Nama Elon Musk seringkali menjadi sebutan sejak dari minggu lalu selepas beliau menyelesaikan pembelian platform Twitter bernilai $44 bilion (~RM208 bilion).

Lebih menarik perhatian ramai, beliau pada sejak hari pertama mengambil alih Twitter sudahpun melakukan tindakan drastik dengan memecat CEO dan CFO Twitter secara serentak. Tindakan yang dilakukan telah meletakkan beliau sebagai CEO Twitter buat sementara waktu.

Baca Juga:

Sumber: CNN

Terbaharu, bermula dengan sekadar ura-ura serta dinafikan beliau, minggu ini telah menjadi kenyataan apabila Elon Musk bertindak untuk memecat separuh daripada pekerja Twitter yang merangkumi 3,700 pekerja.

Lebih tragis, pemecatan yang dibuat telah dilakukan tanpa notis yang sekaligus memaksa para pekerja akur dengan keputusan yang dilakukan. Selain itu, akses kepada komputer syarikat dan e-mel melibatkan syarikat turut disekat serta-merta.

Tindakan yang dilakukan Elon Musk secara drastik tersebut telah mendapat tentangan hebat daripada pihak pekerja yang meluahkan kekesalan mereka menerusi platform Twitter.

Difahamkan Elon Musk bertindak untuk memecat separuh daripada pekerja Twitter berikutan syarikat tersebut bergelut dengan isu kewangan di mana mereka terpaksa menanggung sekitar $4 juta (~RM19 juta) sehari.

Sementara itu, Elon Musk juga dikatakan telah membawa masuk pekerja daripada Tesla selaku syarikat di bawah kendaliannya untuk membantu syarikat Twitter.

CEO Binance, Changpeng Zhao. Sumber: Fortune

Tindakan drastik yang dilakukan nampaknya bukan sahaja kurang disenangi para pekerja, malah turut mendapat respon di kalangan CEO Binance yang berpendapat idea baru Elon Musk Twitter dijangka bakal gagal.

Untuk pengetahuan, ini bukanlah pertama kali Elon Musk memecat pekerjanya secara drastik. Sebelum ini situasi yang sama turut berlaku bagi syarikat SpaceX selepas terdapat pekerja yang mengkritik beliau.