Sejak minggu lalu, tular di media sosial dan menjadi buah mulut netizen isu melibatkan figura popular iaitu Ebit Lew yang baru sahaja pulang dari Gaza dan seterusnya diserang oleh pelbagai dakwaan daripada Caprice dan Nadir Al-Nuri.

Isu ini menjadi semakin hangat selepas Ebit Lew mengambil masa yang sedikit panjang sekaligus membuka peluang buat individu lain untuk membuat pelbagai tohmahan.

Pada tengah hari ini, Ebit Lew tampil membuat perkongsian secara penuh di Instagram beliau bagi menjawab segala tohmahan dan fitnah yang dilontarkan terhadap beliau. Berikut kami ringkaskan 10 dakwaan terhadap Ebit Lew yang dijawab oleh beliau.

1. Tolak dakwaan ke Gaza menggunakan duit sumbangan

Ebit Lew melalui perkongsian live beliau memaklumkan beliau bersama pasukan ke Gaza menggunakan wang sendiri. Ebit Lew juga turut menekankan sepanjang menjalankan misi kemanusiaan, beliau tidak pernah membuka sebarang tabung melibatkan bantuan Gaza.

Beliau turut memaklumkan direzekikan menerima tajaan daripada Turkish Airlines yang mahu membawa beliau bersama pasukan menjayakan misi bantuan ke Gaza.

2. Isu sebut harga barang

Beliau memaklumkan turut menerima pelbagai sebut harga atau quotation daripada pelbagai pihak termasuk Nadir Al-Nuri. Walau bagaimanapun, beliau tidak memilih sebut harga yang dikeluarkan Nadir Al-Nuri disebabkan harga yang ditawarkan agak tinggi.

Ebit Lew sebaliknya memilih pihak yang mampu menawarkan sebut harga barang yang lebih rendah dalam mendapatkan jumlah barangan yang lebih banyak.

3. Isu tidak membalas WhatsApp

Kaprice-1
Sumber: INSTAGRAM CAPRICE

Ebit Lew turut memaklumkan khilaf daripada pihak beliau sendiri selepas ditularkan beliau tidak menjawab mesej daripada Caprice. Malah, beliau sendiri akui terkadang terlepas pandang menjawab mesej daripada isterinya dengan panjang.

Beliau juga kurang senang dengan sikap Caprice yang kongsikan mesej beliau bersama Caprice kepada tontonan umum yang sekaligus menimbulkan pelbagai fitnah.

4. Isu lambakan barang yang lambat memasuki Gaza

Ebit Lew sebelum ini diserang oleh Nadir Al-Nuri yang bertanyakan mengenai barangan yang dibelanjakan dan mempersoalkan sama ada barangan tersebut berjaya memasuki Gaza atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau terpaksa menunggu giliran barangan untuk memasuki ke Gaza berikutan lambakan barangan yang disumbang oleh kumpulan-kumpulan dari Dubai dan Qatar.

Tidak hanya membeli barangan di Mesir seperti yang didakwa, beliau turut mengaku mendapatkan barangan di Gaza. Walau bagaimanapun, barangan melibatkan kesihatan dan ubat-ubatan terpaksa didapatkan di Mesir dalam memudahkan barangan disalurkan kepada penduduk Gaza berbanding mendapatkannya di Gaza sendiri dengan harga yang lebih mahal dan terhad.

5. Jawab tuduhan biadap bertemu Nadir Al-Nuri

Ebit Lew memaklumkan sebelum tiba di lokasi di mana Nadir Al-Nuri berada, beliau terpaksa menempuh perjalanan yang selama 21 jam melalui 21 checkpoint diiringi 12 kereta kebal.

Setibanya di lokasi tersebut sekitar jam 1 pagi, beliau akui sangat letih dan sedang memikirkan untuk selesaikan solat jamak Maghrib dan Isyak.

Ebit Lew mengatakan beliau tidak ditegur dan dihulurkan tangan untuk bersalam oleh Nadir Al-Nuri manakala beliau yang letih terlepas pandang dengan kehadiran Nadir.

6. Isu tidak membuat live semasa di Gaza

Soal tidak membuat live semasa di Gaza, beliau mengatakan beliau bersama pasukan tidak membuat live kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku semasa sesi bantuan dijalankan.

Beliau turut menggunakan contoh di mana terdapat kanak-kanak yang memeluk beliau sekaligus menjadi buah mulut melibatkan pelanggaran SOP dan sebagainya.

7. Pemilihan untuk membina rumah anak yatim

Nadir Al-Nuri sebelum ini turut mendakwa Ebit Lew tidak memahami budaya di Gaza di mana kesemua individu bagai sebuah keluarga dan akan dijaga sesama mereka. Pemilihan Ebit Lew untuk membangunkan rumah anak yatim antara yang dipersoal Nadir.

Sehubungan dengan itu, Ebit Lew memaklumkan pemilihan membuka rumah anak yatim adalah adalah inisiatif beliau sendiri dan mengatakan setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk membantu serta tidak patut menjadi isu untuk dibincangkan.

8. Pembayaran kepada syarikat Hala

Nadir Al-Nuri juga melalui perkongsian beliau mempersoal tindakan Ebit Lew bersama pasukan yang menggunakan syarikat Hala dengan jumlah perbelanjaan yang besar memasuki Gaza.

Walau bagaimanapun, lain ceritanya daripada pihak Ebit Lew yang memaklumkan pihak mereka pada awalnya berbincang untuk memasuki Gaza dengan syarikat NGO Miles of Smiles. Yuran $10,000 (~RM42,260.00) yang dikenakan buat seorang individu yang memasuki Gaza membuatkan Ebit Lew membantutkan pilihan Ebit Lew melihatkan kepada yuran besar yang dikenakan.

Dalam pada itu, atas bantuan daripada kedutaan Malaysia dengan kelulusan kerajaan negara Mesir dan kelulusan tentera yang terpaksa dinantikan lama, pasukan beliau akhirnya berjaya memasuki Gaza.

Beliau bersama pasukan dikatakan memilih untuk memasuki Gaza menerusi sebuah syarikat Lucky Tour Co yang menawarkan bayaran yang jauh lebih rendah iaitu $2,500 (~RM10,565.00) untuk seorang individu.

Ebit Lew memaklumkan beliau sendiri tidak mengetahui mengenai syarikat Hala seperti yang didakwa oleh Nadir Al-Nuri.

9. Masuk Gaza tanpa Caprice, Neelofa dan PU Harris

Caprice sebelum mengatakan pasukan Ebit Lew seolah tidak mahu bekerjasama memasuki Gaza bersama beliau, Neelofa dan juga PU Harris. Caprice mengatakan kemasukan beliau ke Gaza dalam membincangkan bagaimana untuk meningkatkan ekonomi Gaza dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, jawapan daripada Ebit Lew seolah menjawab segalanya apabila dikatakan tidak pernah berbincang secara langsung bersama Caprice, Neelofa dan Harris untuk memasuki Gaza bersama.

Sebaliknya, Neelofa yang turut mengikuti live Ebit Lew menafikan penglibatan beliau menyertai misi Ebit Lew ke Gaza di mana Ebit Lew meminta Caprice menjelaskan dakwaan yang dibuat.

10. Didakwa cium kaki menteri

Menerusi sebuah perkongsian yang tular sebelum ini, Ebit Lew dikatakan sanggup cium kaki seorang menteri dalam usaha untuk menjayakan misi bantuan di Gaza. Ebit Lew nampaknya menafikan perkara tersebut serta mempersoalkan logik untuk beliau mencium kaki seorang menteri.

Kembali mempersoal Nadir Al-Nuri

Diserang dengan soal isu perbelanjaan yang diakui menggunakan wang beliau sendiri bersama beberapa individu yang mahu turut sama membantu, Ebit Lew nampaknya kembali mempersoalkan kembali kepada Nadir Al-Nuri mengenai wang yang dibelanjakan beliau yang dikatakan sebanyak RM20 juta setahun.

Ebit Lew meminta Nadir menjelaskan wang RM20 juta setahun yang diterima hasil bantuan orang ramai di Malaysia dibelanjakan untuk dengan membeli barangan apa di Gaza.

Lebih mengejutkan ramai, Ebit Lew yang berhubung dengan pihak Palestine Red Crescent Society memaklumkan pihak mereka tidak kenal dan tidak pernah berurusan dengan Nadir Al-Nuri namun sekadar pernah melihat kelibat beliau.

Ebit Lew walau bagaimanapun memaklumkan beliau memaafkan Nadir Al-Nuri dan Caprice dan sememangnya kerap mendoakan kepada atas niat baik mereka sebelum ini yang kerap membantu orang ramai.

Para pembaca berpeluang menonton rakaman live disimpan dan dikongsikan oleh Ebit Lew menerusi Instagram beliau.

Ketahui lebih lanjut bagaimana kronologi kisah melibatkan Ebit Lew dan Caprice berlaku menerusi versi yang telah diringkaskan dengan klik pautan di bawah. 

Lelaki Ini Kongsi Cerita Penuh Caprice vs Ustaz Ebit Lew Yang Telah Diringkaskan

Isu Kena ‘Block’ Di Instagram, Pembantu Peribadi Ebit Lew Jawab Sindiran Serta Tohmahan Yang Dibuat Caprice