Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) telah mengumumkan pengoptimuman operasi pengeluaran tenusunya dan memutuskan untuk menamatkan operasi pengeluaran serbuk susu tepungnya di Petaling Jaya, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu operasi pengeluaran susu tepungnya tidak akan dijalankan di kemudahan pengilangan baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, kata Pengarah Urusannya Ramjeet Kaur Virik.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

DLMI juga akan turut menamatkan beberapa barisan pengeluaran yang lain secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang, bermula 31 Mei, 2023, sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman operasi, katanya.

Menurutnya lagi, langkah yang diambil syarikat itu tidak menjejaskan bekalan serbuk susu tepung bagi pasaran Malaysia kerana ia akan mendapatkan bekalan produk tersebut daripada rangkaian pengilangan syarikat induknya, Royal FrieslandCampina NV di Asia dan terus menyediakan bagi keperluan pasaran di negara ini — Royal FrieslandCampina NV, syarikat dari Belanda, merupakan satu daripada syarikat koperasi tenusu terbesar di dunia.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries, Ramjeet Kaur Virik | Sumber Gambar: Harian Metro

Langkah tersebut adalah sejajar dengan pendekatan FrieslandCampina bagi meningkatkan operasi perniagaan dan beralih kepada model perniagaan yang lebih mampan yang memacu fokus, inovasi dan kecekapan atas faktor keperluan strategik jangka panjang untuk terus memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan.

“Malangnya, keputusan yang kami ambil ini menjejaskan kira-kira 100 pekerjaan sedia ada. Pekerjaan tersebut tidak lagi diperlukan di kilang baharu kami di Bandar Enstek.

“Ini akan dilakukan secara berfasa bermula 31 Mei, 2023, dan sehingga suku kedua 2024.

“DLMI sebagai sebuah syarikat memiliki kira-kira 600 orang pekerja dan pengoptimuman ini memberi impak kepada barisan pengeluaran tertentu. Kami mempunyai pelbagai barisan pengeluaran seperti perniagaan cecair dan perniagaan serbuk. Ramai daripada kakitangan kami akan meneruskan pekerjaan mereka bersama kami di Bandar Enstek,” kata Ramjeet.

Tambah beliau lagi, selain pampasan kewangan, DLMI membawakan pakar yang sesuai untuk membimbing kakitangan yang terkesan, menganjurkan bengkel kerja berkaitan kesejahteraan kewangan, keusahawanan serta perniagaan digital untuk mempersiapkan mereka dengan kerjaya selepas meninggalkan syarikat.

Selain itu, DLMI juga ada sokongan peralihan dan perpindahan bagi kakitangan yang berpindah dari kilang di Petaling Jaya ke Bandar Enstek serta program menambah kemahiran dan kemahiran semula kerana ia adalah kilang pembuatan yang berasaskan teknologi tinggi.

Ramjeet berkata. DLMI telah menjadi sebahagian daripada landskap Malaysia sejak 1963 dan menjadi pilihan turun temurun pelbagai generasi dan akan meneruskan peranan penting ini pada masa depan.

“Kami terus menyokong agenda kesihatan kerajaan terutamanya bagi status pemakanan rakyat Malaysia dan jaminan makanan,” katanya

Sumber