Pelakon British, Emma Watson menyuarakan solidariti bersama aktivis pro-Palestin di media sosial, sehingga menimbulkan tentangan daripada para pegawai Israel dan juga pujian daripada pengguna media sosial pro-Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pelakon yang sangat dikenali dengan watak Hermione Granger dalam filem Harry Potter pada Ahad, telah berkongsikan semula gambar Bad Activist Collective yang sebelum ini dimuat naik pada Mei lalu di akaun Instagram miliknya, memaparkan dengan jelas aktivis pro-Palestin berarak dengan perkataan ‘Solidarity is a verb‘.

Sehingga ke hari ini, perkongsian Watson di Instagram telah menerima lebih 1 juta likes dan 117,000 komen yang majoritinya menyokong pendirian Watson dalam isu tersebut.

Watson turut menyelitkan petikan daripada sarjana British-Australia Sara Ahmed, yang berkata “Solidariti tidak bermaksud perjuangan kita adalah perjuangan yang sama, atau kesakitan yang dirasai adalah yang sama, atau harapan kita adalah demi masa depan yang sama.

“Solidariti melibatkan komitmen, dan usaha, serta pengiktirafan bahawa walaupun kita tidak mempunyai perasaan yang sama, atau kehidupan yang sama, atau tubuh yang sama, tetapi kita hidup di tempat yang sama,” tambah petikan itu.

Hantaran Watson mendapat pujian meluas daripada pengguna Instagram pro-Palestin, dengan beberapa orang mengucapkan terima kasih atas sokongannya dan menyiarkan emoji bendera Palestin di bahagian komen, kebanyakannya dengan hashtag #FreePalestine dan #PalestineWillBeFree.

Utusan PBB Israel, Gilad Erdan, bagaimanapun mengkritik sekeras-kerasnya hantaran Watson, membidas kenyataan bintang itu di Twitter dengan berkata; “Fiksyen mungkin berlaku dalam Harry Potter, tetapi ia tidak berguna dalam dunia realiti.”

Kenyataan itu disokong Utusan PBB sebelumnya, Danny Danon, yang menuduh Watson “sebagai anti-Yahudi.”

Leah Greenberg, pengarah eksekutif bersama, kumpulan advokasi Indivisible Guide, menolak tuduhan Danon sambil menyatakan bahawa ia adalah demonstrasi yang sangat jelas di mana alasan anti-Yahudi yang sinis dan jahat digunakan untuk menghalang asas solidariti dengan rakyat Palestin.

Watson dilantik duta muhibbah Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan peranan besarnya dalam dunia pementasan.

Malaysia merupakan antara negara yang vokal dalam menentang penindasan Israel terhadap rakyat Palestin. Baca lagi artikel berkaitan Israel pada pautan di bawah.

‘To My Friends In Malaysia’ – Aktivis Israel Ini ‘Koyak’ Dikecam Netizen Malaysia

‘Lihat Siapa Di Depan?’ – Aktivis ‘Perlekeh’ Malaysia Selepas Israel Raih Pingat Pertama Di Olimpik 2020

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Unit 8200, Agensi Risikan Siber Israel

Sumber