Beliau tidak keluar di kaca televisyen setiap hari, tetapi jenama butik beliau meniti dari bibir ke bibir. Harga berpatutan, berkualiti tinggi, serta koleksi baru setiap minggu, butik Benang Hijau berdiri pada kelasnya yang tersendiri.

Fadzilah Mamat, pengasas dan CEO menceritakan serba sedikit tentang penubuhan Benang Hijau dalam video korporat milik syarikatnya. Benang Hijau yang bermula pada tahun Julai 2012, ditubuhkan dengan inspirasi ‘menjual apa yang saya perlukan’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum bermula, Fadzilah adalah seorang perunding unit amanah. Oleh kerana beliau merupakan salah seorang agen yang cemerlang, beliau diberi hadiah percutian ke Guangzhou, China. Semasa di sana, Fadzilah mula nampak peluang-peluang yang tidak diketahuinya sebelum ini.

Setelah pulang ke Malaysia, Fadzilah mula mencari-cari maklumat, seterusnya menyertai satu kursus memborong barangan dari luar. Ini kemudiannya mendorong beliau menyertai lawatan memborong ke Vietnam. Fadzilah meminjam modal sebanyak RM5,000 dari saudara dan adik-beradik. Di sana beliau memborong baju kurung manik dan kain pasang untuk dijual semula di Malaysia.

Menurut Sinar Harian, Fadzilah berkata, ““Dengan jumlah itu saya berniaga kios dan buka booth. Hasil jualan saya bayar hutang dan pusing modal untuk jualan seterusnya. Tak sangka hasil jualan sangat menggalakkan. Kebetulan bulan puasa saya kemudian berniaga kain pasang. Memang seronok.”

Penjualan kain pasang memang mudah dan sambutan sangat baik, tetapi Fadzilah mula terkesan apabila terdapat peniaga-peniaga lain yang mula menekan harga.

“Mungkin modal (mereka) lebih banyak, jadi dia boleh jual pada harga lebih rendah. Peniaga yang kecil seperti saya ini terasalah. Jadi saya fikir, saya kena buat sesuatu,” ujar Fadzilah dalam wawancara beliau bersama Bernama.

Ini mencetuskan idea kepada beliau untuk mula fokus kepada penjenamaan. Akhirnya pasukan Benang Hijau mengambil keputusan untuk mula menjual pakaian siap dengan jenama sendiri.

Dari Satu Ke 18 Buah Butik

Butik Benang Hijau
Butik Benang Hijau

Apabila ditanya siapakah tulang belakang sehingga Benang Hijau mencapai kemajuan seperti sekarang, Fadzilah menjawab suami, anak-anak dan kakitangan awal.

“Kalau seorang memang tak mampu. Kita boleh pergi sejauh ini sebab ada ramai staf yang bagus, membantu kita. Ada yang masih bersama kita. Ada yang sudah dapat peluang yang lebih baik. Ada yang sambung belajar. Tetapi ini semua adalah hasil daripada kerja berpasukan,” kata Fadzilah.

“Prinsip utama yang saya pegang dari awal saya berniaga adalah kepercayaan. Pertama, saya percaya, ada ramai sangat orang yang baik yang boleh membantu saya dan perniagaan saya.”

“Apabila kita percaya pada orang (kakitangan), dan hargai pertolongan dia, kita akan nampak pekerja bekerja dengan lebih baik.”

Kepercayaan Pelanggan

“Dari segi amanah, ia bukan sahaja penting kepada staf tetapi juga kepada pelanggan. Dalam zaman teknologi ini di mana semua orang berniaga di internet, isu utama adalah isu kepercayaan.”

“Ada produk nampak best, nampak cantik, tetapi boleh percaya ke? Apabila pelanggan pindahkan duit, dia (peniaga) akan hantar (barangan) ke? Pada saya kepercayaan itu paling penting.”

“Dalam apa sahaja kita buat, seperti pemasaran atau penjenamaan sebenarnya adalah untuk mengukuhkan kepercayaan pelanggan.”

Menghadapi Persaingan

Bersaing.

Uniknya, Fadzilah mengambil makna bersaing bukannya daripada bahasa Melayu standard, tetapi mengambil makna daripada dialek Kelantan.

Mu nok gi mana saing ui,” maksudnya, “Nak ke mana kawan?”

Fadzilah mengambil makna bersaing sebagai ‘berkawan-kawan’. Bagi beliau usahawan modest clothing yang lain berada di dalam satu kapal yang sama, jadilah amat penting berkawan-kawan untuk memajukan industri pakaian muslimah bersama-sama.

Khairul Hakimin dan Fadzilah Mamat
Khairul Hakimin dan Fadzilah Mamat

Menurut Khairul Hakimin dalam penulisan beliau tentang Fadzilah sebelum ini,

Sedang kami bersembang, lalu 2 ‘saing’ beliau. Puan ini menegur dan bersembang sekejap. Lalu memperkenalkan saya.

Selepas mereka berlalu, puan terus memberitahu yang mereka rupanya pemilik butik di sebelah sana sahaja. Subhanallah, sungguhlah mereka tidak bersaing, mereka berkawan. Ini mengukuhkan lagi empayar beliau.

Beliau memberi bayangan bagaimana di Kelantan dan Terengganu, pasar-pasar mereka menjual produk yang hampir sama. Dan yakin kekuatan rezeki Tuhan ada di mana-mana dengan saling membantu antara satu sama lain. Ini hebat.

Koleksi Baru Setiap Minggu

https://www.youtube.com/watch?v=YOGJwdRdJms

Sebelum ini, Fadzilah mengalami kesukaran menguruskan sesi photoshoot selepas koleksi baru keluar. Kadang-kala beliau terpaksa menunggu sehingga 3 minggu untuk mendapatkan model, makeup artist dan studio yang diinginkan.

Oleh kerana mahukan pasukan terbaik, akhirnya Fadzilah menempah perkhidmatan ketiga-tiga pihak di atas setiap minggu.

Ini mendorong Benang Hijau bekerja lebih keras untuk mengeluarkan koleksi baru setiap minggu.

Hasilnya, pelanggan mula menyedari Benang Hijau sentiasa mengemas kini koleksinya pada setiap hari Jumaat.

Peluang Menemui Puan Fadzilah

Kami tahu cerita ini tidak cukup untuk anda mengenali Puan Fadzilah dan mendapatkan tip-tip dan pengalaman beliau dalam membangunkan perniagaan modest clothing.

Justeru, Vocket akan mengadakan satu acara pada 12 November 2016 yang mana Puan Fadzilah bersama 4 orang lagi Founder startup akan berada di atas satu pentas untuk berkongsi pengalaman beliau.

Acara yang dinamakan Vocket Talk ini adalah peluang untuk pemilik-pemilik bisnes dan usahawan-usahawan membina “A Million-Dollar Network” di samping mendengar perkongsian daripada Puan Fadzilah.

Daftar dan dapatkan tiket anda di sini.