiap insan ada jalan, rintangan serta rezeki masing-masing dan semuanya terbaik dari Allah S.W.T untuk kita. Maka berserahlah sepenuhnya pada Allah S.W.T,” kongsi Iqbal sebelum menutup perbualan.

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Iqbal kerana berjaya membuktikan sesiapa sahaja boleh mencapai impian besar masing-masing asalkan rajin dan tidak berputus asa dalam kehidupan ini.

*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Baca lebih lanjut pengalaman seorang pereka tempatan yang berjaya membangunkan pembesar suara khas untuk hypercar edisi terhad McLaren Senna.

Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Cipta Speaker Khas Untuk McLaren Senna

Bagaimana Hasil Ciptaan Lelaki Ini Berjaya Selamatkan Jutaan Nyawa Pemandu Hingga Ke Hari Ini

Sumber