Saya diperkenalkan kepada lelaki ini oleh rakan kongsi ebook saya kira-kira setahun yang lalu. Sejak itu saya selalu mengikuti status-status dia di media sosial dan pernah bekerjasama dengannya untuk pembangunan konten syarikatnya.

Sepanjang tempoh itu, saya nampak kesungguhan dan keseriusan dia dan isterinya dalam membangunkan bisnes mereka. Walaupun sibuk, dia turun padang berkongsi ilmu dengan agen-agennya di Slack dan Whatsapp.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam soal pembayaran pula, dia tidak akan melambat-lambatkan apa yang telah dijanjikan. Secara tidak langsung, sikap itu turut menjaga perhubungan yang telah dibina dan meningkatkan kepercayaan terhadapnya.

Pada 9 Mei lalu, kisahnya membantu 1,000 orang usahawan yang kebanyakannya terdiri dari suri rumah telah dipaparkan di Sinar Harian. Saya membacanya dengan penuh minat dan merancang untuk menemubual siapa dia sebelum menjawat jawatan Pengarah di TRS Training & Consultancy Sdn Bhd.

Orang Susah Dari Kampung

Nama lelaki ini ialah Mohd Suhaimi Umar. Dia menggunakan nama yang sama di Facebook sebagai pengenalan diri di alam maya ini. Dia merupakan anak kampung berasal dari Terengganu yang tidak mempunyai darah bisnes.

Ayahnya merupakan seorang buruh di majlis perbandaran. Manakala ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, dia menjadi harapan keluarga untuk menaiktaraf kehidupan mereka.

Selepas tamat pengajian sarjana di UKM, Suhaimi ditawarkan jawatan sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di UKM pada tahun 2006. Itulah permulaan kehidupannya mencari pendapatan dengan pergi kerja waktu pagi dan pulang apabila tiba waktu petang.

Dua tahun selepas menjalani kehidupan sebegitu, Suhaimi mula mencuba nasib berbisnes dengan harapan dapat wang tambahan untuk dibuat belanja keluarga.

Terlalu Berani

Pada 2008 Suhaimi mula mencari pendapatan sampingan dengann berniaga di atas talian. Menurutnya dia tidak boleh nak mengharapkan makan gaji sahaja waktu itu memandangkan kos hidup makin meningkat naik. Malah, dia turut ada hutang kad kredit, kereta dan rumah.

Saya mulakan langkah awal dengan berniaga di ebay.com. Saya order barang dari China dan terus hantar ke US, UK dan Australia.

Tanpa ilmu dan pengalaman berbisnes, Suhaimi memberanikan diri memesan pelbagai produk dari China sebagai barang dagangan yang dia akan jual di platform Ebay. Apabila mendapat pesanan, dia terus hantar kepada pelanggannya yang berada di serata dunia. Antaranya di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Hampir 3 tahun berniaga di Ebay, lagi sekali Suhaimi memberanikan diri membuat satu keputusan yang sukar bagi seorang makan gaji. Dia memutuskan untuk meletakkan jawatan di UKM agar dapat fokus kepada perniagaannya itu.

Waktu itu dia baru setahun mendirikan rumah tangga dengan Noraishah. Pada tahun berikutnya, Suhaimi membuka sebuah pusat operasi di Bangi dan dalam masa yang sama turut membuka sebuah kedai telefon di kawasan berdekatan UKM.

Semua kelihatan indah seperti yang dirancangkan sehinggalah tiba tahun 2012 di mana perniagaannya mula mengalamai masalah.

Ego Lelaki Runtuh

Pada akhir 2012, perniagaan internet saya mengalami masalah. Saya terpaksa menutup semua operasi di Bangi.

Suhaimi tidak mahu menghuraikan lebih lanjut akan masalah yang dihadapi sehingga bisnesnya di Bangi lingkup pada akhir 2012. Dengan kudrat dan wang yang masih bersisa, Suhaimi cuba bangkit dengan berniaga di Facebook dari rumah tapi hasilnya mengecewakan.

Duit simpanan semakin susut, Suhaimi terdesak. Dia betul-betul jatuh terduduk apabila ditimpa nasib malang itu. Habis duit simpanan haji ibubapanya dipinjam untuk berniaga dan sara hidup.

Apa yang diusahakan tetap gagal sehingga bil air, elektrik dan sewa rumah tidak dapat Suhaimi lunaskan. Keadaan ini bukan sebulan dua tapi ia berlangsung sehingga bertahun.

Pada April 2014, akaun bank Suhaimi dibekukan, kereta ditarik semula, dan mereka suami isteri menerima surat hadir ke mahkamah kerana tidak mampu membayar hutang.

Saya mengambil keputusan menghantar isteri dan anak-anak pulang ke kampung buat sementara. Berat sebenarnya untuk buat keputusan ini. Yalah sejak beberapa tahun, kami hanya 24 jam bekerja bersama anak siang dan malam, tetiba perlu berpisah.

Dirasakan gelap dunia seketika, ego Suhaimi sebagai seorang lelaki, anak, suami dan ayah turut hilang. Setiap masa dia hanya ditemani air mata terutama apabila mengenangkan dirinya sebagai seorang ayah yang gagal. Seorang ayah yang tidak mampu membahagiakan isteri dan anak-anak, walaupun pada suatu ketika dia ada segalanya.

Bangkit Dengan Modal RM1000

Dalam tangisan dan runtuhnya sebuah ego, Suhaimi tekad untuk keluar daripada kemelut ini dengan melakukan pelbagai kerja. Hasil bertungkus lumus itu, Suhaimi berjaya mengumpul RM1,000.

Dengan hanya bermodalkan RM1000, Suhaimi memulakan bisnes produk kecantikan sebagai agen dropship pada Ogos 2014. Dia bersyukur cubaan berbisnes kali ini mula menampakkan hasil.

Hari demi hari jualan Suhaimi meningkat. Selepas setahun lebih berbisnes, jualan Suhaimi berjaya mencecah RM1.081 juta di bawah syarikat miliknya TRS Marketing Sdn Bhd.

Bantu 1,000 Usahawan

Pencapaian yang memberangsangkan itu telah mendorong Suhaimi menubuhkan beberapa anak syarikat di bawah TRS Group yang melibatkan latihan dan konsultansi, internet dan pemasaran.

Segala ilmu rundingan dan latihan itu bukan dipelajari daripada kursus atau orang tertentu, Suhaimi memperolehinya melalui pengalaman getir sebelum ini.

Dia tidak terus menjaja perkhidmatan rundingnya. Dia mahu membuktikan terlebih dahulu bahawa dia seorang yang berjaya. Maka, dia menjadikan isterinya sebagai bahan kajian.

Tindakan Suhaimi itu telah membuatkan isterinya, seorang suri rumah sepenuh masa, menjadi seorang usahawan internet sehingga isterinya mempunyai kakitangan sendiri di rumah.

Kemudian Suhaimi menduplikasi kaedah transformasi itu dalam bentuk latihan dan konsultansi bagi membimbing lebih 1,000 usahawan untuk mengenali teknik pemasaran dan pengiklanan online.

Secara tidak langsung, Suhaimi telah membantu para suri rumah menjana pendapatan sampingan. Ada juga di antara mereka telah berjaya memulakan bisnes dengan mencipta produk baru di bawah jenama sendiri.

4T Yang Begitu Bermakna

Suhaimi tidak kedekut untuk berkongsi amalan yang dilakukannya olehnya saat dia bangkit semula. Dia namakannya 4T.

1. Taat

Kami kembali pada yang Maha Esa. Mungkin sebelum ini kami lalai dan lupa tanggungjawab kami sebagai hamba Tuhan. Yang paling ketara, kami pulang ke kampung mohon dimaafkan segala dosa dengan ibubapa kami. Mohon mereka merestui segala usaha kami selepas ini.

2. Tukar Persekitaran

Kami keluar daripada perkara-perkara negatif yang akan melemahkan semangat kami. Kami tinggalkan kumpulan-kumpulan yang tidak memberikan kami manfaat.

3. Tiruvasi

Kami mencari beberapa ikon untuk dijadikan contoh. Kami buat apa yang mereka buat. Ada yang kami berjumpa secara bersemuka dan ada yang kami follow rapat-rapat.

4. Tanggungjawab

Kami bangkit dan kami tabur juga khidmat pada insan lain yang juga ingin sama-sama berjaya. Antara yang kami lakukan adalah mengadakan siri bengkel #demiSekepingRoti secara percuma. Ia dianjurkan secara berkala setiap bulan di pejabat TRS Training.