Hujung minggu lalu tular isu beberapa ekor anjing mati akibat diracun di Lavender Height Senawang. Isu berkenaan menjadi perbalahan netizen di media sosial dan ramai yang menjadikan pengerusi masjid Lavender Heights sebagai suspek utama kes ini berdasarkan screenshot yang tular bersama gambar anjing yang mati.

Ianya tidak adil sekiranya kita melihat perkara ini daripada satu sudut sahaja dan tidak mendengar cerita dari pihak penduduk Lavender Heights Senawang. Semalam, kami ke Senawang untuk menemu bual sendiri pengerusi masjid kariah Ibnu Khaldun Lavender Heights, Tuan Haji Mohd Asna Amin.

Beliau sehingga kini menjadi sasaran kecaman selepas screenshot perbualannya dengan penduduk berhubung isu anjing di perumahan itu tular baru-baru ini. Menurut Mohd Asna, paparan perbualan berkenaan adalah tidak menyeluruh dan berniat jahat.

“Pada 14 Disember 2018 yang lalu, saya menerima gambar daripada seorang individu yang merakam gambar makanan anjing seperti gambar yang tular sebelum ini. Saya secara jujur tidak pernah membuat sebarang racun untuk mana-mana haiwan di kawasan masjid ini walaupun kawasan masjid ini sering diganggu oleh anjing liar.”

anjir 2
Gambar makanan anjing bertarikh 14 Disember 2018

“Saya tahu tentang kewujudan ‘racun’ itu dan saya biarkan sahaja. Pada 1 Januari 2019, saya menghantar gambar yang saya terima pada 14 Disember lalu ke group WhatsApp penduduk taman Lavender Heights. Di sana, kami memang ada bincang tentang isu untuk tangani masalah anjing liar. Saya berseloroh kata yang saya ‘telah membuat racun’ untuk tangani isu anjing liar ini. Pada 3 Januari 2019, beberapa ekor anjing ditemui mati di sekitar Lavender Heights dan justeru itu, saya menjadi suspek utama dalam kes berkenaan,” Terang Mohd Asna.

Sebenarnya, apa yang netizen lihat cuma dari sisi anjing dibunuh tetapi mereka langsung tidak tahu situasi sebenar yang menghantui penduduk Lavender Heights sejak sekian lama. Anjing liar yang berkeliaran di sekitar taman berkenaan bukannya jinak tetapi ganas di mana kumpulan anjing ini mengganggu penduduk taman Lavender yang 95% adalah orang Melayu hampir setiap hari.

Anjir 1
Kumpulan anjing liar di hadapan rumah penduduk Lavender Heights

Haji Mohd Asna turut menerangkan yang ahli jawatankuasa masjid sudah membuat berpuluh laporan tentang isu anjing liar ini kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) tetapi ‘tidak dilayan’ dan dikatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai bajet untuk menguruskan kes anjing liar ini.

“Apa yang tular adalah 4 ekor anjing yang mati. Mereka tidak tahu apa yang anjing-anjing liar ini sudah buat kepada kami selama ini. Beberapa ahli kariah Taman Lavender ini kehilangan kucing kesayangan mereka kerana dibaham dan dibunuh. Bukan seekor, tetapi sudah berbelas ekor kucing menjadi mangsa anjing-anjing liar ini.”

anjir meow
Kecederaan yang dialami seekor kucing penduduk Levender Heights

“Ada ahli kariah yang melihat dengan mata sendiri kucing mereka digigit oleh anjing. Itu belum kira lagi anak-anak yang pulang dari sekolah yang dikejar oleh anjing. Memang sakit hati apabila anjing-anjing ini dibela secara berlebihan oleh sesetengah pihak di luar sana,” terang Mohd Asna dengan nada kecewa.

Sebagai pengerusi masjid, menjadi tanggungjawab beliau untuk menjaga keharmonian rumah ibadah orang Islam di Lavender Heights. Anjing-anjing ini juga turut mengganggu jemaah yang hadir untuk solat serta dilihat minum air dari kolah untuk berwuduk.

Bukan itu sahaja, Haji Mohd Asna juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak tahfiz yang tinggal di asrama yang terletak di perkarangan masjid. Beliau tidak mahu anak-anak tahfiz ini menjadi mangsa atau tercedera kerana digigit anjing-anjing liar ini.

anjir 3
Lokasi kolah air yang menjadi tempat singgah anjing liar
Lavender tahfiz
Antara pelajar tahfiz yang belajar Al-Quran di masjid
Tuan Mohd Asna
Tuan Haji Mohd Asna Bin Amin bersalam dengan adik-adik Tahfiz

Kami turut dibawa ke lokasi di mana anjing berkenaan ditemui mati. Jarak daripada lokasi masjid dan tempat kejadian adalah lebih kurang 1KM. “Jarak antara lokasi ini dengan masjid jauh. Jadi ada atau tidak bukti yang anjing-anjing ini makan sesuatu di masjid dan mati di sini? Saya ada bertanya pada pihak veterinar tentang racun haiwan. Kesan racun sebenarnya hanya sehari dan jika racunnya kuat, anjing boleh mati dalam masa beberapa jam sahaja.”

“Makanan anjing yang diletakkan pada 14 Disember di kawasan masjid tersebut sudah hilang/pupus selepas 1-2 hari. dan Anjing pula mati pada 3 Januari 2019. Jadi, jarak masa adanya racun berkenaan di kawasan masjid (14 Disember 2018) adalah sangat berbeza dari segi waktu dan lokasi (3 Januari dan jarak 1KM dari masjid) anjing berkenaan mati. Jadi saya yakin ada individu lain yang tidak bertanggungjawab yang meracuni anjing-anjing ini dan menjadikan saya sebagai kambing hitam.”

“Sejak tularnya berita ini, saya sudah menerima ribuan mesej yang memaki hamun dan menghina saya serta agama Islam. Kes ini sudah jadi kes lain pula di mana ada individu yang membuat serangan personal kepada agama Islam dan sehubungan itu, saya ada membuat laporan polis terhadap beberapa mesej yang saya anggap melampau,” tambah Mohd Asna lagi.

anjir report
Laporan polis yang dibuat Mohd Asna

Tahukah anda, setiap pemilik anjing perlu mempunyai lesen khas jika mahu membela anjing? Menerusi laman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), setiap pemilik anjing perlu mendaftarkan setiap anjing yang mereka miliki. Menurut undang-undang kecil (UUK 8C), seseorang yang diberikan lesen untuk mempunyai, memelihara, melindungi atau menyenggara anjing terkawal hendaklah:

1. Memelihara anjing itu dibawah pengawasan yang sepatutnya pada setiap masa.
2. Memastikan bahawa anjing itu diikat dan ditutup mulutnya dan berada di bawah kawalan yang sepatutnya pada setiap masa bila mana ia dibawa keluar dari premis.
3. Memastikan bahawa anjing itu tidak berkeliaran keluar dari tempat ia dipelihara.
4. Memastikan bahawa premisnya dipagar dengan selamat dan pagar itu disenggarakan dengan sepatutnya pada setiap masa.
5. Mempamerkan pada setiap masa tanda “AWAS ANJING” di suatu tempat yang ketara dan mudah dilihat di bahagian hadapan dan belakang premisnya.

Sekiranya anjing berada di luar premis tanpa pengawasan tuan, semestinya anjing berkenaan boleh membahayakan penduduk sekitar. Dalam Islam sendiri, dibolehkan atau tidak kita membunuh anjing liar?

Memetik daripada laman Soal Jawab Mazhab Syafi’i, diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu anha, beliau mengatakan, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda :

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ: الْفَأْرَةُ، وَالْعَقْرَبُ، وَالْغُرَابُ، وَالْحُدَيَّا، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

“Lima haiwan pengganggu yang boleh dibunuh di tanah haram, iaitu: tikus, kala jengking, gagak, rajawali dan anjing yang suka menggigit (Riwayat Muslim).”

Pada ketika ini, ada pihak yang sengaja mahu memainkan sentimen agama untuk isu ini kerana mereka menganggap orang masjid sebagai mastermind di sebalik kejadian racun anjing ini. Orang masjid tidak langsung terlibat dalam kes ini dan Mohd Asna sendiri sudah mengenal pasti individu pertama yang menuduh beliau sebagai pembunuh anjing.

Annie Cover
Individu pertama yang membuat fitnah kepada Mohd Asna

“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan pihak PBT mencari penyelesaian untuk menangani isu ini. Sehingga ke hari ini, wakil dari Majlis Perbandaran Seremban langsung tidak datang melawat walaupun isu ini sedang panas,” kata Mohd Asna.

Beliau kini sedang disiasat oleh pihak polis selepas seorang penduduk membuat laporan mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya mati akibat diberi racun awal bulan ini. “Untuk pengetahuan anda semua, individu yang anjingnya mati ini mempunyai lebih 4 ekor anjing di dalam kawasan rumahnya. Persoalan saya, mengapa anjingnya boleh berada di luar rumah tanpa pengawasan penjaga? Ianya nyata sudah menyalahi undang-undang kerana boleh membahayakan penduduk taman,” tambah Mohd Asna.

Mohd Asna kini di siasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Walaupun pihak Mohd Asna memberi kerjasama yang penuh, telefon pintar miliknya tetap dirampas oleh pihak berkuasa. Mohd Asna bimbang maklumat peribadi beliau seperti nombor bank yang terdapat dalam telefon pintar pula akan tular di media sosial. Telefon pintar berkenaan sangat penting bagi Mohd Asna untuk menjalankan aktiviti harian.

“Cuba anda bayangkan, hanya kerana ingin pencari pembunuh anjing liar yang mengancam manusia, telefon pintar saya dirampas seolah-olah saya ini disiasat untuk kes yang berprofil tinggi,” Mohd Asna menutup bicara bersama kami.

Penduduk Lavender Height juga memberi sepenuh sokongan dan berdiri di belakang Haji Mohd Asna dalam isu ini. Semoga PBT dapat mencari penyelesaian yang terbaik untuk kes ini.

Terkini: Gambar ini dirakam oleh seorang jemaah masjid awal pagi tadi (11 Januari 2019, Jumaat) di mana anjing-anjing ini masih menjadikan kawasan sekitar masjid sebagai tempat berkumpul.

anjir di mesjid