Pengumuman kaedah pembayaran tol yang digunakan ramai iaitu kad Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dihentikan secara berperingkat dalam memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya.

Ternyata pengumuman tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang menyokong keputusan terbabit. Namun, lebih banyak yang menolak kerana sistem RFID didakwa ‘lebih rumit’ berbanding penggunaan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG.

Memetik laporan Berita Harian, baru-baru ini penyedia teknologi Austria bagi sistem kutipan tol Infra-Merah (IR) di lebuh raya di negara ini, EFKON Asia Sdn Bhd (EFKON Asia) menjelaskan bahawa sistem SmartTAG diyakini mampu mempercepatkan pelaksanaan ‘lebuh raya bebas kesesakan’ berbanding sistem pembayaran menggunakan teknologi RFID.

Sumber Gambar: Top Gear MY

Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch berkata,  pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada keperluan menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Hal ini kerana sistem yang diguna pakai sehingga hari ini terbukti berkesan dengan mempunyai lima juta pengguna dan jumlahnya semakin bertambah. Sekaligus ia dapat membantu mempercepatkan pelaksanaan sistem aliran bebas trafik berbilang lorong dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Sumber Gambar: Says

“Usaha menaik taraf berterusan meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara berbanding sistem pembayaran RFID yang masih baru.

“Malah ia juga ideal dan lebih maju bagi mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS),” terang beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, dianggarkan 75% daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia sehingga September tahun ini, dilengkapi pembaca tol terbina dalaman atau peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG.

Sumber Gambar: Star-Int
Sumber Gambar: Promotions.co.th

“Ia petunjuk jelas sistem IR sudah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif.

“Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuhraya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) terbukti sangat berkesan bagi memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100km/j.

“Teknologi IR yang digunakan pada negara Jerman itu sama seperti yang sedang digunakan di Malaysia ketika ini,” jelas beliau.

Unit SmartTAG yang diperkenalkan oleh EFKON Asia bersesuaian dan mematuhi piawaian  DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10. SmartTAG tersebut beroperasi dalam gelombang 400THz dan dapat memindahkan data 10,000 kali lebih pantas berbanding RFID.

Helmuth Blasch turut mendedahkan bahawa pada suku pertama 2022 nanti, EFKON Asia akan bergerak ke arah pendigitalan dengan membenarkan sambungan Bluetooth antara peranti dan telefon pintar dan sistem media kereta. Pada masa yang sama, sambungan ke e-wallet untuk tambah nilai dengan mudah turut akan dilaksanakan juga.

EFKON Asia telah bekerjasama rapat dengan pengeluar tempatan peranti serasi SmartTAG untuk terus memperkenalkan peningkatan dan menambah baik pengalaman para pengguna.

“Bagi syarikat konsesi lebuh raya, kami kini menawarkan antena sisi lorong baharu pada kos subsidi untuk menaik taraf prestasi lorong SmartTAG bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar,” kata Helmuth Blasch.

*Ikuti perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara melalui laman Facebook terbaharu kami, Vocket Car Club.

Pada pertengahan Disember baru-baru ini, mengumumkan penutupan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG secara berperingkat. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Plaza Tol Akan Hentikan Penggunaan Kad Touch ’n Go Dan SmartTAG Secara Berperingkat

Tol RFID Dilengkapi Kamera Pengecaman Nombor Plat Dan Sistem ‘AI’ Mula Beroperasi

Green Packet Bakal Uji Konsep Sistem Tol Tanpa Palang Pertama Di Malaysia Awal 2022