Penceramah, usahawan dan dermawan Ustaz Ebit Lew menjelaskan beliau diminta membuat permohonan maaf secara terbuka oleh sebuah universiti tempatan pada hari ini.

Permohonan maaf itu difahamkan dilakukan selepas beliau sebelum ini melaksanakan inisiatif untuk menghantar pulang pelajar-pelajar ke kampung selepas pendaftaran pelajar universiti sebelum ini disarankan untuk ditangguhkan.

“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran UPSI terutama vice chancellor Prof Dato sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka.

“Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga,” tulis Ebit dalam hantaran Facebook yang dibuat hari ini.

Menurut kenyataan rasmi daripada UPSI yang dikongsikan Ebit bersama permohonan maafnya itu, pihak universiti berkenaan terlebih dahulu merakamkan penghargaan atas inisiatif yang telah dijalankannya sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau diberitahu agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mendapatkan kebenaran daripada pengurusan universiti dan secara langsungnya dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Majlis Keselamatan Negara.

Perkara itu menurut mereka bagi menjaga keselamatan pelajar dan mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini daripada berlaku sepanjang perjalanan pulang pelajar-pelajar terbabit.

Beberapa hari kebelakangan ini hangat di media sosial terutamanya Twitter dengan isu pelajar universiti yang terpaksa kembali ke rumah masing-masing selepas hadir untuk mendaftar di universiti dalam negara.

Ia susulan pembatalan pendaftaran pelajar di pusat pengajian tinggi selepas Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta-merta.

Ia menjadi isu apabila terdapat sebahagian daripada pelajar dan keluarga yang datang dari seluruh pelosok negara terpaksa kembali ke rumah masing-masing.

Walaupun ia tidak menjadi masalah buat sesetengah daripada mereka, namun hantaran-hantaran yang dibuat di media sosial menunjukkan masih ramai yang ‘tersangkut’ dan tidak dapat kembali kerana masalah pengangkutan dan kewangan.

Hasil daripada perkongsian berterusan yang berterusan di media sosial, orang ramai dilihat mula menghulurkan bantuan sehingga ada yang membuka tabung bantuan bagi membantu memudahkan perjalanan pelajar-pelajar yang tersangkut ini.

Turut tidak ketinggalan dalam memberikan bantuan kepada pelajar adalah usahawan dan dermawan Ustaz Ebit Liew yang mengambil inisiatif untuk menyediakan pengangkutan pulang pelajar-pelajar ini.

Bagaimanapun selepas kenyataan dan permohonan maaf itu dibuat, Ebit berkata beliau terpaksa menangguhkan 20 bas untuk tujuan tersebut.

Menegaskan niatnya hanya ingin membantu pelajar-pelajar yang terkesan, Ebit bagaimanapun dalam hantarannya telah memohon maaf atas kesilapannya sebelum ini.

“Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam.

“Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat. Biasa naik bas bayar tapi kali ini free dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke bus stop dan naik train. Saya tangguhkan 20 bas sehingga di beri kelulusan,” jelas beliau.

Ebit Lew sebelum ini pernah juga dinasihatkan untuk tidak meneruskan bantuan ketika PKP sebelum ini. Baca mengenainya melalui pautan di bawah.

Walau Dinasihat Tidak Teruskan Bantuan, Ebit Lew Tetap Terima Sokongan ‘Padu’ Netizen

Tular Video Jagung Dirampas Penguatkuasa Di Selayang, Penjual Terharu Terima Bantuan Ebit Lew

Selepas ElewsMart, Ebit Lew Wujudkan ‘Food Bank’ Khas Untuk Membantu Golongan Yang Memerlukan

Sumber