Facebook baru-baru ini telah menandatangani perjanjian bersama Warner Music, perjanjian yang hampir sama dengan perjanjian yang dibuat bersama Universal Music Group sebelum ini.

Perjanjian licensing ini akan memberi akses kepada pengguna Facebook dan Instagram untuk menggunakan lagu artis di bawah naungan Warner Music secara percuma. Ianya pendekatan Facebook untuk bersaing dengan YouTube dari segi memberi royalti dan pendapatan tambahan kepada artis.

Antara artis yang berada di bawah naungan Warner Music adalah Ed Sheeran, Gorillaz, Linkin Park, Coldplay dan ramai lagi.

“Perjanjian bersama Facebook ini akan mengembangkan lagi cara untuk anda mendengar muzik di samping menambah pendapatan untuk artis di bawah kami. Peminat juga boleh menggunakan lagu artis di bawah naungan kami untuk video mereka di Facebook, Instagram dan Oculus supaya mereka dapat berkarya menggunakan muzik yang mereka suka,” kata Ole Obermann, pengarah bahagian digital Warner Music Group.

Facebook sebelum ini berminat untuk menjadi platform muzik sama seperti Spotify, Deezer dan lain-lain tetapi buat masa ini, belum ada berita lanjut berkenaan berita ini. Namun dengan perjanjian seperti ini, ianya tidak mustahil Facebook akan mempunyai fungsi baharu untuk mudahkan anda mendengar lagu sambil melayari laman Facebook.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group