Sejak beberapa bulan kebelakangan ini makin kerap pula terdengar kes kerja secara haram dan ditipu oleh ejen bekerja di Korea. Beberapa hari lepas kami di Vocket telah dihubungi oleh salah seorang mangsa scam tersebut dan beliau bersetuju untuk berkongsi kisah yang agak tragis ini.

Untuk memudahkan anda faham jalan cerita kisah ini, kami namakan mereka yang terlibat sebagai Kamal, Ejen A (Eddie) dan Ejen B (Wann). Kamal meminta agar kami rahsiakan identiti beliau atas dasar menjaga hati keluarga terutama anak yang sedang sakit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Desakan hidup dan tidak dapat kerja

Pekerjaan terakhir Kamal adalah sebagai network designer. Namun sejak kontrak beliau tamat pada tahun 2013, Kamal tidak bekerja walaupun telah puas memohon dan hadir ke sesi temuduga.

“Sejak tidak bekerja dari tahun 2013 hingga tahun 2016, macam-macam kerja saya buat. Ada kerja yang tawarkan gaji macam graduan baru, dan selalunya jawapan yang saya terima adalah overqualified. Pada masa ni saya duduk di rumah dan jaga anak, isteri bekerja.

Keadaan kami jadi bertambah susah bila isteri saya pula terpaksa berhenti kerja. Masa tu anak kami jatuh sakit dan kena tahan wad. Anak saya mengidap SLE dan mahu ibunya berada di sisi sepanjang di hospital. Tahun lepas anak saya pernah kena tahan wad selama 55 hari.

Pernah juga masa anak saya ditahan di ICU selama beberapa hari, saya tak ada duit. Saya pernah tidur di kaki lima semasa anak ditahan wad, ada duit siling je dalam poket. Beraya di hospital pun pernah sebab tunggu anak.

Saya pernah cuba-cuba berniaga di uptown, buka restoran kongsi modal dan usahakan bersama dengan adik-beradik. Tapi akhirnya kedai makan kena tutup, bisnes lingkup, susah berniaga dengan adik-beradik ni.”

Nampak iklan kerja di Facebook

Menurut Kamal, atas keadaan yang makin mendesak beliau cuba cari jalan penyelesaian. “Saya nampak iklan kerja di Korea di Facebook. Gaji yang dijanjikan adalah 1.8 juta hingga 2 juta Won sebulan.”

Kerana desakan hidup yang semakin  menghimpit, Kamal ambil keputusan untuk cuba nasib dan berhijrah. Selepas berhubung dengan ejen yang terlibat, Kamal sanggup ke Korea dan bekerja di sana sebagaimana yang telah dijanjikan oleh ejen.

“Bayaran yang dikenakan oleh Ejen A untuk ke Korea ialah RM1900 untuk tiket dan itinerari bodoh. Kononnya kami ni datang ke Korea sebagai pelancong. Sampai di Korea, kena bayar RM800 pula kepada Ejen B, tapi kena guna duit Won Korea. Cara dia orang layan kami  kiranya macam no money no talk.”

Menurut Kamal masalah mula dirasa sebaik saja tiba di Korea. Gaji yang dijanjikan oleh ejen adalah 1.8 juta hingga 2 juta Won. Tapi realitinya sebulan beliau hanya terima 1.3 juta Won sahaja, bukan sebanyak yang telah dijanjikan.

“Di sana, ejen adalah mereka yang membawa masuk pekerja ke Korea. Ada perjanjian antara ejen berdaftar tempatan dan majikan. Jika di Malaysia, ejen ni boleh dikira macam runner. Runner yang sebenarnya ‘meranakan’ hidup orang. Jika ikut cara yang betul, runner mesti melalui ejen berdaftar tempatan. Kemudian baru pekerja disalurkan ke mana-mana rangkaian kosong yang berkenaan.

Daripada perjanjian yang telah ditetapkan dengan ejen berdaftar tempatan, sekiranya berlaku kemalangan kepada pekerja, pekerja akan dibayar gaji penuh dan dapat pampasan.

Tapi dek kerana gelap mata, nak cepat kaya, Ejen B buat deal direct dengan majikan kilang tanpa melalui ejen berdaftar tempatan. Jadi dia akan dapat ambil komisen lebih banyak. Itulah punca kenapa gaji yang dijanjikan sebanyak 1.8 juta Won kepada orang macam saya, tapi saya hanya terima 1.3 juta Won.

500k Won diambil oleh Ejen B, lebih kurang RM2K duit kita. Itu baru seorang, bayangkan jika dia dapat 10 orang, 100 orang. Berapa banyak duit dia dapat macam tu saja.

Iklan dan status Ejen A dan B di Facebook memang best. Kami dijanjikan bulan bintang. Tapi bila sampai di sana, rupanya kena terima je apa yang ada. Ada juga yang dihantar kerja, tapi bila sampai di lokasi kerja, tiba-tiba tiada kerja.”

Ditimpa kemalangan

Kamal hanya sempat bekerja selama 6 hari di sebuah kilang konkrit sebelum ditimpa kemalangan.

“Tangan saya ditimpa dan tercucuk besi sewaktu buat kerja. Masa saya nak tarik besi tu keluar, tiba-tiba besi yang tergantung di atas jatuh dan menimpa tangan saya. Ibu jari saya hampir putus dan 2 jari lagi hancur.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 9 pagi. Jam 10 saya dihantar ke hospital dan tangan saya perlu dibedah. Jam 2 petang saya masuk bilik pembedahan, jam 5 petang pembedahan selesai.

Kemasukan saya ke hospita didaftar atas nama penduduk tempatan. Saya tak tahu mereka buat bagaimana. Saya ditahan wad selama 27 hari. Selepas 30 hari, iaitu lepas pin besi di tangan dibuka, majikan arahkan saya balik ke negara asal.

Sebenarnya doktor tak bagi lagi saya balik. Kena buat pembedahan ke 2, kemudian baru boleh balik. Tapi majikan berkeras suruh saya balik juga. Sampai sekarang luka saya belum sembuh sepenuhnya dan saya hilang 2 jari.”

Tambah Kamal lagi, “jika tak disebabkan sikap tamak oleh agen A dan B, nasib saya mungkin lebih baik. Saya akan menerima gaji walaupun ditahan wad selama 27 hari, dapat pampasan dan sebagainya.

Tapi kerana tamak tersebut, mereka tidak ikut saluran sepatutnya. Mereka deal direct dengan kilang menyebabkan semua kemudahan untuk pekerja seperti kami tiada.

Mereka menjanjikan gaji 1.8 juta Won, tapi sebab mereka deal direct dengan kilang, 500k masuk dalam akaun mereka. Budak-budak cuma menerima 1.3 juta Won. Akibatnya ramai yang lari selepas sebulan bekerja.”

Janji dicapati

Hari ke2 di Hospital Ejen B datang melawat setelah diberitahu oleh majikan. Selain bersimpati Ejen B ada menjanjikan 3 perkara yang akan saya ingat sampai bila2, insya Allah:
1. Akan berusaha mendapatkan gaji untuk sebulan atau selama mana saya ditahan di wad.
2. Akan berunding dengan majikan untuk bayaran pampasan saguhati atas kemalangan yang berlaku. Mungkin akan ambil masa yang panjang untuk sembuh sepenuhnya.
3. Berjanji akan menyediakan tiket perjalanan pulang. Ejen A akan sediakan bila tiba masanya nanti atas arahan Ejen B. Ejen B juga berjanji akan datang ziarah lagi. Saya tak kisah pun.
Dalam masa hari ke27 ke 30 saya cuba berunding untuk tiket. Ejen A akan suruh saya tanya Ejen B, Ejen B akan suruh saya tanya Ejen A. Begitulah seterusnya.

Bila perkara 3 berlaku, saya cuma dibayar jumlah hari saya bekerja sahaja. Ternyata Ejen B lepas tangan. Cerita tentang tiket tetap sama. Saya dijadikan sebagai bola ditendang oleh Ejen A dan Ejen B. Ejen B mengarahkan saya terus ke Airport untuk urusan tiket.

Sedangkan saya dapat rasakan dalam masa yang sama Ejen A dan B sedang ketawa terbahak-bahak sambil makan nasi dagang & nasi berlauk. Macamlah saya tak tau kan. Selepas itulah perkara ke 4 dan seterusnya berlaku. Kalau ikut Ejen B punya plan mereput lah saya di Airport. Sampai wawasan 2020 pun tiket takkan wujud. Kali terakhir cuba buat rundingan dengan Ejen A & B tapi dipandang sepi.

 

Dibantu orang asing dan tak dikenali

Setelah keluar hospital, menurut Kamal beliau tiada tempat berteduh, dan tiada duit. “Di saat saya susah di tempat orang, macam-macam bantuan yang Allah hantar. Walaupun berlainan agama, ada insan yang sudi bagi tempat berteduh semasa saya di Korea. Sebelum dapat balik semula ke Malaysia, ada masa saya merempat di masjid di Korea.

Ada orang Malaysia yang hulurkan duit 100k Won (dalam RM380) kepada saya. Satu jumlah yang banyak walaupun kami baru berjumpa. Ada yang belanja makan selama beberapa hari. Saya bersyukur walaupun susah, Allah temukan saya dengan orang-orang yang baik.

Saya tak kisah jika saya dikeji dikutuk sebab ikut ejen cari kerja haram di sana. Saya dah terdesak nak cuba nasib tapi itulah, tak sangka ini yang berlaku. Ingatkan raya tahun ni dapat sediakan barang raya untuk anak, nampaknya terpaksa fikir cara lain pula.”

Pesanan kepada pembaca

“Sejak 2 ke 3 bulan lepas terlalu ramai yang mereka bawa masuk. Saya pasti ramai yang jadi mangsa mereka. Mereka pasti dah kaya raya dalam masa yang singkat.

Dan beberapa hari lepas saya dapat tahu, ada seorang lagi yang pergi ke Korea bersama saya dulu turut cedera dan ditahan di wad, hilang 4 jari. Inilah risikonya bila ke negara orang dan kerja tanpa permit.

Tujuan saya kongsikan kisah saya ni dengan harapan yang lain takkan tertipu sebagaimana yang terjadi kepada saya. Saya tak nak orang lain turut alami apa yang telah saya lalui.”

Untuk pengetahuan Kamal telah selamat kembali ke Malaysia dan kini berada di rumah ibu beliau. Kamal juga memaklumkan beliau telah dinasihatkan oleh seorang doktor yang ditemui di surau berdekatan rumah untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut untuk tangan beliau.

Kami di Vocket mendoakan agar Kamal dan keluarga tabah menghadapi ujian ini dan beliau dapat mencari kerja semula di Malaysia.

Adakala bila dah buntu, memang agak mudah untuk kita hilang pertimbangan dan sanggup merebut apa saja peluang yang ada di depan mata tanpa memikirkan risikonya. Semoga kisah yang kami kongsikan ini turut dijadikan iktibar oleh anda yang membaca.

Jangan mudah terpedaya dengan janji manis ejen yang menjanjikan kerja bergaji lumayan di luar negara. Hakikatnya mereka  hanya mahu menangguk di air keruh, menambah susah kepada mereka yang sudah sedia susah, asalkan mereka dapat komisen. Kesusahan orang lain mereka tolak ke tepi.