England bakal menjadi negara pertama di dunia yang menetapkan vape sebagai produk perubatan. Panduan baharu daripada Agensi Pengawalseliaan Produk Ubat dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) akan menjadikan vape atau lebih dikenali sebagai produk e-rokok sebagai salah satu pilihan buat perokok yang mahu berhenti mengambil rokok.

Pengambilan vape dengan kadar yang terkawal, walaupun tidak bebas dari risiko penyakit, menurut kajian saintifik adalah 95 peratus lebih selamat daripada mengambil rokok. Vape tidak mengandungi tar atau karbon monoksida, unsur yang paling berbahaya ketika seseorang mengambil tembakau yang mengandungi nikotin dan menyebabkan ketagihan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Dengan mengikut sains, UK telah menjadi perintis global dalam mengambil tindak balas yang pragmatik dan berkadar terhadap vape sebagai manfaat kesihatan awam,” kata Harry Shapiro, pengarah badan amal dadah DrugWise dan pengarang utama laporan mengenai pengurangan bahaya tembakau global, memberitahu Vice World News.

Walaupun bilangan perokok UK menurun – daripada 27 peratus kepada 14 peratus dalam 20 tahun yang lalu – sekitar 64,000 orang mati setiap tahun akibat merokok. Lebih parah lagi, kadar merokok di kawasan kejiranan miskin adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kawasan kejiranan kaya. Manakala terdapat kira-kira 6.1 juta perokok dewasa di UK berbanding 3.6 juta yang menggunakan e-rokok, kebanyakannya adalah bekas perokok. Vape adalah kaedah paling popular untuk berhenti merokok ketika ini.

Setiausaha Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Sajid Javid berkata, “Membuka pintu kepada e-rokok berlesen yang ditetapkan di NHS berpotensi untuk menangani jurang perbezaan ketara dalam kadar merokok di seluruh negara, membantu orang ramai berhenti merokok di mana-mana tempat mereka tinggal dan apa jua latar belakang mereka.”

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, vape dilanda dengan kontroversi pada permulaan produk ini diperkenalkan. Pada Julai lalu, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan vape sebagai memudaratkan, ketagihan dan menjadi pintu awal kepada kanak-kanak untuk menghisap tembakau.

Namun bagi Profesor John Britton, profesor epidemiologi emeritus di Universiti Nottingham berkata, “WHO masih tidak memahami perbezaan asas antara ketagihan terhadap merokok, yang membunuh berjuta-juta orang setiap tahun, dan ketagihan kepada nikotin.”

Pada tahun 2019, kecederaan dan kematian yang dikaitkan dengan vape di Amerika Syarikat telah mengakibatkan beberapa bandar dan negeri melarang penjualan produk vape berperisa dan larangan separa oleh kerajaan persekutuan. Bagaimanapun, didapati bahawa kecederaan dan kematian yang berlaku disebabkan oleh penggunaan THC yang terdapat di dalam vape yang dibeli di pasaran gelap.

Kajian menunjukkan vape merosakkan paru-paru, tetapi lebih ‘selamat’ daripada rokok. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Kajian Menunjukkan Vape Merosakkan Paru-Paru, Tetapi Lebih ‘Selamat’ Daripada Rokok

Sumber