Kaya itu bukan hanya pada apa yang kita ada. Tetapi yang lebih penting, adalah kekayaan yang kita sedekahkan.

Hunter Killer Photo
HYPE
Misi Menyelamat Penuh Debaran Dalam ‘Hunter Killer’
Baca lagi →

Di sini 12 tip tentang bersedekah:

1. Ada kata senyum itu sedekah, banyak bersedekah hidup kita bertambah barakah.

2. Bersama kita tingkatkan amalan bersedekah, kurangkan amalan ketawa berdekah-dekah.

3. Rajin bersedekah rezeki kita bertambah murah, ujian hidup didik bersabar dan tidak cepat marah.

4. Bersedekahlah dengan hati yang ikhlas, InsyaAllah ganjaran yang baik Allah balas.

5. Bersedekah tak semestinya tunggu kita berada, sentiasa ingatkan diri dengan bersedekah rezeki berganda.

6. Bersedekahlah walaupun kita tidak kaya, ada juga yang tak mampu bersedekah kerana diuji dengan kaya dan bergaya.

7. Sedekah yang utama buat keluarga terdekat dan ibu bapa, yang penting bagi bukan nilainya berapa.

8. Lihat, bantu dan bersedekahlah pada keluarga terdekat, dengan bersedekah yakinilah rezeki kita akan meningkat.

9. Jangan lupa hulurkan sedekah di tabung masjid, moga bertemu jodoh dan dipermudahkan ‘mendirikan masjid’.

10. Usah boros dan jangan pula kedekut, berbuat baik dan bersedekah usahlah takut.

11. Duit keluar-masuk perlu dihitung dan dikira, bersedekah dan berzakat usahlah terlalu berkira-kira.

12. Sedekah di saat kita senang itu biasa, dapat bersedekah di kala susah itu luar biasa.

Ini pula pengalaman saya melihat usahawan yang suka bersedekah:

Pastinya memori ini akan dirindui apabila saya meninggalkan bumi Nihon kelak. Di sini saya belajar erti ‘Kaya Itu Mulia’ sepertimana yang pernah viral di laman The Vocket sebelum ini di sini.

Kuliyyah di Masjid Ohiramura.

Kuliyyah di Masjid Ohiramura.

Ini merupakan pemandangan biasa dalam Masjid Ohiramura pada setiap hari Ahad selepas solat Maghrib. Biasanya, lebih ramai lagi dan ada kala jemaah yang hadir sampai melimpah.

Masjid Ohiramura ini merupakan salah sebuah masjid yang dibina di atas tanah milik persendirian. Tanah masjid ini dibeli oleh salah seorang usahawan Pakistan yang telah menetap bertahun lama di sini.

Perlu difahami, urusan menyebar dakwah dan membina surau mahupun masjid di Jepun bukanlah semudah di tanahair. Semua kos perlu ditanggung sendiri atau melalui sumbangan individu dan komuniti tersebut.

Sudah pasti mehnah dan tribulasi dalam merealisasikan impian sesebuah masjid terbina benar-benar dapat dirasai bagi mereka yang pernah mengharunginya. Bak kata pepatah, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”

Rumah usahawan Pakistan yang dikenali sebagai ‘Brother Nawas’ ini terletak bersebelahan masjid. Anak-anak apabila mendengar saya hendak ke masjid ini, pastinya mereka ingin turut serta. Sudah tentu mereka teringatkan layanan mesra usahawan Pakistan ini sekeluarga dan lauk kari kambing yang pernah dihidangkan buat kami dahulu.

Kari kambing yang sedap.

Kari kambing yang sedap.

Minggu lalu saya berkesempatan lagi ke sana. Kali ini bersama rakan-rakan bujang. Ada kala bila bersama orang bujang ini, terasa kembali muda dan seakan bujang semula. Cewah!

Walaupun secara peribadi saya tidak memahami topik yang dibicarakan, namun suasana seperti ini mengingatkan saya dengan bi’ah Islamik di tanahair.

Sememangnya kami semua tidak fahami isi pengajian yang disampaikan. Ini kerana bahasa yang digunakan adalah ‘Urdu’. Barangkali mereka yang meminati cerita ‘Hindustan’ atau berkesempatan menonton cerita ‘Bajrangi Bhaijaan’ yang begitu menyentuh perasaan boleh memahaminya.

Mujur ada rakan-rakan Pakistan yang boleh memberikan serba-sedikit maksud mesej yang disampaikan. Tiadalah perjalanan kami hampir sejam ke masjid ini hanya dipenuhi dengan kari kambing dan roti nan. Setidak-tidaknya terisi juga dengan ilmu pengajian yang disampaikan.

Kereta mewah usahawan Muslim di Jepun.

Kereta mewah usahawan Muslim di Jepun.

MasyaAllah! Subahanallah! Allahuakbar! Kebanyakan mereka yang hadir ini merupakan para peniaga dan usahawan. Bagi saya, bukan calang-calang orang apabila mampu memiliki tanah yang luas, berniaga dan ada yang memiliki kereta mewah di Jepun.

Namun, kekayaan yang mereka miliki mendekatkan lagi mereka kepadaNya. Mereka inilah yang memberikan sumbangan terbesar dalam bersedekah dan zakat serta membangunkan masjid di sini.

Apabila bersama mereka, saya juga lebih memahami definisi ‘Kaya, Miskin dan Zuhud’. Golongan usahawan ini bagi saya menepati syarat ‘Kaya Itu Mulia’.

Ramai juga mereka yang memilih untuk kelihatan ‘biasa-biasa’ atau ‘zuhud’ yang tepat pada cara. Bila membicarakan tentang zuhud, saya teringatkan kata-kata Saidina Ali Bin Abi Thalib r.a:

“Zuhud itu adalah menjadikan dunia di tangan, bukan di hati.”

Begitu juga doa yang pernah dibaca oleh Saidina Abu Bakar r.a:

“Jadilah kami kaum yang memegang dunia dengan tangan kami bukan hati kami.”

Tidak lupa juga doa yang selalu dibaca oleh sahabat nabi iaitu Saidina Umar Al-Khattab r.a:

“Ya Allah, tempatkanlah dunia dalam genggaman tangan kami dan janganlah Kau tempatkan ia di lubuk hati kami.”

Akhir kata, bersamalah kita menghayati konsep ‘Kaya Itu Mulia’ dan meningkatkan amalan berzakat serta bersedekah. Yakinilah dengan bersedekah hidup kita bertambah barakah. Bersedekahlah walaupun kita tidak kaya, ada juga yang tak mampu bersedekah kerana diuji dengan kaya dan bergaya.

Selalu juga ingatkan diri, sedekah di saat kita senang itu biasa, dapat bersedekah di kala susah itu luar biasa.

Sekadar perkongsian dari kejauhan.

Sayonara! Sampai jumpa lagi.

Artikel di atas disumbangkan oleh Isma Addi Jumbri. Pensyarah, Pelajar PhD. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group