Ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, Kelantan, pada 13 September lalu, berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan PDRM malam semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, wanita terbabit diselamatkan di Thailand dan sudah dibawa pulang ke Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Melalui siasatan dan kerjasama erat antara PDRM bersama Polis Thailand dan perkongsian maklumat serta perisikan berjaya menjejaki lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara berkenaan dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, selain turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk menculik mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Acryl berkata, PDRM menzahirkan penghargaan kepada Polis Thailand dan Kedutaan Malaysia di negara itu atas kerjasama serta bantuan dalam usaha dilaksanakan bagi menyelamatkan mangsa culik.

PDRM juga menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Sebelum ini, penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Rata-rata netizen di media sosial turut menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada PDRM dan pihak lain yang terlibat kerana berjaya menyelesaikan kes ini dengan pantas dan cekap.

Sumber