Seorang wanita, Rosnazirah Mohd Naim iaitu seorang ejen jualan kosmetik dipercayai diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini petang semalam dan pihak polis kini giat menjalankan siasatan untuk mengesan mangsa.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sekumpulan lelaki menaiki kereta telah berhenti di hadapan rumah mangsa. Menurut waris, salah seorang daripada suspek telah bertindak mengetuk pintu rumah dan memberi salam sebelum dibuka oleh mangsa lalu diheret keluar dan dimasukkan ke dalam kereta pada jam 4.10 petang.

Baca Juga:

Difahamkan, ketiga-tiga suspek didakwa menunjukkan pistol kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada di dalam rumah. Sementara itu, pihaknya menerima maklumat bahawa Rosnazirah dibawa ke arah Pengkalan Kubor, iaitu kawasan sempadan negara namun suaminya yang cuba menjejaki ke lokasi tersebut gagal menemuinya.

“Suami mangsa menjejaki isterinya ke negara jiran dan belum pulang sehingga hari ini. Apa yang kami tahu, Azi tiada musuh dan kami juga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan setakat ini.

“Tidak pasti jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik. Ibu dan bapa mangsa masih terkejut, bersedih dengan kejadian ini,” kata waris mangsa.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah memaklumkan, siasatan lanjut sedang dibuat dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.